Tag: kata Anwar

  • Perjanjian dengan Indonesia masih belum selesaikan pertikaian maritim, kata Anwar

    Perjanjian dengan Indonesia masih belum selesaikan pertikaian maritim, kata Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini, yang mendapat pujian dari kedua-dua negara sebagai satu kejayaan menyelesaikan pertikaian maritim selama 18 tahun di Selat Melaka dan Laut Sulawesi, masih belum selesai. 

    Beliau berkata, ini kerana Malaysia masih bertegas dengan tuntutannya di Laut Sulawesi serta bahagian paling selatan Selat Melaka.

    “Perjanjian ini tidak termasuk kawasan yang masih dirunding termasuk di Pulau Sebatik di Sulawesi Selatan, kerana dalam memuktamadkannya, kita akan undang wakil Sabah, dan oleh kerana belum ada persetujuan, maka bab kecil ini belum lagi diselesaikan.

    “Begitu juga, perjanjian ini tidak melibatkan kawasan had Pelabuhan Tanjung Pelepas, tidak termasuk sekali,” kata Anwar pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    “Rundingan untuk melengkapkan garis sempadan wilayah di Laut Sulawesi masih diteruskan. 

    “Saya beritahu Presiden Jokowi, Malaysia masih mempertahankannya sebagai milik Malaysia, dan menurut Jokowi, pakar-pakar dia sebut itu milik dia (Indonesia). 

    “Maka kita menangguhkan dan meneruskan perbincangan.”

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dari Perikatan Nasional (PN) yang bertanya sama ada perjanjian itu ditandatangani dengan restu pakar maritim.

    Sebelum ini media melaporkan perjanjian yang ditandatangani pada 8 Jun semasa lawatan Jokowi ke Malaysia menamatkan pertikaian sempadan maritim yang berlarutan antara kedua-dua negara jiran.

    “Selepas 18 tahun rundingan… Alhamdulillahlah, ia akhirnya dapat diselesaikan,” kata Jokowi dipetik AP sebagai berkata pada sidang media bersama Anwar.

    Dalam kenyataan bersama, Anwar dan Jokowi berkata, perjanjian Selat Melaka dan perjanjian Laut Sulawesi adalah antara enam instrumen yang ditandatangani oleh kedua-dua negara.

    Kedua-dua pemimpin itu berkata pemeteraian perjanjian itu melambangkan ‘hubungan harmoni dan persahabatan antara kedua-dua negara’ dan menyediakan asas kukuh untuk rundingan sempadan maritim pada masa depan.

    “Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk menugaskan pasukan rundingan sempadan maritim mereka untuk memulakan rundingan secepat mungkin mengenai semua sempadan maritim yang tinggal dan tertunggak antara kedua-dua negara secara serentak,” tambah kenyataan itu.

    Sehari sebelum perjanjian itu dimeterai, MalaysiaNow melaporkan pakar maritim mengingatkan Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu dengan Indonesia untuk menyelesaikan pertikaian itu, mengatakan Malaysia tidak mampu untuk berkompromi dengan sebarang penyelesaian yang merugikan negara. 

    “Jika Malaysia membuat sebarang kompromi, bukan sahaja Johor akan kehilangan wilayah lautnya, ia juga akan menghadapi kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritimnya termasuk yang berkaitan dengan Pelabuhan Tanjong Pelepas,” lapor MalaysiaNow memetik sumber Wisma Putra dan diplomatik.

    Mereka berkata Pelabuhan Tawau Sabah juga akan terjejas oleh sebarang perjanjian yang menyerahkan tuntutan Malaysia di Laut Sulawesi, sambil menambah pakar maritim membuat kesimpulan bahawa Malaysia boleh menuntut kawasan dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai Johor. 

    Takiyuddin berkata, kerajaan langsung tidak mempedulikan pendapat pakar dalam menandatangani perjanjian itu.

    “(Perjanjian ini) bukanlah langkah pro-aktif menyelesaikan pertikaian. tetapi lebih merupakan langkah kompromi yang kurang berhati-hati yang boleh merugikan usaha melindungi hak wilayah Malaysia dan menyentuh soal kedaulatan negara.”

    Anwar dengan tegas menolak dakwaan itu, dan mempersoalkan siapakah pakar tersebut. 

    Beliau berkata, kerajaan sudah berunding dengan Kementerian Luar, Jabatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan serta peguam negara. 

    Anwar juga berkata Sultan Johor dimaklumkan bahawa pertikaian maritim tidak melibatkan wilayah Johor, tetapi hanya melibatkan Sabah.

