Tag: kata Abdul Hadi

  • Pas tak abai pembangunan, keperluan rakyat, kata Abdul Hadi

    Pas tak abai pembangunan, keperluan rakyat, kata Abdul Hadi

    PENGAMAT politik termasuk para ilmuwan yang meremehkan perjuangan Pas dalam menegakkan Islam, dengan seolah-olah menyatakan parti itu tidak peduli akan masalah keperluan kehidupan rakyat di negeri ditadbir mereka seperti air, barangan keperluan dan rumah kediaman adalah satu anggapan tidak matang berpolitik secara tabii.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihak mereka juga tidak mengambil kira bahawa kerajaan Pas juga gigih berusaha secara politik menurut tabii manusia yang wajib mengurus keperluan kehidupan rakyat.

    Tegas beliau, Pas menghadapi banyak sekatan oleh kerajaan Pusat, bermula dengan Kelantan sejak zaman Perdana Menteri sekarang menjadi Menteri Kewangan sehingga kini.

    “Urusan kewangan yang wajib mengikut Perlembagaan, perjanjian, dan prinsip demokrasi tidak dihormati. Royalti petroleum tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah, namun dinafikan kepada negeri yang diperintah oleh Pas.

    “Adakah kerana prinsip Islam yang dipegang oleh Pas? Kini, penafian hak ini diikuti pula oleh Terengganu, Kedah, dan Perlis yang dilengah-lengahkan dengan berbagai-bagai dalih bukannya dalil,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, Pas dapat membuktikan prinsip integriti dan tadbir urus beramanah walaupun dengan sumber kewangan yang terhad.

    UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kini bersama DAP pernah memerintah Kelantan pada tahun 1978 hingga 1990 dan ketika itu memiliki kemudahan kewangan namun masalah berkenaan tetap tidak dapat diselesaikan, katanya.

    “Mengapa masalah itu tidak diselesaikan dan terus berkekalan? Apabila Pas mengambil alih pentadbiran, kami diperlakukan dengan begitu banyak sekatan atau birokrasi dilengah-lengahkan.

    “Mereka tidak pula melakukan sedemikian kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dahulu dan terkini, Pulau Pinang. Pas tidak lupa.

    “Apabila Pas mula bertindak pada tahun 1990 dengan membatalkan premis perjudian dan penjualan arak dibenarkan kepada orang bukan Islam sahaja.

    “Dalam keadaan lesennya di bawah Kementerian Kewangan yang menterinya adalah Perdana Menteri terkini yang berslogankan Madani, tetapi beliau tidak membantu dan bertindak sama mengikut Islam,” jelasnya.

    Tambahnya, DAP juga lantang menentang Pas walaupun langkah dan tindakan yang dilakukan oleh pihak mereka berkait dengan penganut Islam sahaja tanpa gangguan terhadap orang bukan Islam.

    Katanya, selain itu apabila Pas bertaawun iaitu tolong-menolong dalam kebaikan dengan UMNO dan mencadangkan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 bagi meminda hukuman sebatan kepada hukum Islam yang bersifat mendidik turut mendapat tentangan beberapa pihak UMNO, DAP, termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Maka, sangat wajar jika UMNO kini bersekongkol dengan DAP membelakangi prinsip perjuangannya.
    Bagaimanapun, Pas akan terus teguh beristiqamah membawa mesej Islam dan menyedari wajib menunaikan kewajipan terhadap segala pembangunan kebendaan tanpa perlu sibuk mengumumkannya.

    “Hal ini demikian kerana, sememangnya pembangunan kebendaan itu ialah perkara tabii yang wajib ditunaikan sekiranya mempunyai sumber kewangan yang mencukupi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • PN sudah lantik Ketua Pembangkang, kata Abdul Hadi

    PN sudah lantik Ketua Pembangkang, kata Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Perikatan Nasional (PN) telah membuat pelantikan Ketua Pembangkang bagi Dewan Rakyat.

    Namun beliau tidak mendedahkan siapa individu berkenaan sebaliknya memaklumkan satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

    “PN akan buat kenyataan. Kita dah lantik dan PN akan buat kenyataan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

    Abdul Hadi ditemui selepas selesai memberi keterangan selama hampir dua jam di IPD Sentul untuk siasatan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung ucapan berbaur hasutan sewaktu berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

    “Saya memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis. Beberapa soalan telah diajukan dan saya memberi penjelasan untuk soalan-soalan itu.

    “Saya bersedia untuk tindakan selanjutnya sama ada ke mahkamah dan sebagainya. Kerajaan baharu ini sangat proaktif. Saya beritahu supaya giliran pihak lain iaitu Pakatan Harapan (PH) yang menyentuh Islam disiasat,” ujarnya.

    Ketika ditanya sama ada akan dipanggil semula oleh pihak polis, Abd Hadi berkata, perkara itu tidak diberitahu dan beliau akan menunggunya.

