SEEKOR kambing betina telah melahirkan anak yang mempunyai wajah menyerupai manusia baru-baru ini, lantas menjadi bualan dan tarikan dalam kalangan penduduk di sebuah kampung di India.
Memetik laporan Mirror, anak kambing tersebut dilahirkan di Kampung Gangapur.
Pemiliknya, Shankar Das, 46, berkata, anak kambing itu mati tidak lama selepas ia dilahirkan.
Haiwan yang kelihatan aneh itu dilahirkan dengan hanya sepasang kaki serta muka, hidung dan mulut yang dikatakan mirip manusia.
Namun, ia tidak mempunyai ekor manakala telinganya juga tidak sempurna serta tidak mempunyai bulu pada kulitnya.
Kejadian luar biasa itu amat mengejutkan bagi pemilik kambing terbabit yang kali pertama berdepan dengannya.
“Jiran-jiran datang ke rumah kami. Semua orang terkejut kerana ia menyerupai seorang bayi.
“Sebelum ini, kambing betina itu pernah bersalin. Kali ini yang kedua. Kejadian ini mengejutkan saya dan penduduk kampung juga,” kata Shakar.

Dia menambah, penduduk kampung pada mulanya gembira apabila seekor anak kambing betina dilahirkan namun mereka kemudia kecewa apabila melihat apa yang berlaku.
Di India, kelahiran haiwan yang cacat dianggap sebagai petanda malang kepada pemiliknya.
Seorang penduduk, Rakesh Kumar berkata, di kebanyakan tempat, kejadian sedemikian dianggap sebagai amaran dari tuhan.
Shakar memberitahu, keluarganya sedih dan keliru dengan insiden yang aneh itu.
Sementara itu, seorang pakar veterinar, Fayyaz Ahmad berkata, anak kambing itu mungkin mengalami mutasi akibat jangkitan demam Lembah Rift.
“Terdapat juga kemungkinan lain yang menyebabkan berlaku mutasi genetik.
“Para petani dinasihatkan agar membawa haiwan milik mereka ke veterinar untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya.