Tag: kata Azam

  • Dua kertas siasatan kes jual tanah kerajaan Terengganu dibuka, kata Azam

    Dua kertas siasatan kes jual tanah kerajaan Terengganu dibuka, kata Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka dua kertas siasatan berhubung salah guna kuasa kes penjualan tanah kerajaan Terengganu sebelum tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ditetapkan.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tidak tahu bila kes tersebut akan selesai.

    Beliau memberitahu, pertama, siasatan berkenaan tanah yang dijual badan kebajikan kepada persatuan isteri Exco masih dalam siasatan.

    “Kedua jual kepada Exco kemudian jual kepada badan lain lagi. Kedua-duanya kita ada buka kertas siasatan.

    “Kita masih jalankan siasatan. Jadi jangan paksa kami siap (kertas siasatan) sebelum PRN pula, siasatan kita jalan cara adil, belum siap lagi apapun,” katanya pada sidang media, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan sebidang tanah di kawasan bandar seluas 11,299 meter persegi di Batas Baru bernilai RM29.3 juta dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) pada harga RM500,000.

    Azam berkata, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada beberapa pihak namun beliau tidak pasti sama ada keterangan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah diambil.

    Sementara itu, Azam memberitahu, Bilik Gerakan SPRM akan dibuka negeri-negeri yang terbabit dengan PRN untuk menerima maklumat dan memberi arahan kepada pegawai suruhanjaya itu.

    “Kini masyarakat lebih peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang membabitkan salah laku calon yang bertanding,” katanya lapor MalaysiaGazette.

  • Agensi kerajaan tak endah laporan SPRM mengenai salah laku, kata Azam

    Agensi kerajaan tak endah laporan SPRM mengenai salah laku, kata Azam

    ADA antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan tindakan diambil.

    Ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih menunggu tindakan susulan daripada agensi kerajaan berhubung lebih 500 laporan salah laku, yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu.

    “Jika kami (SPRM) temui unsur-unsur salah laku, menjadi kewajipan kami melaporkannya kepada ketua jabatan (agensi kerajaan),” katanya menurut New Straits Times.

    “Ketua-ketua jabatan kemudian akan melaporkan semula kepada kami, mengesahkan bahawa mereka menerima laporan itu.”

    Beliau berkata, selepas agensi kerajaan mengesahkan laporan itu, jawatankuasa terdiri daripada ketua jabatan terpilih akan dibentuk untuk menyiasat kes terbabit.

    Walaupun kes jenayah akan dibawa ke mahkamah, salah laku akan disemak oleh jawatankuasa, dengan ketua jabatan mempunyai hak memutuskan tindakan terhadap kakitangan mereka selepas siasatan.

    Azam berkata, walaupun pekeliling dikeluarkan kepada semua ketua jabatan berhubung perkara itu, ramai yang memilih untuk tidak mengendahkannya.

    “Ketua jabatan tidak boleh lupa tentang pekeliling itu. Ramai yang tidak mengendahkannya dan kami menghantar surat untuk mengingatkan mereka.

    “Mereka mesti ambil tindakan kerana ia pekeliling daripada ketua setiausaha (negara), bukan daripada saya,” katanya.

  • Kerjasama SPRM bantu usaha Kuwait sabitkan Jho Low, kata Azam

    Kerjasama SPRM bantu usaha Kuwait sabitkan Jho Low, kata Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan tidak bekerjasama dengan usaha Kuwait untuk membuat pendakwaan terhadap jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di negara itu.

    Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Kuwait sejak 2020 dan terbuka untuk terus berbuat demikian.

    Jelasnya, kerjasama itu penting dalam membantu Kuwait membuat sabitan terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho dan empat individu lagi untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

    “Siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM untuk mendapatkan semula hasil haram tersebut,” ujarnya.

    Pada tahun 2020, The Wall Street Journal melaporkan bahawa penyiasat Malaysia menemui jejak wang dari China ke sebuah bank China di Kuwait dan seterusnya ke entiti di Kepulauan Cayman yang dikawal oleh Low.

    Ia digunakan untuk membayar hampir AS$1 bilion untuk aset yang dikuasainya di Malaysia untuk membayar hutang-hutang 1MDB.

    Sebagai sebahagian daripada siasatannya, Azam memberitahu bahawa pada September 2021, SPRM melalui Pejabat Peguam Negara (AGC) memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) untuk mendapat maklumat lanjut dan dokumen berkaitan daripada kerajaan Kuwait.

    “Dokumen MLA mengandungi maklumat penting dalam siasatan SPRM ke atas jejak wang kes ini,” katanya.

    Katanya lagi, pihak berkuasa Kuwait ketika itu juga menggunakan maklumat yang diberikan Malaysia menerusi MLA untuk membantu siasatannya sendiri dalam kes tersebut.

    “Ini membawa kepada sabitan terhadap Jho Low, Bachar Kiwan dan tiga lagi baru-baru ini,” katanya lagi.

    Pada Rabu lalu, akhbar Kuwait Al-Qabas melaporkan seorang sheikh, bersama rakan kongsinya, dan dua warga asing telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun manakala seorang peguam dijatuhkan hukuman tujuh tahun, atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Malaysia itu.

    Menurut laporan itu, lima individu itu didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion) dengan mengetahui bahawa ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada dana pelaburan Malaysia.

    Akhbar itu mengenal pasti dua warga asing itu sebagai Low dan Bachar, seorang ahli perniagaan Syiria-Perancis, namun tidak menamakan tiga individu lagi.

    Laman Sarawak Report bagaimanapun mengenal pasti sheik tersebut dengan nama Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, anak kepada bekas perdana menteri Kuwait.

    Rakan kongsinya dikenal pasti sebagai sekutu Low, Hamad Al Wazan, dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

    Al-Qabas melaporkan bahawa kes berkenaan telah ditangguhkan selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihak pendakwaan menghadapi halangan mendapatkan maklumat dari luar negara.

    Laporan itu tidak menghuraikan mengenai kesukaran tersebut atau siapa yang terlibat, tetapi Sarawak Report berkata ia menunjukkan kurangnya kerjasama daripada Malaysia.

    Bercakap dengan Malaysiakini selepas sabitan terbaru ini, Bachar turut menggesa Malaysia untuk menyiasat dakwaan penglibatan pegawai kerajaan Kuwait dalam skandal 1MDB.