    Peguam yang mewakili Ahli Parlimen Marang itu, Wan Rohimi Wan Daud berkata, laporan polis yang dibuat ke atas Abdul Hadi itu melibatkan Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Pada 10 November, PH membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

    Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng berkata, Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta anti tuhan dalam majlis di Temerloh, Pahang.

    Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Hadi memaklumkan Pas menyerahkan kepada menteri besar untuk membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

    “Itu (Pilihan Raya Negeri) diserah kepada perbincangan dengan menteri besar,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mengulas mengenai Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata, pihaknya melihat perkembangan semasa apakah tindakan kerajaan hari ini.

    “Usaha sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang. Kita lihat kepada perkembangan semasa apakah tindakan kerajaan. Kita tunggu apa reaksi rakyat terhadap kerajaan yang ada hari ini,” ujarnya.

    Dalam sidang media kempen PN pada Ahad di Padang Serai, Shahidan memberi gambaran bahawa kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.

  • Pas tolak DAP kerana cauvinis, mirip PAP, kata Abdul Hadi

    Pas tolak DAP kerana cauvinis, mirip PAP, kata Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa parti itu enggan kembali bekerjasama dengan DAP disebabkan parti itu bersifat ekstrem, cauvinis serta jelmaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.

    Katanya, ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengajak Pas untuk bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun ditolak disebabkan Pas baru saja keluar Pakatan Rakyat.

    Jelasanya, Dr Mahathir mengemukakan cadangan untuk membuat pakatan yang ada DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) bergabung untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

    “Tetapi saya tidak setuju, saya beritahu (pada Dr Mahathir) kita baru saja keluar sebab bercanggah dengan parti itu. Tidak betul untuk masuk semula selepas dah keluar.

    “DAP adalah parti yang cauvinis jelmaan PAP di Singapura. DAP juga adalah parti yang sangat ekstrem dan saya terangkan kenapa kita menolak parti itu,” katanya dalam ceramah Jelajah Perdana PN Best, malam ini.

    Abdul Hadi berkata, ketika menjadi kerajaan, Pakatan Harapan (PH) dilihat memulakan tindakan serta kenyataan yang menggugat sensitiviti bangsa dan agama Islam dan perkara itu membentuk kerjasama bersama UMNO.

    “Mereka memulakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dilihat mahu menghapuskan peranan agama dan rumpun bangsa. Mereka tahu sekiranya mengundi di Parlimen, ia akan kalah.

    “Jadi saya bangun di Parlimen mengatakan demokrasi bukan saja di Parlimen, demokrasi bukan saja di pilihan raya, tetapi rakyat turun di jalan raya dan ia disambut dengan takbir oleh rakan-rakan UMNO. Selepas itu kita anjurkan perhimpunan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, hubungan antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan kesukaran disebabkan UMNO beberapa kali menyatakan enggan bekerjasama dengan Bersatu.

    “Kami mempunyai pandangan untuk mengumpulkan Ahli Parlimen sekurang-kurangnya mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen. Kami ajak Bersatu dan ajak UMNO dan bila UMNO buat perhimpunan, kami juga hadir tetapi tiba-tiba mereka kata hanya Pas dan UMNO saja.

    “Tetapi saya katakan ia tidak boleh dan perlu bergabung dengan Bersatu serta parti-parti lain di Sabah dan Sarawak. Tetapi mereka membuat kacau bergaduh pula dengan PH, bertujuan untuk lepaskan kes-kes mahkamah dan mahu mengambil peluang, tetapi ia tidak berjaya.

    “Sekali lagi mereka mahukan Pas dan UMNO saja, tetapi saya katakan tak boleh jika mahu selamatkan rakyat. Selepas itu kita jumpa pada hari Rabu mereka beri tempoh sehingga 12 tengah malam untuk memberi persetujuan.

    “Bila kita berbincang kita buat keputusan untuk bersama Bersatu bagi membentuk Perikatan Nasional (PN),” katanya.

  • PN mampu tarik undi bukan Melayu, kata Abdul Hadi

    PN mampu tarik undi bukan Melayu, kata Abdul Hadi

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menarik undi bukan Melayu untuk menyokong mereka sekali gus memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sokongan itu mampu ditarik menerusi gerak kerja yang dilakukan oleh parti komponen seperti Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Beliau memberi contoh, Pas mempunyai Dewan Himpunan Pendukung yang dianggotai oleh bukan Melayu.

    “Begitu juga dengan Bersatu ada cabangnya sendiri bagi yang bukan Islam.

    “Pada masa yang sama PN turut mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang ikut serta sepanjang kempen PRU-15.

    “Contoh boleh dilihat pada tiga negeri yang telah diperintah oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Kita buktikan dengan memberi keadilan, kestabilan dan keamanan kepada semua,” katanya semasa sidang akhbar pada perjumpaan tokoh masyarakat di Kota Bharu, hari ini.

    Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    “Bukan sahaja sekarang, dahulu kita pernah mencipta sejarah pada 13 Mei 1969 apabila Kelantan, Terengganu, Kedah negeri yang kuat Pas tidak berlaku huru-hara,” kata Hadi Awang lagi, lapor Sinar Harian.