Tag: kata Ahmad Samsuri

  • PRN:Rakyat beri signal ‘positif’ kepada PN, kata Ahmad Samsuri

    PRN:Rakyat beri signal ‘positif’ kepada PN, kata Ahmad Samsuri

    RAKYAT memberi signal positif terhadap Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh kempen yang memasuki hari kesembilan hari ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan itu bukan sahaja boleh dilihat di Terengganu malah turut ditonjolkan di negeri lain.

    “Situasi ini menggambarkan secara jelas bahawa PN kini berada di kedudukan selesa untuk berdepan dengan proses pilihan raya pada 12 Ogos depan.

    “Dalam dunia tanpa sempadan yang ada ini, saya memerhatikan suasana kempen dan respons rakyat, bukan sahaja di Terengganu, termasuk di beberapa negeri lain.

    “Bila kita satukan dengan apa yang berlaku di Terengganu ini, ia menunjukkan kesetaraan respons rakyat yang sangat positif di pelbagai peringkat.

    “Saya sangat berpuas hati dan itulah gerak kerja di hari-hari yang masih berbaki ini (kempen) yang mana merupakan tempoh masa penting kepada semua parti yang bertanding,” katanya.

    Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian University CollegeTATI Kampus Kota (UC TATI City Campus) di Kuala Terengganu, hari ini.

    Beliau berkata, tempoh kempen sepanjang PRN dan PRK kali ini juga dilihat lebih tenteram berbanding beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

    “Berbanding pilihan raya lalu, kali ini keadaan dilihat lebih tenteram dan kita harap sehingga Sabtu ini suasana yang aman dan tenteram dapat dikekalkan.

    “Kita juga berharap semua pihak yang bertanding dalam pilihan raya ini haruslah ada ‘self control’ atau ‘self restrain’ masing-masing supaya kita berkempen dengan cara yang baik, berhemah, elak provokasi yang tidak sihat untuk diamalkan dalam mana-mana pilihan raya,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Ahmad Samsuri bertanding atas tiket Pas bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Pada PRN kali ini, kerusi DUN Ru Rendang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di mana Ahmad Samsuri dicabar calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaimi Sulaiman.

    Pada PRU14 lalu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

    Beliau memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sarawi Sulong (729 undi).

  • Pas mahu tinggalkan Bersatu berita palsu, kata Ahmad Samsuri

    Pas mahu tinggalkan Bersatu berita palsu, kata Ahmad Samsuri

    PAS menafikan dakwaan kononnya parti itu akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beberapa pemimpinnya terpalit kes mahkamah.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, desas desus tersebut merupakan berita palsu yang tidak berasas.

    Menteri Besar Terengganu itu menegaskan, ini kerana Pas masih setia bersama Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

    “Yang diviralkan itu berita palsu. Memang tidak ada (tinggalkan Bersatu). Sesetengah orang kata kalau tidak ada angin masakan pokok boleh bergoyang (tapi) memang tiada angin cuma ada orang pergi goncang pokok.

    “Saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok,” katanya kepada media selepas hadir menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani.

    Katanya, hubungan antara Pas dan Bersatu tiada sebarang masalah dan perjumpaan bersama kepimpinan parti turut diadakan sama seperti biasa.

    “Baru malam tadi saya bermesyuarat bersama kepimpinan PN termasuk pemimpin tertinggi Bersatu dan Pas. Tidak ada sebarang desas desus ke arah itu (tinggalkan Bersatu)…tiada,” katanya.

    Ditanya mengenai perbincangan diadakan malam Isnin, beliau berkata, ia lebih menjurus kepada beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    “(Agihan kerusi) belum lagi, kita sedang menyiapkan beberapa perkara termasuk asas-asas perundingan kerusi dan insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan duduk berbincang mengenai rundingan kerusi,” katanya, lapor Sinar Harian.