Tag: kajian

  • Air hujan tidak lagi selamat untuk diminum

    Air hujan tidak lagi selamat untuk diminum

    SATU kajian baharu oleh saintis dari Universiti Stockholm mendedahkan air hujan di seluruh dunia tidak lagi selamat untuk diminum.

    Ia disebabkan tahap baharu bahan kimia toksik dikenali sebagai PFAS yang melepasi garis panduan terbaharu.

    PFAS yang dikenali sebagai ‘forever chemicals’ kerana mengambil masa amat lama untuk terurai, ia pertama kali ditemui dalam bahan pembungkusan barang, syampu atau alat solek.

    Bagaimanapun ia kini telah tersebar ke seluruh alam sekitar termasuk air dan udara.

    “Tiada tempat di dunia ini di mana air hujan selamat untuk diminum, berdasarkan sukatan yang telah kami ambil,” kata pensyarah universiti berkenaan Ian Cousins.

    Beliau yang mengetuai kajian diterbitkan dalam Environmental Science and Technology kepada AFP berkata, kompilasi data dihimpunkan pasukannya sejak 2010 menunjukkan ‘tahap air hujan di Antartika atau dataran Tibet telah melepasi garis panduan air minuman dicadangkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS.

    Dua kawasan berkenaan yang lazimnya dianggap paling bersih masih merekodkan tahap PFAS ’14 kali lebih tinggi’ berbanding garis panduan air minuman ditetapkan EPA.

    Menurut Cousins, EPA baru-baru ini menurunkan garis panduan PFAS secara signifikan selepas mendapati bahan kimia berkenaan berupaya menjejaskan tindak balas imun kanak-kanak terhadap vaksin.

    PFAS yang diserap tubuh manusia akan terus terkumpul dalam badan.

    Menurut beberapa kajian lagi, pendedahan kepada PFAS juga boleh membawa kepada masalah kesuburan, merencatkan pertumbuhan kanak-kanak, meningkatkan risiko obesiti atau kanser tertentu selain meningkatkan tahap kolesterol.

    Beliau menambah, PFAS kini “sangat giat” dan ada di mana-mana sehinggakan mereka tidak akan hilang dari planet ini.

  • Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana – KPM

    Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana – KPM

    TAHAP keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

    Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.

    “Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar. 

    “51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini. 

    Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik COVID-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.

    Menurut kementerian itu 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

    Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian. 

    Sebanyak 1,053 pemerhatian terhdap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran Nazir Sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4 peratus berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.- BERNAMA 

  • Kajian dedah Delta membiak dalam hidung – Dr Noor Hisham

    Kajian dedah Delta membiak dalam hidung – Dr Noor Hisham

    TIDAK hanya boleh merebak dalam tempoh lima hingga 15 saat serta tersebar melalui udara, kajian baharu mengenai varian Delta, mendapati varian berkenaan boleh membiak dalam hidung individu yang sudah mendapat vaksin.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian itu membiak di dalam hidung individu yang sudah divaksinasi seolah-olah dia belum mendapatkan vaksin.

    Menurutnya, virus itu yang membiak itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi.

    “Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

    Sebelum ini beberapa kajian yang dijalankan di hospital di India, Provincetown, Massachusetts dan Finland juga turut mendapati selepas penularan varian Delta, terdapat banyak virus dikesan di dalam hidung seseorang indvidu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak.

    Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, meskipun terdapat kemungkinan varian Delta itu boleh menjangkiti orang lain, individu yang divaksin masih dapat dilindungi daripada gejala yang lebih teruk serta kematian.

    Ujar beliau, ini sekali gus mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan ICU.

    Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berharap semua orang mengambil suntikan vaksin Covid-19 demi mengelakkan risiko yang lebih tinggi terhadap jangkitan varian Delta itu.

  • Empat runtuhan tanah dikesan di Gunung Jerai

    Empat runtuhan tanah dikesan di Gunung Jerai

    JABATAN Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesan sekurang-kurangnya empat runtuhan tanah pada lereng Gunung Jerai yang dipercayai berlaku ekoran fenomena kepala air pada Rabu lepas.

    Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan JMG Dr Ferdaus Ahmad berkata runtuhan itu dikesan berdasarkan pemerhatian awal pasukan Task Force Bencana Geologi jabatan itu yang ditugaskan mengenal pasti punca kejadian itu selain membuat penilaian risiko.

    “Pada dasarnya apa yang berlaku kita boleh panggil sebagai satu bencana geologi, bencana ini antaranya adalah tanah runtuh, tanah runtuh boleh disebabkan oleh hujan yang berterusan dalam masa yang panjang dan juga mungkin disebabkan gegaran oleh gempa bumi.

    “Dalam kes di Gunung Jerai, kita dapati bahawa sebelum kejadian tersebut, berlaku hujan pada kadar luar biasa, jadi dalam masa yang sama perkara ini berlaku dengan gabungan bentuk muka bumi gunung yang sudutnya lebih 25 darjah,” katanya ketika ditemui pemberita di Titi Hayun di sini hari ini.

    Katanya, antara jenis batuan yang terdapat di gunung itu yang dikenal pasti ialah batu pasir, granit dan kuarzit juga boleh menjadi penyumbang kepada kejadian yang berlaku.

    Bagaimanapun, beliau menjelaskan siasatan dan kajian terperinci masih diperlukan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di gunung itu sebelum pihaknya dapat membuat sebarang kesimpulan.

    “Ketika ini kita tidak boleh masuk ke kawasan runtuhan di gunung itu kerana faktor keselamatan. Untuk peringkat awal kita akan membuat pemetaan kawasan gunung menggunakan dron dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata berdasarkan pemetaan itu nanti pihaknya akan mengenal pasti kawasan yang pernah berlaku kejadian serupa sebelum ini dan kawasan lain yang mungkin berisiko berlaku bencana geologi atau fenomena kepala air seperti yang diketahui umum.

    Sementara itu, Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Abdullah Sulaiman berkata bencana geologi di Gunung Jerai pada Rabu mempunyai persamaan dengan kejadian yang pernah berlaku sebelum ini termasuk tragedi Pos Dipang, Kampar di Perak pada 1996 yang disebabkan gabungan beberapa faktor geologi.

    Justeru, beliau berkata hasil kajian dan siasatan serta penilaian risiko perlu dibuat dengan segera agar potensi untuk bencana geologi itu berulang di Gunung Jerai dapat dikenal pasti untuk diambil tindakan sewajarnya.

    “Selepas mendapat hasil kajian dan siasatan, kita akan buat syor kepada pihak kementerian atau kerajaan tempatan untuk cadangan yang perlu dipertimbangkan. Kita akan masukkan sekali penilaian risiko untuk mengelakkan bencana seperti ini berlaku lagi,” katanya.

    Setakat ini, tragedi banjir yang disebabkan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang Rabu meragut empat nyawa, manakala dua lagi masih hilang.

    Bencana itu turut menjejaskan kawasan sekitar gunung di daerah ini selain daerah Kuala Muda.- BERNAMA