Tag: kata Ahmad Faizal

  • Boleh tukar kerajaan walau terikat Akta Lompat Parti, kata Ahmad Faizal

    Boleh tukar kerajaan walau terikat Akta Lompat Parti, kata Ahmad Faizal

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tidak mustahil kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang semua Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti walaupun terikat dengan Akta Lompat Parti.

    Jelas beliau, ini kerana ada proses undang-undang yang membolehkan perkara tersebut berlaku.

    “Begitu juga dengan kerajaan negeri lain, ada proses perundangan mengikut perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Sendayan, Seremban, semalam.

    Pengerusi PN Negeri Sembilan itu turut menyatakan keyakinan potensi gabungan terbabit untuk menang di Negeri Sembilan amat tinggi, malah mampu memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

    Ujarnya, sokongan diterima bukan saja daripada pengundi Melayu namun sokongan kaum Cina dan India juga amat memberangsangkan.

    “Ia agak berbeza daripada kajian sikap yang kita lakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu di Negeri Sembilan yang mana kali ini kita mendapati orang ramai semakin selesa dan bagi ruang kepada PN.

    “Reaksi positif dan perkembangan inilah membuatkan jentera kami bersemangat kali ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Malah katanya, jika peratusan keluar mengundi tinggi, potensi untuk PN menubuhkan kerajaan juga cerah.

    Sementara itu, berkenaan dakwaan yang wujud elemen ‘jual kerusi’ dalam pemilihan calon PN di Negeri Sembilan, beliau berkata, sekiranya benar ia berlaku, gabungan itu tidak akan berkempen dalam keadaan ala kadar seperti sekarang.

    “Kalau saya boleh jual kerusi, kita tiada masalah duit, tiada masalah nak berkempen dan sebagainya.

    “Malah bebanan kepada pemimpin dalam menghadapi PRN ini amat getir dan besar. Pada mereka yang buat dakwaan fitnah bahawa saya telah jual kerusi, saya ampunkan mereka supaya tak perlu cari saya di Padang Mahsyar nanti,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin mendakwa wujud elemen jual kerusi terbabit selepas mendapati senarai calon yang diumumkan gabungan itu sangat lemah dan tidak berpotensi untuk menang.

  • PN tak bincang tawar Tajuddin bertanding PRU-15, kata Ahmad Faizal

    PN tak bincang tawar Tajuddin bertanding PRU-15, kata Ahmad Faizal

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak tidak pernah berbincang untuk menawarkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjadi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketetapan itu merupakan hak pucuk pimpinan gabungan tersebut dan keputusan Pas menawarkan Tajuddin merupakan pandangan parti tersebut dan tidak melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Saya tak boleh komen perkara yang tidak melibatkan saya. Itu hak pucuk pimpinan, kami tidak berbincang tentang perkara itu (tawaran kepada Tajuddin).

    “Kita tidak terlibat dalam parti orang lain. Ia terpulang kepada Pas, itu hak mereka untuk bagi pandangan. Bagi pihak Bersatu kita tak bincang pun tentang perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di Ipoh, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, kerjasama parti-parti PN di Perak kekal utuh dan kuat.

    Beliau berkata, biarpun tiada perbincangan lanjut mengenai pembahagian kerusi pada PRU-15, kesemua parti bersepakat untuk bertanding atas nama PN.

    Sebelum ini, media melaporkan Pas Perak mempelawa Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak untuk bertanding atas tiket PN pada PRU-15.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria dilaporkan berkata, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu boleh mempertimbangkan pelawaan berkenaan sekiranya beliau tidak diberikan tempat oleh Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU-15.

    Media kelmarin melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO berkuat kuasa 21 Jun lalu atas alasan sikap beliau yang mengkritik parti.

    Sebelum ini Tajuddin turut digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan beliau juga dilihat kerap kali bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk PRU15 diadakan.