Tag: kanak-kanak perempuan

  • Kanak-kanak perempuan tujuh tahun rentung rumah terbakar

    Kanak-kanak perempuan tujuh tahun rentung rumah terbakar

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Air Itam, George Town, Pulau Pinang tengah malam tadi.

    Mangsa, G. Sri Laavanya ditemukan maut setelah terperangkap di dalam rumahnya yang musnah akibat kebakaran berkenaan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 11.19 malam.

    Jelasnya, Seramai 19 anggota termasuk penyelia dan ketua balai kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian.

    ”Apabila pihak bomba tiba di tempat kejadian didapati terdapat kebakaran melibatkan dua buah rumah di mana anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 80 peratus pada rumah pertama dan 50 peratus pada rumah bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, menerusi maklumat awal yang diterima oleh orang awam terdapat seorang mangsa kanak-kanak yang terperangkap di dalam salah sebuah rumah yang terbakar.

    ”Komander Operasi membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.

    ”Kebakaran dapat dikawal pukul 12.45 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pukul 12.55 pagi,” katanya.

    Tambahnya, mangsa ditemukan dalam keadaan rentung pada pukul 12.33 pagi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis.

    ”Kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan sehingga operasi tamat sepenuhnya pukul 1.23 pagi dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

    ,

  • Kanak-kanak mati lemas di kolam air panas

    Kanak-kanak mati lemas di kolam air panas

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan lemas dalam salah sebuah kolam air panas di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Ulu Legong di Baling kira-kira pukul 8 malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada Hospital Daerah Baling yang memaklumkan seorang kanak-kanak meninggal dunia.

    Katanya, berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku selepas kanak-kanak terbabit berada di kawasan tersebut bersama ahli keluarganya bagi tujuan riadah.

    “Pada awalnya, mangsa mandi di ruangan kolam kanak-kanak, namun kemudian dia hilang daripada pandangan dan warisnya gagal mencari di sekitar kolam berkenaan.

    “Kira-kira 15 minit kemudian, kanak-kanak tersebut dijumpai oleh pengunjung yang sedang mandi di salah satu ruangan kolam dewasa.

    “Kanak-kanak tersebut dibawa keluar dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bantuan awal pernafasan (CPR) diberikan dan waris menghubungi hospital sebelum ambulan membawanya ke unit kecemasan,” katanya.

    Shamsudin berkata, pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital pada pukul 11.20 malam dan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu mana-mana individu yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak yang mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    “Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

    “Oleh itu, saya menasihati masyarakat khususnya ibu bapa yang berkunjung ke Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak berulang kejadian tidak diingini pada masa akan datang.