Tag: kapal OPV

  • Kapal OPV 1 APMM tiada masalah

    Kapal OPV 1 APMM tiada masalah

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan dakwaan sebuah kapal peronda baharu miliknya mengalami masalah, berikutan video merakamkan kapal itu berada dalam keadaan condong.

    Ketua Pengarahnya, Zubil Mat Som dalam laporan Free Malaysia Today berkata, Kapal Peronda Luar Pesisir 1 (OPV 1) itu tidak mengalami sebarang masalah semasa dilancarkan.

    “Kapal itu berada dalam keadaan baik,” katanya yang turut berkongsi gambar terbaharu kapal itu yang berlabuh berhampiran limbungan.

    Kapal OPV 1 dilancarkan di limbungan TH Heavy Engineering (THHE), Pelabuhan Klang pada Isnin lalu, tetapi video menunjukkan kapal itu senget tersebar di media sosial.

    Pengurus Besar THHE, Azizul Hanafee Zain berkata, kejadian itu berlaku ketika pekerja memotong kabel besi yang dipasang untuk menyokong struktur di bawah kapal.

    “Apabila kabel di satu bahagian dipotong, ia menyebabkan kapal itu ditarik ke arah lain.

    “Kami memang menjangkakan keadaan ini. Kedudukan kapal kembali normal selepas semua kabel dipotong,” katanya.

    OPV1 dijadualkan menjalani beberapa ujian dan sesi latihan bersama kru selama tiga bulan sebelum ditugaskan ke Beting Patinggi Ali di Sarawak pada awal 2023.

  • PAC akan mulakan siasatan projek kapal OPV belum siap

    PAC akan mulakan siasatan projek kapal OPV belum siap

    JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan akan menyiasat perolehan kapal peronda luar persisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, jawatankuasa berpendirian APMM dan KDN perlu menjelaskan kelewatan penerimaan OPV kepada Parlimen.

    “Ini bagi memastikan rakyat-rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku,” kata Wong dalam kenyataan hari ini.

    Pada 2017, THHE Destini Sdn Bhd mengumumkan syarikat itu telah mendapat kontrak berjumlah RM738 juta untuk membina tiga buah OPV dalam tempoh “tiga setengah tahun”.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som pada 13 September lalu menyatakan ketiga-tiga kapal itu masih dalam pembinaan, dengan kapal pertama dijangka hanya akan diserahkan pada tahun depan.

    Kapal OPV adalah berdasarkan kapal kelas 1800 Damen Group yang berpangkalan di Belanda.

    Wong berkata lagi, pihaknya akan memanggil APMM dan KDN serta Kementerian Kewangan dan syarikat terlibat untuk memberi penjelasan.

    “Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

    Siasatan PAC sebelum ini mendapati satu lagi projek kapal, iaitu kapal tempur pesisir (LCS) untuk TLDM, dipenuhi pelbagai kejanggalan.

    Selain penangguhan penyiapan dan peningkatan kos, PAC juga mendapati rekaan yang dipilih tidak mengikut spesifikasi TLDM.