Tag: kanabis

  • Penggunaan kanabis dalam perubatan: Malaysia minat belajar dari Thailand

    Penggunaan kanabis dalam perubatan: Malaysia minat belajar dari Thailand

    MALAYSIA berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kanabis terutama dalam aspek aplikasi berasaskan penyelidikan dan produk farmaseutikal untuk kegunaan perubatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau juga berharap Malaysia dan Thailand akan terus saling bertukar pengetahuan teknikal dan penyelidikan klinikal untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan produk kanabis dalam perubatan.

     “Pegawai kami (Malaysia dan Thailand) masih meneruskan pertukaran maklumat teknikal supaya kami lebih memahami bukti klinikal penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan serta kerangka kerja pengawalseliaan baharu,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya Anutin Charnvirakul, di sini, Selasa. 

    Khairy sedang mengadakan lawatan kerja empat hari atas undangan Anutin, yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand.

    Terdahulu, Khairy melawat Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan diberi taklimat mengenai dasar perubatan kanabis di Thailand, termasuk amalan, kaedah penanaman dan penyelidikan serta penggunaan kanabis dan ketum untuk tujuan kesihatan.

    Pada 9 Jun, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk perubatan.

    Khairy berkata beliau dan Anutin turut berbincang mengenai potensi dan peluang Thailand membekalkan Malaysia produk kanabis melalui GPO untuk tujuan penyelidikan klinikal bagi keselamatan dan keberkesanan penggunaan produk kanabis. 

    “Saya turut meminta Anutin untuk mengkaji kemungkinan Malaysia membekalkan Thailand dengan daun dan pokok ketum mentah,” katanya.

    Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Anutin yang telah mempelawa untuk mengetahui potensi penggunaan kanabis dan ketum serta kerangka kerja undang-undang untuk kegunaan perubatan.

    “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Anutin dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang telah berjaya mengubah kanabis menjadi sesuatu yang membawa manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat Thailand,” katanya. 

    Beliau berkata penanaman kanabis menawarkan sumber pendapatan baharu untuk petani dan orang ramai.

    Apabila ditanya sama ada Malaysia bercadang untuk membenarkan penggunaanya untuk tujuan perubatan, Khairy berkata “jika terdapat bukti klinikal yang membolehkannya”.

    “Antara ilmu penting yang diperoleh daripada pengalaman di Thailand ialah mengenai data klinikal dan data yang dikumpul sejak penggunaan kanabis untuk perubatan.

    “Sekiranya kami berpuas hati dengan data itu, pasti akan mempengaruhi kami untuk membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.

    Beliau berkata langkah Thailand dalam menerajui usaha membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan ialah contoh yang baik di rantau ASEAN dengan negara anggota lain boleh menggunakan data yang ada bagi merangka dasar.

    Sementara itu, Anutin berkata beliau berharap dapat berkongsi pengalaman Thailand dalam perubatan kanabis dengan Khairy dan Malaysia.

    Anutin juga berbesar hati untuk berkongsi pengalamannya tentang proses membenarkan kanabis dalam perubatan.

    Terdahulu, Khairy melawat Hospital Antarabangsa Bumrungrad, antara hospital swasta terbesar di Asia Tenggara, untuk mempelajari amalan terbaik dalam pelancongan perubatan. – BERNAMA

  • Makmal proses dadah di kondo mewah diserbu, lapan ditahan

    Makmal proses dadah di kondo mewah diserbu, lapan ditahan

    SEBUAH kondominium mewah yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin diserbu polis menerusi Ops Eltanin di  Mont Kiara di sini, Isnin lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata empat lelaki berusia 21 hingga 49 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 8 malam itu dan pihaknya merampas heroin seberat 11.95 kilogram dianggarkan bernilai RM160,130, kafien seberat 25 kilogram (RM8,500) dan peralatan memproses dadah.

    Beliau berkata hasil soal siasat terhadap suspek, pihaknya membuat serbuan susulan di sebuah sebuah kuil di Jalan Ipoh dekat sini dan sebuah stor ternakan anjing di Kampung Baru Subang, Shah Alam serta menahan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 43 tahun. 

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak dua bulan lepas sekitar Lembah Klang dan dengan penahanan ini, kita berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang menjadikan kondominium  mewah sebagai tempat menjalankan aktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Turut dirampas dalam dua serbuan tersebut ialah empat kenderaan iaitu Proton Myvi, Proton Perdana, Nissan Navara dan Toyota Harrier.

    Sahar berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek yang dtahan, dua didapati positif dadah jenis THC manakala enam lagi negatif dadah. 

    Katanya, enam daripada suspek yang ditahan mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. 

    Kesemua mereka ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama enam hari bermula 21 hingga 26 Sept ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

    Sementara itu, Sahar berkata seorang pelajar warga asing dari sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam ditahan kerana disyaki memiliki cecair dadah jenis kanabis dianggarkan seberat 200.62 gram di Jalan Alamanda 2, Presint 1 Putrajaya dekat sini Selasa lepas. 

    Beliau berkata, pelajar lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada 6.35 petang dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif  dadah jenis THC.

    “Siasatan awal mendapati cecair kanabis ini digunakan dengan cara mengisi cecair tersebut di dalam rokok elektronik (vape) dan ia mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakan-rakan rapat suspek. Urusan jual beli dijalankan melalui media sosial dan cecair ini boleh memberi kesan yang mengkhayalkan seperti penggunaan dadah jenis ganja,” katanya. 

    Katanya, suspek direman 14 hari sehingga 5 Okt dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.- BERNAMA