  • ‘P Pinang milik Kedah’, terserah pada AG ambil tindakan pada Sanusi, kata Anwar

    ‘P Pinang milik Kedah’, terserah pada AG ambil tindakan pada Sanusi, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan DatuK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

    Anwar menyifatkan dakwaan menteri besar Kedah itu sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ dan mengesahkan beberapa laporan polis telah dibuat, termasuk di bawah Akta Hasutan.

    “Saya serah sepenuhnya pada AGC untuk ambil tindakan sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung dakwaan itu di Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini.

    Pada mulanya beberapa ahli parlimen pembangkang cuba membangkitkan peraturan mesyuarat bagi menghalang Lim daripada bertanyakan soalan itu, yang didakwa mereka mengandungi tanggapan negatif.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagaimanapun membenarkan Lim meneruskan pertanyaannya, dengan berkata dia tidak mendapati ada unsur tersebut.

    Hari ini, Warta Rakyat melaporkan, Pas berpendirian tiada sebab untuk Muhammad Sanusi dikenakan tindakan berhubung kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan tersebut tidak menjadi kesalahan.

    Sebaliknya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memutar belit kenyataan itu merupakan sesuatu yang tidak wajar.

    “Ini bukan perkara baharu. Jika tengok rekod, pada 2017 seorang Exco kerajaan negeri Kedah (bawah BN) mengeluarkan kenyataan sama. Perkara ini sudah jadi perbahasan akademik di pelbagai peringkat.

    “Bagi Pas, kita sokong apa yang MB Kedah sebut untuk dibuat kajian dan penyelesaian agar menokhtahkan perkara ini,” katanya, malam tadi.

    Takiyuddin berkata, Pas akan mempertahankan isu tersebut pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

  • Majlis Raja-Raja beri kebenaran bersyarat bukan Islam guna kalimah Allah, kata Anwar

    Majlis Raja-Raja beri kebenaran bersyarat bukan Islam guna kalimah Allah, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Putrajaya tidak merujuk Majlis Raja-Raja sebelum menarik balik rayuan terhadap keputusan mengenai hak seorang wanita Sarawak menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agamanya.

    Jelas beliau, perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, yang kemudian meminta kerajaan memastikan semua harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu, iaitu Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam di Semenanjung, dan kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

    Kerajaan katanya, tetap berpendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam penerbitan oleh orang bukan Islam di Semenanjung, kecuali di Sabah dan Sarawak.

    Justeru katanya, tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan oleh penganut Kristian, tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.

    “Keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu turut telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Seri Paduka Baginda memberi pandangan supaya keputusan semua harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran diberikan di Sabah dan Sarawak.

    “Bila keputusan Jemaah Menteri pada 7 Februari memperakukan apa yang disebut oleh Agong, Peguam Negara setelah meneliti kes (Jill Ireland) dan melihat kes ini, khusus dari segi pentadbiran tidak melibatkan Allah kerana keputusan peraturan Kementerian Dalam Negeri, iaitu bersabit dengan dokumen oleh Jill untuk Sarawak.

    “Maka keputusan Peguam Negara adalah untuk tidak membuat rayuan kerana pada pendapat Peguam Negara, yang diterangkan keputusan beliau adalah selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu.

    “Keputusan ini juga sama dengan keputusan yang diubah selama ini terutama pada 1986 dan sebelumnya juga, iaitu keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan arahan pentabiran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

    Idris bertanyakan adakah pihak Kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang begitu besar implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

    Pada 15 Mei, kerajaan dan KDN telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

    Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, masalah yang wujud ketika ini adalah kerana arahan pentadbiran KDN pada 1986 adalah bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.

    Beliau turut menolak dakwaan bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menerbitkan kalimah Allah dengan sewenang-wenangnya.

    “Saya tak fikir munasabah yang digunakan dan dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperaku keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja Melayu.

    “Kelonggaran diberikan dengan syarat-syarat untuk Sabah dan Sarawak dan ini keputusan yang dibuat menyebabkan tidak ada rayuan dalam kes.

    “Bahkan, hakim itu sebut betul-betul dalam keputusan bahawa ini keputusan pentadbiran dan bukan keputusan ‘theological’,” katanya lagi.

    Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata usaha memperkemaskan percanggahan tersebut sedang dilakukan, di mana Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan supaya kertas cadangan Jemaah Menteri dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Julai ini.

    “Kita akan rujuk kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan akan memberikan beberapa pandangan memperkemaskan peraturan ini supaya keputusan muktamad (penggunaan kalimah Allah) tidak boleh dipakai di Semenanjung tetapi boleh dengan ruang dan syarat tertentu di Sabah dan Sarawak,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Sivakumar tak perlu ‘direhatkan’, kata Anwar

    Sivakumar tak perlu ‘direhatkan’, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

    “Dalam kes khususnya Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, itu tak wajar kita berikan apa-apa telahan selain daripada kenyataan yang beliau dipanggil untuk berikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh SPRM,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

    Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM pukul 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.

