Tag: Kakak bunuh adik

  • Hujung pisau dibaling kakak terkena arteri bahagian kanan leher adik

    Hujung pisau dibaling kakak terkena arteri bahagian kanan leher adik

    PUNCA kematian remaja lelaki berusia 16 tahun yang terkena pisau dibaling kakaknya di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di Iskandar Puteri semalam, disahkan akibat pendarahan yang banyak pada saluran darah utama.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, perkara itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan ke atas mayat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, pendarahan berlaku akibat hujung pisau pemotong sayur dibaling kakak mangsa terkena pada arteri di bahagian kanan leher mangsa.

    “Sebab kematian mangsa adalah kerana satu tusukan pisau dan hujung pisau itu terkena pada saluran darah utama (arteri) menyebabkan pendarahan yang banyak,” katanya dalam laporan itu, hari ini.

    Semalam, media melaporkan remaja lelaki maut dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya.

    Rahmat berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sejurus insiden berkenaan dan pisau pemotong sayur itu sudah dirampas.

    Katanya, tiada kecederaan lain ditemui pada mangsa.

    Hari ini, kakak mangsa yang berusia 18 tahun ditahan reman enam hari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Rahmat dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik dan ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

    “Kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah,” katanya semalam.

  • Berebut tempat duduk kereta, kakak tikam adik

    Berebut tempat duduk kereta, kakak tikam adik

    SEORANG remaja lelaki maut, dipercayai ditikam kakaknya selepas berebut tempat duduk di dalam kereta ketika pulang sekolah.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, perselisihan faham dua beradik itu berlarutan selepas tiba di rumah mereka di Ulu Pulai, Ulu Choh, semalam.

    Katanya, polis menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada 2.15 petang yang melaporkan mangsa maut ditikam.

    Beliau berkata, ibu mangsa mendakwa mangsa berusia 16 tahun bertengkar dengan kakaknya berusia 18 tahun, kerana berebut tempat duduk dalam kereta.

    Katanya, kakak mangsa berang selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang.

    “Bedah siasat akan dijalankan esok (Khamis) di Hospital Sultanah Aminah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek ditahan dan perintah tahanan reman akan dilakukan esok.