Tag: kapal selam

  • ‘Beli ‘submarine’ berbilion, tapi kediaman askar daif’ – Shafie Apdal

    ‘Beli ‘submarine’ berbilion, tapi kediaman askar daif’ – Shafie Apdal

    DATUK Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mempersoalkan langkah kerajaan yang perlahan dan tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kemelut anggota keselamatan negara terutamanya isu kebajikan mereka melibatkan kuarters kediaman di kem-kem tentera di seluruh negara.

    Menurut beliau, ketika faktor keselamatan dunia semakin mencabar kerajaan perlu mementingkan aspek keselesaan dan kebajikan mereka supaya dapat melahirkan satu suasana tentera yang boleh mencurahkan bakti dalam keadaan yang terbaik.

    Namun katanya, beliau berpandangan kerajaan seolah-olah tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan kemelut itu apabila tiada cadangan dan langkah yang kukuh untuk menaiktaraf kebajikan para tentera.

    “Kita mampu beli ‘submarine’, kita mampu beli peralatan berbilion ringgit tapi masa saya jadi timbalan menteri pertahanan, saya masih ingat satu bilik sahaja.

    “Di situlah anak tidur, mak tidur dan anak belajar. Bayangkan,” katanya dalam celahan sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Sebelum ini, beberapa ahli Parlimen pernah membangkitkan isu yang sama kepada Kementerian Pertahanan melibatkan isu kebajikan tentera dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Antaranya melibatkan isu kediaman yang semakin daif dan kadar pencen yang lapuk dan tidak munasabah dengan keperluan semasa.

    Mengulas lanjut, Shafie mencadangkan supaya pihak menteri dan timbalan menteri pertahanan membuat lawatan dan tinjauan ke kem-kem tentera seperti di Sabah atau Langkawi bagi menyaksikan sendiri keadaan sebenar kediaman para tentera.

    “Pergi buat lawatan di kawasan saya Semporna, Masya Allah bila saya lihat. Sebab itu masa saya jadi ketua menteri, saya beri peruntukan untuk bantu mereka.”

    Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari meminta ahli-ahli Parlimen supaya merujuk kepada Kertas Putih Pertahanan untuk lebih memahami Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang turut menekankan isu kebajikan sosial warga pertahanan.

    Katanya, terdapat lapan perkara diletakkan dalam laporan lengkap itu termasuk hala tuju dan masa depan kementerian, keselamatan dan kedaulatan negara.

    “Sebab itu dalam Perkara 5 Kertas Putih Pertahanan itu ialah tentang warga pertahanan.

    “Dan saya yakin bahawa kita di Kementerian Pertahanan sepanjang saya duduk beberapa bulan ini di kementerian dalam mesyuarat post Kabinet tak pernah terlepas dalam membicarakan persoalan tentang warga pertahanan itu sendiri,” katanya.

  • Wisma Putra pantau rakyat Malaysia ditahan di Somalia

    Wisma Putra pantau rakyat Malaysia ditahan di Somalia

    WISMA Putra memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap seorang warganegara Malaysia yang didakwa memasuki Somalia dengan tujuan pembabitan dalam aktiviti kumpulan Al-Shabab.

    Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim Abdul Hamid sentiasa terjaga. 

    “Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Ahmad Mustakim) dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya. 

    “Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak.

    “Kita sudah menghubungi keluarga Ahmad Mustakim bagi memaklumkan keadaan beliau,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

    Terdahulu, Saifuddin mengadakan lawatan ke Rapha Children’s Home dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Istimewa serta menyampaikan kuih bulan dan sumbangan wang tunai. 

    Sementara itu, menyentuh mengenai kapal selam nuklear baharu Australia melibatkan kerjasama United Kingdom dan Amerika Syarikat, Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata beliau telah meminta butiran terperinci mengenai pemilikan aset itu daripada negara berkenaan.

    “Saya telah dihubungi dan adakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Australia Marise Payne dan beliau menerangkan tentang projek kapal selam itu dengan tujuan untuk mengelakkan berlaku salah faham.

    Menerusi perbualan itu juga, Saifuddin menekankan Malaysia mengamalkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), selain berpegang kepada deklarasi Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS). 

    “Pandangan kita bahawa perkara ini berkemungkinan menyebabkan reaksi kuasa-kuasa besar lain dan kita tidak mahu terperangkap dalam perlumbaan senjata antara kuasa-kuasa besar,” katanya. 

    Tambah beliau, semua Menteri Luar ASEAN dijangka akan mengeluarkan kenyataan bersama berhubung isu ini dalam masa terdekat. 

    Media melaporkan Australia bakal memperolehi teknologi kapal selam berkuasa nuklear dengan pakatan pertahanan baharu membabitkan negara itu dengan kerjasama Amerika Syarikat dan United Kingdom.- BERNAMA

  • Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    MALAYSIA menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

    Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini berkata pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

    Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

    “Sebagai sebuah negara dalam ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” menurut kenyataan itu.

    Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan Ismail Sabri telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia Scott Morrison semalam yang memaklumkan dan memberikan penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama tiga hala AUKUS, yang bertujuan untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

    Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negara termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

    Kedua-dua pemimpin, menurut kenyataan itu turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa khususnya di rantau Indo-Pasifik.

    “Perdana Menteri Malaysia menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

    “Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif,” menurut Pejabat Perdana Menteri.– BERNAMA