Tag: kantin sekolah

  • Bantulah rakyat, atasi segera kenaikan harga makanan kantin sekolah – Wan Saiful

    Bantulah rakyat, atasi segera kenaikan harga makanan kantin sekolah – Wan Saiful

    KERAJAAN menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) digesa segera mencari penyelesaian kepada isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Beliau berkata, antara perkara yang boleh dipertimbangkan ialah pemberian moratorium sewa atau subsidi kos operasi kepada pengusaha kantin yang kebanyakannya adalah usahawan kecil Bumiputera.

    Tegas ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, sebaiknya kerajaan mesti mencari penyelesaian bersama dengan pengusaha kantin.

    “Sepatutnya Menteri Pendidikan PH-BN ini segera bertemu pengusaha kantin untuk membincangkan penyelesaian dan mencapai kata sepakat.

    “Sebagai kerajaan, bantulah rakyat. Bukan sibuk berebut kuasa dan bergaduh sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, hasil pertemuannya bersama ibu bapa di sekitar kawasan Tasek Gelugor sejak dua hari lalu, ramai mengeluh bukan saja mengenai harga makanan di sekolah, malah isu kenaikan tambang bas sekolah yang belum selesai.

    “Rungutan ibu bapa dah kedengaran sejak bermula sesi persekolahan 2023 lagi, tetapi sehingga hari ini, belum ada apa-apa kenyataan daripada menteri bertanggungjawab. Ini sekali lagi bukti bahawa menteri PH-BN tidak kompeten menjaga nasib rakyat dan menteri golongan kayangan ini gagal merasai denyut nadi kesusahan rakyat.

    “Saya sedang mendapatkan komen lebih mendalam ibu bapa mengenai harga makanan kantin sekolah-sekolah di Tasek Gelugor,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan harga makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50 peratus pada sesi pembukaan sekolah yang bermula Selasa lalu, susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

    Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah, Khairuddin Hamzah, berkata peningkatan harga itu bagi menampung kos operasi semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.

  • Harga makanan di kantin sekolah naik sehingga 50 peratus

    Harga makanan di kantin sekolah naik sehingga 50 peratus

    HARGA makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50 peratus sejak sesi persekolahan penggal tiga bermula Selasa lalu, didorong peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

    Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah, Khairuddin Hamzah berkata, kenaikan harga itu bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.

    Menurutnya, antara menu menyaksikan peningkatan harga adalah roti canai yang dijual pada harga RM1.50 berbanding RM1 pada tahun lepas.

    “Ayam goreng tepung dari RM1 dijual antara RM1.50 dan RM2 manakala nasi lemak dari RM1 kepada RM1.50,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Khairuddin yang juga mengusahakan kantin di sebuah sekolah dekat Semenyih bagaimanapun berkata, beberapa menu utama lain seperti mi goreng, nasi goreng, serta kuih-muih masih mengekalkan harga lama.

    Katanya, kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah seperti telur, gula dan minyak masak juga memberi kesan kepada kelancaran operasi kantin.

    “Di kantin sekolah, kami terikat dengan peraturan makanan dan minuman yang boleh dan tak boleh dijual.

    “Dengan terputusnya bekalan telur, kami kekurangan menu yang boleh dijual pada harga mampu dibeli oleh murid,” katanya, namun menambah situasi itu tidak sampai menjejaskan sebahagian besar aliran tunai mereka.

    Katanya, peningkatan kos operasi kantin juga menyaksikan hampir 50% pengusaha kantin tidak menyambung operasi mereka dan digantikan dengan pengusaha baharu.

    “Berdasarkan proses tender yang berakhir hujung tahun lepas, lebih 40% adalah operator baharu… saya perhatikan banyak sekolah yang sampai tarikh tutup tender masih tiada pemohon, sekolah saya sendiri kalau dulu lebih 10 pemohon tetapi kali ini hanya empat pemohon saja,” katanya.

  • Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

    Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

    SEORANG penolong pegawai pendidikan daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah bernilai RM50,400.

    Tertuduh Mahalay @ Mahali Jahaya, 48, dituduh melakukan kesalahan itu melibatkan tender kantin sekolah SK Bukit Garam II, Kinabatangan dengan mengambil tindakan dalam proses pemilihan penawaran kerja untuk syarikat Damai Enterprise, yang pemiliknya adalah anak saudaranya Amiruddin Baro, 37, bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Dis 2015 hingga 30 Nov 2018.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada 11 Nov 2015.

    Mahalay didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Hakim Abu Bakar Manat membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan RM4,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 7 Okt depan untuk sebutan semula.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Jaswant Singh.- BERNAMA