    Sebelum ini Warta Rakyat melaporkan, pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.

    Hari ini, Sivakumar menafikan laporan media kononnya kediaman beliau digeledah SPRM semalam.

    Penafian itu selepas tular berita mendakwa SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia itu.

    Ini dikatakan sebahagian daripada siasatan dijalankan SPRM susulan dakwaan kes rasuah dalam pengambilan pekerja asing yang turut membabitkan beberapa pegawai kanan kementerian terbabit.

  • Gaji penjawat awam tak akan dinaikkan, kata Anwar

    Gaji penjawat awam tak akan dinaikkan, kata Anwar

    KERAJAAN tidak mencadangkan kenaikan gaji penjawat awam dalam Belanjawan 2023 kerana ia boleh menyebabkan defisit tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata defisit tinggi boleh mengurangkan keyakinan pelabur terhadap negara kerana mereka tidak yakin ada tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.

    “Apa masalah kita (sekarang ialah), hutang RM1.5 trilion dan defisit (sekarang) 5.6 peratus dan kalau tambah gaji, defisit jadi 6.5 peratus. Tiada orang datang lagi melabur ke negara kerana dia tidak yakin ada kekuatan tekad politik untuk urus negara dengan baik,” kata beliau kepada media selepas menghadiri Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia, di Putrajaya hari ini.

    Anwar mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat yang berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah dalam Belanjawan 2023.

    Anwar meminta Cuepacs supaya bersabar kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat yang lebih miskin.

    “Jadi sabar sekejap, hasil banyak cuba dicurahkan. Apakah ia tidak penting untuk selamatkan miskin tegar yang lebih teruk daripada pekerja sedia ada.

    “Saya ingin beritahu ia tidak mudah untuk pesawah padi, pekebun kecil, nelayan dan miskin tegar… dia nak hidup pun susah,” kata beliau.

    Pada 24 Feb lepas, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion, melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

    Menerusi Belanjawan 2023 itu, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. 

  • 71 peratus ahli KWSP tak cukup duit untuk bersara, kata Anwar

    71 peratus ahli KWSP tak cukup duit untuk bersara, kata Anwar

    PERDANA Menteri berkata, 71 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) aktif yang berumur 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara di atas paras kemiskinan negara.

    Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini susulan empat pengeluaran khas KWSP semasa wabak Covid-19 menular.

    Menteri Kewangan itu berkata, bilangan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) menurun daripada 36 peratus pada tahun 2020 kepada 29 peratus pada akhir tahun 2022.

    “Situasi ini secara langsung menunjukkan bahawa 71 peratus, atau lebih dua pertiga daripada ahli aktif mencarum berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

    “KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara 4 sehingga 6 tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik,” katanya di Dewan Rakyat, lapor Malaysiakini.

    Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai pengeluaran awal KWSP dan rancangan kerajaan untuk membantu pencarum membina semula simpanan mereka.

    Anwar berkata sehingga 31 Dis 2022 sebanyak 6.7 peratus pencarum atau bersamaan 51 peratus daripada jumlah keseluruhan mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan KWSP

    Justeru katanya, pengeluaran tambahan tidak berjadual akan menyebabkan lebih banyak masalah kepada pencarum dan akan menjejaskan pendapatan KWSP.

    Menurutnya, empat pengeluaran khas KWSP sejak 2020, menyaksikan sebanyak RM145 bilion simpanan telah dikeluarkan.

    “Ini menyebabkan kekangan bagi penyertaan ke dalam peluang-peluang pelaburan baru dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan,” katanya.

    Menjawab soalan Hajah Salamiah Mohd. Nor (PN-Temerloh), Anwar berkata skim Bayaran Caruman Sukarela KWSP, yang diperkenalkan pada Julai 2022 mendapat sambutan menggalakkan.

    Sehingga 31 Jan, katanya, seramai 315,702 ahli menyertai skim itu dengan menyumbang sebanyak RM527.7 juta.

    Anwar turut menggalakkan mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyertai skim i-Saraan, yang ditetapkan kerajaan sebanyak 15 peratus atau sehingga RM250 setahun.

    Skim Bayaran Caruman Sukarela dan skim i-Saraan dihadkan pada RM60,000 setahun.

    Anwar berkata, ahli KWSP juga boleh menambah akaun KWSP pasangan, ibu bapa atau anak mereka sehingga RM60,000 setahun.

    Bagi ketua isi rumah atau pasangan yang berada dalam pangkalan data eKasih, mereka boleh menyertai skim i-Suri di mana kerajaan akan menyediakan intensif sehingga RM480 ​​setahun.

