Tag: kampung

  • Beberapa buah kampung, 13 sekolah di Sarawak dinaiki air

    Beberapa buah kampung, 13 sekolah di Sarawak dinaiki air

    SEKURANG-kurangnya 13 buah sekolah dan beberapa kampung di pedalaman Miri dinaiki air susulan hujan berterusan sejak Jumaat malam.

    Memetik Astro AWANI, situasi itu telah mengakibatkan limpahan air sungai Baram sekali gus membanjiri beberapa penempatan di sekitarnya.

    Setakat pagi Sabtu, trend paras air masih lagi tinggi ditambah cuaca mendung.

    Menurut kemas kini Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Kampung Ekang Baram telah dinaiki air di ketinggian empat kaki setakat pukul 10.40 pagi.

    Turut terjejas Kampung Kuala Tutoh, Baram serta Kampung Long Loyang, Tinjar di daerah Beluru yang dinaiki air setinggi lapan kaki dan air masih naik secara perlahan biarpun cuaca cerah pada pagi Sabtu.

    Sekolah-sekolah yang terkesan pula adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Morek, SK Long Laput, SK Long Panai, SK Long Jegan, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok, SK Pengarah Enteri, SK Long Loyang, SK Ubong Imang, SK Long Teru, SK Long Sepiling, SK Long Wat dan SMK Tutoh Apoh.

    Bagaimanapun tiada murid-murid dan warga sekolah berada di sekolah ketika hujung minggu di samping pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selain keadaan di sekolah dilaporkan terkawal.

  • Ziarah ibu-bapa di kampung: Seelok-eloknya capai imunisasi kelompok dahulu – Dr Chong

    Ziarah ibu-bapa di kampung: Seelok-eloknya capai imunisasi kelompok dahulu – Dr Chong

    NEGARA perlu mencapai tahap imuniti kelompok seperti disasarkan sebelum ini, jika kerajaan mahu mempertimbangkan kebenaran perjalanan merentas negeri, khususnya untuk aktiviti menziarahi ibu-bapa di kampung.

    Memetik Astro Awani, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Chong Chee Keong berpendapat, dengan tahap imunisasi berkenaan, ia dapat mengurangkan risiko penularan COVID-19 daripada lebih melarat.

    Malah, katanya lagi, imunisasi kelompok juga mampu mengekang tahap kemasukan hospital bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit serius, dan dapat mengurangkan kematian.

    “Keseluruhannya saya yakin negara kita akan mencapai imunisasi kelompok dalam masa terdekat ini. Tetapi yang penting kita kena mencapai herd immunity ini dahulu supaya penyakit serius dan juga jumlah kematian dapat dikawal sebelum kita boleh mencapai kejayaan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lepas, menzahirkan perasaan optimis dengan kadar keberjayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Beliau berkata, jika situasi positif itu dapat dikekalkan, berkemungkinan orang ramai dapat kembali menziarahi ibu-bapa di kampung halaman, melancong dalam negara, serta anak-anak boleh kembali ke alam persekolahan.

    Dalam pada itu Dr Chong berkata, yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley berkata, buat masa ini kadar kemasukan ke hospital di sekitar Lembah Klang telah menurun.

    Jelasnya lagi, berdasarkan statistik yang diperolehi, tiada keperluan untuk menambah bilangan katil Unit Rawatan Rapi (ICU), namun mereka akan terus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Buat masa ini kita dapati bilangan pesakit masuk ke wad adalah stabil, dan kapasiti kita mencukupi. Oleh itu secara berperingkat, katil COVID-19 tambahan ini akan ditukarkan semula kepada katil COVID-19 untuk teruskan perkhidmatan bagi pesakit bukan COVID-19.

    “Tetapi sekiranya kes COVID-19 kembali bertambah, kita akan naikkan kapasiti dan meneruskan apa yang kita buat sekarang ini,” katanya lagi.