Tag: Kampung Forest

  • Air pasang besar: 38 lagi rumah roboh di Kampung Forest

    Air pasang besar: 38 lagi rumah roboh di Kampung Forest

    SEBANYAK 38 lagi rumah atas air di Kampung Forest di Sandakan roboh akibat fenomena air pasang sejak malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata sehingga 10 pagi tadi, terdapat pertambahan jumlah rumah roboh akibat fenomena berkenaan kepada angka sah iaitu 70 yang direkodkan semalam susulan kejadian malam Sabtu (24 Dis) lepas.

    “Pada pagi tadi, kita kenal pasti sebanyak 38 buah rumah telah roboh, menjadikan jumlah keseluruhan 108 buah rumah.

    “Kemudian, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 telah meningkat menjadikan jumlah 684 orang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Forest di sini hari ini.

    Abdul Fuad bersyukur ramai penduduk yang tinggal di pesisir pantai akur kepada nasihat pasukan keselamatan untuk meninggalkan rumah malam tadi sehingga tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Beliau sekali lagi mengulangi nasihat sama kerana dijangkakan air pasang besar akan berlaku lagi malam ini.

    “Sepertimana semalam, kita telah plotkan beberapa kenderaan dan juga pegawai serta anggota untuk memindahkan lebih awal penduduk yang berada di perumahan pesisir pantai,” katanya. – BERNAMA

  • Air pasang besar: Enam beranak bermalam dalam kereta

    Air pasang besar: Enam beranak bermalam dalam kereta

    BIMBANG laluan ke rumahnya terjejas akibat fenomena air pasang di sebuah perkampungan atas air di Sandakan, sebuah keluarga enam beranak mengambil langkah bermalam dalam kereta sebagai langkah keselamatan malam tadi.

    Riden Abdul Mutalib, 43, berkata dia sekeluarga keluar rumah yang berkedudukan hampir dengan kawasan darat di Kampung Forest kira-kira 9 malam apabila mendapati paras air laut mulai meningkat.

    “Kami risau jambatan (ke rumah) roboh nanti, susahlah kami turun (keluar rumah).

    “Sudahlah banyak rumah di laut sudah roboh (malam Sabtu lepas). Jadi, tiada lampu di sana,” katanya ketika ditemui di kampung itu.

    Riden berkata dia sekeluarga memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 kerana mahu menyelamatkan barang lain milik keluarganya tetapi pihak keselamatan hanya membenarkannya pulang ke rumah apabila paras air telah surut.

    “Mana yang kita boleh selamatkan, kita selamatkanlah…kita sangkakan tiada lagi air pasang kembali begini dalam,” katanya.

    Seorang lagi penduduk Kampung Forest Zulaikah Ali, 23, berkata dia sekeluarga juga memilih tidak berpindah ke PPS malam tadi sebaliknya menumpang rumah saudara yang berada pada paras kedudukan tinggi.

    Jelasnya, insiden pecah masuk rumah di kawasan itu menjadi kebimbangan penduduk setiap kali sesuatu bencana berlaku.

    Meskipun rumahnya tidak terjejas teruk oleh air pasang, dia berkata bekalan elektrik di kampung itu dimatikan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian Sabtu lepas manakala seorang bapa saudaranya bertindak tinggal untuk menjaga rumah bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

    Pada malam 24 Dis lepas, kira-kira 100 rumah di Kampung Forest roboh akibat fenomena air pasang besar.

    Setakat ini, sebanyak 684 orang melibatkan 122 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2. – BERNAMA