Tag: kaki

  • Mayat remaja dibaham buaya ditemukan tanpa kepala, kaki

    Mayat remaja dibaham buaya ditemukan tanpa kepala, kaki

    MAYAT remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Tinjar di Miri, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna oleh penduduk kampung pada awal pagi hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak mengesahkan mayat mangsa ditemukan pada jarak enam kilometer dari lokasi terakhir mangsa mandi berhampiran Rumah Magdeline di Lubok Mulong Melugu Bakong pada pagi Rabu lalu.

    “Ketika ditemukan empat orang penduduk kampung, hanya bahagian badan mangsa sahaja yang dijumpai, tanpa kepala dan kedua-dua belah kaki serta tangan mangsa.

    “Kita percaya bahawa mangsa dipercayai dibaham buaya memandangkan kepala dan kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa hilang dengan beberapa kesan gigitan pada tubuh mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah keluarga mangsa sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

    Pada Rabu lalu, mangsa yang dikenali sebagai Agustine Ujang Stewart, 13, sedang mandi di sungai terbabit berhampiran Lubok Mulong dilaporkan hilang dibawa arus deras.

  • Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

    Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

    RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan di Hospital Putrajaya (HPj), semalam.

    Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu, dan pembedahan selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah pada pukul 6.40 petang.

    “Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata terutamanya di negeri Perlis serta semua kaum kerabat dan sahabat handai yang sama-sama mendoakan kehadapan Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesembuhan segera ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu memaklumkan Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan warga kerja HPj termasuk pakar perubatan dan petugas kesihatan lain serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan urusan rawatan dan pembedahan Raja Perlis itu dapat berjalan dengan sempurna.

    “Pembedahan Tuanku Raja Perlis telah dijalankan bersama empat orang Pakar Perunding Ortopedik dan tiga orang Pakar Perunding Anestesia. Turut berada di hospital pada semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Pengarah (Endokrin) HPj Dr Mohammad Khairol Anwar Yusop,” menurut kenyataan itu.

    Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Pemangku Raja dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berada di HPj ketika pembedahan itu dilaksanakan.- BERNAMA