Tag: Kanak-kanak lemas

  • Kanak-kanak lemas, abang sempat diselamatkan

    Kanak-kanak lemas, abang sempat diselamatkan

    KANAK-KANAK lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas di Pantai Kemayang, petang kelmarin.

    Semasa kejadian, mangsa, Muhammad Hanif Nurhaqim Amran dipercayai datang berkelah dan mandi bersama keluarganya di pantai itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mangsa dipercayai bermain di tembok penghadang ombak sebelum terjatuh ke dalam laut bersama abangnya, Muhammad Hanif Lokman, 12.

    Bomba katanya, menerima panggilan pada pukul 5.55 petang sebelum bergegas ke lokasi.

    “Mayat mangsa ditemui di kepala tembok penghadang ombak kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai terjatuh. Bagaimanapun, sebelum itu abang mangsa sempat diselamatkan orang awam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Kanak-kanak lemas, kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai

    Kanak-kanak lemas, kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak berusia 12 tahun ditemukan lemas selepas terperangkap dalam kereta dinaiki yang terjunam ke dalam Sungai Korok di Jitra, petang ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.23 petang.

    “Kejadian melibatkan sebuah kereta yang terjatuh ke dalam sungai dengan seorang mangsa berusia 12 tahun masih di dalam kereta tersebut.

    “Dua lagi mangsa dipercayai ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sayani berkata, anggota bomba kemudian berjaya menemukan dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu kira-kira pukul 4.10 petang.

    Katanya, operasi menyelamat turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

    “Kita juga mendapatkan bantuan kren di lokasi kejadian,” tambah beliau.

  • Budak 3 tahun lemas dalam tali air

    Budak 3 tahun lemas dalam tali air

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh di tali air di Kampung Kabor Besar, di Kuala Terengganu, pada pukul 4 petang tadi.

    Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa, Muhammad Sufi Ijaz Sobre, tiga tahun bermain air banjir bersama bapanya, Sobre Ramli, 33, abangnya, Muhammad Shakir Wafiudin, lapan tahun dan Muhammad Shafiq Arshad berusia satu tahun.

    Usaha mencari mangsa sedang dilakukan pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu di lokasi kejadian.

    Difahamkan, kanak-kanak terbabit ghairah sebelum bersama abangnya bermain air di atas jambatan yang hanya terletak kira-kira 10 meter dari lokasi dia bermain air dengan anak bongsunya.

    Menurut Sobre, dia tiba di kawasan tersebut pada pukul 4 petang.

    “Ketika sampai kami bermain air di tepi kawasan rumah yang dinaiki air tetapi tidak sedar abang mengajak adiknya ke jambatan.

    “Saya sudah pesan jangan main air di situ. Dalam beberapa saat saja selepas itu abang menjerit memberitahu adik jatuh ke dalam air.

    “Saya terus terjun tetapi arus sangat deras sebelum menghubungi saudara mara dan isteri, Nurul Ain Bakri, 33, yang sedang bekerja di Politeknik Kota,” katanya.

    Sebelum kejadian katanya, dia baharu saja mengambil tiga anaknya yang berada di rumah ibu di Kampung Tetambah, Kuala Terengganu, selepas pulang bekerja.

    Menurutnya, sebelum pulang ke rumah dia membawa tiga anaknya bermain air di kawasan berkenaan.

  • Kanak-kanak ditemukan lemas, terapung dalam paya

    Kanak-kanak ditemukan lemas, terapung dalam paya

    KEHILANGAN seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun selepas tidak balik ke rumahnya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang sejak petang semalam, terjawab apabila ditemukan meninggal dunia hari ini akibat lemas dalam sebuah paya.

    Muhammad Syafiq Abdullah ditemukan pada pukul 8 pagi di kawasan paya berdekatan kampung itu yang jaraknya hanya 500 meter dari rumahnya.

    Mayat ditemukan berseluar pendek berwarna biru tanpa baju, terapung dalam paya itu yang kedalamannya lebih kira-kira 1 meter.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris berkata, kehilangan mangsa di rumah hanya disedari ibunya kira-kira pukul 6 petang semalam sejurus tersedar daripada tidur.

    “Pada mulanya menyangkakan anaknya keluar bermain seperti selalu.

    “Namun, sehingga pukul 8 malam mangsa didapati masih belum pulang ke rumah yang seterusnya mengundang rasa tidak sedap hati serta bimbang tentang keselamatan mangsa sebelum meminta bantuan ahli keluarganya dan penduduk kampung mencari mangsa.

    “Usaha pencarian dilakukan di kawasan parit, paya dan lombong serta semua kawasan di sekitar kampung tetapi kanak-kanak itu tidak dijumpai.

    “Suri rumah tersebut mengambil keputusan membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya yang dilihat kali terakhir pukul 4 petang semalam telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Jelas Mohd. Zain, hasil siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan terjatuh ketika cuba mengambil sebiji bola yang dipercayai terjatuh ke dalam kawasan paya.

    Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

    Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Mayat kanak-kanak lapan tahun lemas ditemukan

    Mayat kanak-kanak lapan tahun lemas ditemukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, yang terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Shah Alam, semalam telah ditemukan mayatnya pagi ini. 

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa ditemukan orang awam di dasar longkang dengan jarak 15 meter dari tempat mangsa dipercayai jatuh, pada pukul  8.42 pagi. 

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

    Mangsa sebelum ini dilaporkan dikhuatiri hanyut dibawa arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang pada 6.18 petang semalam.

  • Kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas keluar dari kereta bapa

    Kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas keluar dari kereta bapa

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TINDAKAN seorang bapa parkir kereta di tepi sungai membawa padah, apabila tanpa disedari anaknya yang berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas selepas dipercayai keluar dari kenderaan tersebut sebelum terjatuh di sungai Felda Jengka 4, Maran, tengah hari semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman, kanak-kanak malang itu, Muhammad Abdullah Saiful Bahari disedari tiada di tempat duduk kereta berkenaan pada pukul 1 tengah hari, selepas15 minit bapanya meninggalkan dia berseorangan di situ.

    Menurut Norzamri, bapa mangsa mendakwa meninggalkan anaknya di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka.

    “Apabila menyedari mangsa tiada, dia bertanya kepada kakak dan abang mangsa yang berusia enam dan lapan tahun, sebaliknya mereka juga tidak menyedari bila mangsa keluar dari kereta,” ujarnya ketika dihubungi media hari ini.

    Sehubungan itu kata Norzamri, mereka cuba mencari mangsa di lokasi berhampiran sebelum bapa mangsa mendakwa menjumpai kesan tapak kaki anaknya itu di tepi sungai, lalu dia mengesyaki anaknya terjatuh di situ.

    Norzamri memberitahu, sungai itu terletak di dalam ladang kelapa sawit, iaitu sekitar tiga kilometer dari jalan utama.

    Katanya, bapa mangsa kemudian meminta bantuan orang kampung mencari anaknya di sungai sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada polis pada pukul 4 petang.

    Sebaik menerima laporan ujarnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan membabitkan polis, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, sebelum dihentikan pada 8 malam ekoran cuaca mulai gelap.

    Beliau berkata, operasi SAR disambung pagi ini dengan turut melibatkan anjing pengesan untuk mencari jejak akhir mangsa sama ada di sungai atau di hutan berhampiran,” jelas beliau.