Tag: Kakitangan

  • Sulaiman tak sedih tinggal jawatan KM Melaka, cuma…

    Sulaiman tak sedih tinggal jawatan KM Melaka, cuma…

    DATUK Seri Sulaiman Md Ali mengakui berasa sedih untuk meninggalkan kakitangan yang telah berkhidmat dengan cukup baik sepanjang beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu yang melepaskan jawatan Ketua Menteri berkuatkuasa esok turut meminta semua kakitangan pejabatnya di Seri Negeri terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penggantinya.

    Memetik laporan BH Online, Sulaiman meminta supaya prestasi perkhidmatan kakitangan dikekalkan untuk Ketua Menteri baharu, sama seperti yang diberikan kepada dirinya.

    Beliau juga mengakui tidak berasa sedih untuk melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka itu.

    “Saya tidak sedih untuk meninggalkan jawatan ini (Ketua Menteri), saya tidak sedih untuk meninggalkan kerusi yang empuk di tingkat empat Seri Negeri ini, tetapi saya sedih untuk meninggalkan semua kakitangan saya yang baik, cemerlang dalam perkhidmatan serta sentiasa jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.

    “Saya tidak mampu lagi memperoleh staf seperti ini dan sudah pasti jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan,” katanya yang turut menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas ada hari terakhir memasuki pejabatnya, hari ini.

    Video ucapan Sulaiman yang dilihat mengesat air mata turut tular di media sosial.

    Pertemuan turut membabitkan kira-kira 50 kakitangan Pejabat Ketua Menteri Melaka, termasuk pegawai kanan, staf sokongan, kerani, pembantu tadbir, pekerja am serta pengawal keselamatan.

    Pada masa sama, Sulaiman turut mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua kakitangan di pejabatnya.

    “Saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan pejabat ini yang banyak membantu saya dan memberikan perkhidmatan sangat cemerlang sepanjang saya berada di sini.

    “Sama-sama kita berdoa semoga Allah limpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua,” katanya.

    Sulaiman, 58, pertama kali diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka pada bulan Mac 2020 selepas Barisan Nasional (BN) dan rakan sekutu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

    Beliau kemudiannya dilantik semula selepas BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada November 2021.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa parti itu sudah pun mencadangkan ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

    Ahmad Zahid memberitahu, Sulaiman meletakkan jawatan disebabkan masalah kesihatan.

    Menurut Ahmad Zahid, UMNO sudah pun mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berhubung peletakan jawatan Sulaiman.

  • Tuntutan palsu lebih RM100,000, kakitangan sekolah direman 3 hari

    Tuntutan palsu lebih RM100,000, kakitangan sekolah direman 3 hari

    SEORANG kakitangan di sebuah sekolah di Johor yang ditahan semalam bagi membantu siasatan disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, direman tiga hari bermula hari ini.

    Perintah reman hingga 9 Feb terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret R.Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ia bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Semalam, SPRM Cawangan Batu Pahat menahan individu itu di pejabat SPRM di Johor Bahru pada 5 petang selepas hadir memberikan keterangan.

    Menurut sumber, pada 2021, individu itu menyediakan dokumen atas nama sebuah syarikat bagi menuntut bayaran kerja pembekalan modul bahan pengajaran dan pembelajaran untuk kegunaan pelajar sekolah itu bagaimanapun kerja pembekalan itu didapati tidak dilaksanakan. – BERNAMA

  • Kakitangan, bekas pengetua sekolah ditahan SPRM

    Kakitangan, bekas pengetua sekolah ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kakitangan dan bekas pengetua sebuah sekolah di Kluang ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan, lapan tahun lalu.

    Menurut sumber, kakitangan berusia 41 tahun dan bekas pengetua berusia 60 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang antara pukul 11 hingga 11.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Warta Rakyat difahamkan, pada 2015 hingga tahun lalu, kakitangan tersebut telah menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan di sekolah tersebut kepada syarikat miliknya sendiri.

    Pada masa sama, bekas pengetua sekolah itu juga dikatakan dengan niat bersama meluluskan kerja-kerja tersebut kepada syarikat terbabit.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.