  • Saya tak setuju tindakan kafir-mengkafir, termasuk kenyataan Tun M, kata Anwar

    Saya tak setuju tindakan kafir-mengkafir, termasuk kenyataan Tun M, kata Anwar

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan tindakan parti-parti politik serta sesetengah pemimpin termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam soal mengkafirkan pihak lain.

    Jelas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga, tindakan itu hanya mengundang kacau-bilau dan bukan tradisi serta budaya Islam.

    “Tak mungkin kita ini bicara tengok al-Quran dan hadis, kupas ikut (kehendak) kita… Itu yang kacau-bilau bila parti ini kata dia ini kafir, parti ini pun kata parti tu kafir.

    “Tun Mahathir pun sambut, kata parti ini kafir… Ini apa benda ni di Malaysia ni? Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dari awal apabila timbul soal kafir atau mengelirukan, timbul isu dua imam, dua masjid, dua khabilah… dari awal ABIM mendepani isu ini,” soalnya.

    Ketua Pembangkang itu berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Muktamar Sanawi ke-51 ABIM di Kajang hari ini.

    Semalam, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa Pas kini adalah parti kafir berikutan tindakannya untuk bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi kedudukan.

    Jelas Dr. Mahathir, sehingga kini Pas tidak menarik balik dakwaan yang dibuat terhadap UMNO suatu ketika dulu bahawa parti itu adalah kafir.

    Justeru dengan kerjasama Pas dan UMNO ujarnya lagi, menggambarkan Pas bukan lagi parti Islam, dakwa bekas Perdana Menteri itu.

    Anwar berkata, bahkan Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd. Noor yang juga Timbalan Presiden Pas pernah menolak tindakan kafir-mengkafir sesama Islam.

    “Menariknya Almarhum Sheikh Fadzil Mohd. Noor yang juga Timbalan Presiden menolak kafir-mengkafir sesama Islam.

    “Saya tidak setuju andaian menyinggung kafir oleh pimpinan Pas, saya juga tidak setuju cara Tun Mahathir menjawab mengkafir pada yang lain. Ini bukan tradisi dan budaya Islam dan tidak boleh dipertahankan,” katanya lagi.

    Turut dipersoal Anwar, reaksi serta teguran daripada agamawan terhadap pihak terbabit yang dilihat sepi.

    “Mana Mufti, mana Majlis Agama? Tidak boleh tegur ke bab ini? Budaya mengkafir ini sangat dibantah ulama-ulama,” katanya lagi.

    Sementara itu, Anwar turut menjelaskan bahawa PKR tidak akan melayan sikap berkenaan, malah akan membantahnya sekiranya dilakukan mana-mana pihak.

    “Pandangan kita jelas… hentikan naratif merosakkan tumpu pada dasar dan jangan serangan soal itu kerana ia menimbulkan keadaan kacau-bilau yang tidak mungkin kita kawal.

    “Saya punya pendirian, kita bagi arahan kepada PKR jangan layan. Bahkan, harus bantah sikap tidak jelas atau memberi pandangan ke arah itu tidak sihat sama sekali,” tegasnya lagi.

  • PRU-15:PH belum bincang penyertaan Muda, kerjasama GTA sukar, kata Anwar

    PRU-15:PH belum bincang penyertaan Muda, kerjasama GTA sukar, kata Anwar

    PAKATAN Harapan (PH) belum membuat sebarang perbincangan untuk memberikan laluan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebahagian daripada komponen kerjasama parti itu.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini PH tidak pernah menyentuh berkenaan isu tersebut sekalipun Muda dilihat kerap menyertai setiap program yang dianjurkan oleh PH.

    Ketua Pembangkang itu berkata, PH belum membincangkan kerjasama tersebut malah perkara berkenaan tidak berbangkit.

    “Soal kerjasama dan perbincangan tiada masalah, ia berjalan baik dalam kalangan pembangkang. Tapi untuk penyertaan (Muda) dalam PH, belum dibincangkan Majlis Presiden PH,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Simposium Perubahan Iklim 2022 anjuran Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, hari ini.

    Anwar juga menyifatkan kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama PH dilihat agak sukar memandangkan kedua-duanya memiliki prinsip berbeza.

    Sebaliknya, beliau berpendapat, isu memerangi rasuah ketika ini turut dibicarakan oleh perasuah besar sedangkan fokus yang perlu dilihat dan dititik beratkan ialah berkaitan peranan yang perlu dimainkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Kita selalu menekankan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa tindakan harus lebih telus kerana orang yang bicara soal rasuah ini pelbagai ragam, termasuk perasuah besar.

    “SPRM patut lebih tegas dalam menunjukkan tindakan mereka itu tidak hanya pada pimpinan satu parti, tetapi pimpinan semua parti yang terpalit dengan kes rasuah besar,” katanya memetik laporan Astro Awani.