Tag: kantin

  • Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

    Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

    PENGUSAHA kantin sekolah diminta merujuk kembali garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung dakwaan kenaikan harga makanan di premis berkenaan baru-baru ini.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa mengawal dan memantau operasi kantin termasuk penetapan harga makanan, memandangkan ia melibatkan pemegang taruh yang besar.

    “Sekolah dan kontraktor (pengusaha kantin) tertakluk dengan garis panduan tersebut. Jadi kalau ada dakwaan itu (harga mahal) mereka kena pergi kepada garis panduan yang telah dibuat.

    “Pemegang taruh untuk isu harga makanan ini besar, bukan saja dengan kontraktor kantin dan pihak sekolah, tapi juga KPM sebab nutrisi dan diet kanak-kanak kena tengok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di Kuala Terengganu, yang terjejas akibat banjir besar Disember lepas.

    Ditanya mengenai laporan rasmi berhubung isu itu, beliau berkata pihaknya akan mengumpul maklumat berkenaan jika mendapat aduan daripada mana-mana pihak.

    “Kalau ada aduan yang disifatkan sebagai mengganggu, sama ada memberi kesan kepada kontraktor kantin dan paling penting kepada kanak-kanak dan ibu bapa, kita minta kemukakan (aduan),” katanya.

    Baru-baru ini media melaporkan, harga makanan di kantin sekolah didakwa meningkat sehingga 50% pada sesi persekolahan baru-baru ini susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

    Sementara itu, Fadhlina berkata tafsiran kerugian secara keseluruhan bagi sekolah-sekolah terjejas akibat banjir di seluruh negara masih belum diperoleh KPM, namun peruntukan awal telah disalurkan kepada mana-mana sekolah yang teruk dan kritikal.

    Katanya, tahap kerosakan setiap sekolah di setiap negeri adalah berbeza justeru, peruntukan untuk proses penyelenggaraan juga adalah tidak sama.

    “Untuk SK Pulau Rusa ini misalnya, KPM memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk proses penyelenggaraan agar pelajar dapat belajar dengan selamat dan ceria,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya sangat kagum dengan usaha pihak sekolah berkenaan yang melakukan kaedah ‘staging’ sebagai persediaan untuk menghadapi banjir.

    “Kaedah staging saya fikir sangat efektif untuk tangani isu banjir. Kaedah ini boleh disebar luas ke negeri-negeri lain yang juga menghadapi isu banjir,” katanya.

    Staging adalah kaedah penyediaan platform tinggi di sekolah untuk menempatkan aset-aset sekolah bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda. – BERNAMA

  • KPM cari pendekatan menyeluruh selesai isu kantin di sekolah padat

    KPM cari pendekatan menyeluruh selesai isu kantin di sekolah padat

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mencari pendekatan untuk menyelesaikan isu kantin di sekolah dengan jumlah pelajar yang ramai, sehingga sesetengah sekolah terpaksa menjadualkan lima sesi waktu rehat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata sekolah dengan jumlah murid yang ramai, tidak dapat menampung bilangan murid yang datang secara serentak dan memerlukan beberapa sesi, sehingga ada sesetengah sekolah yang terpaksa melaksanakan sesi rehat sebanyak lima kali.

    Bercakap kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2) di sini hari ini, Radzi berkata situasi tersebut terjadi kerana sekolah yang mengalami kepadatan murid tetapi kantinnya hanya mampu menampung kapasiti asal, yang ruangnya tidak ditingkatkan selari dengan peningkatan kapasiti murid.

    “Ada sekolah sebab kantin tidak dapat memenuhi keperluan untuk menempatkan murid sewaktu masa rehat maka sesi rehat dilaksanakan antara tiga hingga lima kali, menyebabkan waktu rehat di sesetengah sekolah bermula terlalu awal pada pukul 8.30 pagi. Kalau terlalu awal, selang masa antara rehat hingga kembali ke rumah itu panjang,” katanya.

    Ditanya jika KPM akan mempertimbangkan kebenaran murid makan dalam bilik darjah terutama mereka yang membawa bekal dari rumah, Radzi berkata perkara itu memerlukan pemantauan yang menuntut penggunaan sumber manusia.

    Katanya kaedah itu pernah dilaksanakan sewaktu pandemik COVID-19 sedang memuncak, namun isu kantin itu memerlukan satu penyelesaian menyeluruh dan kekal untuk menangani situasi berkenaan. – BERNAMA

  • Kementerian Pendidikan lanjut pengecualian sewa kantin

    Kementerian Pendidikan lanjut pengecualian sewa kantin

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.

    “Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.

    “Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.

    Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.

    Sementara itu, ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.

    “Kalau boleh kami di KPM tidak mahu ada kaedah penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Omicron, kami berpandangan kaedah ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.

    Radzi turut menegaskan sekali lagi kepada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekolah supaya memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

    “KPM bersifat terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah tetapi perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

    “Ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.

    Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka. 

    Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka esok, 10 Jan. – BERNAMA