Tag: Kahang

  • Helikopter hantar 4 tan makanan bantu mangsa banjir di Kahang

    Helikopter hantar 4 tan makanan bantu mangsa banjir di Kahang

    EMPAT tan bekalan makanan dihantar menerusi dua penerbangan menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, bagi membantu mangsa banjir yang terputus jalan perhubungan di Kahang, dekat Kluang.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrain Md Nor berkata penghantaran bekalan makanan itu untuk kegunaan lebih kurang 660 mangsa yang terdiri daripada pekerja ladang di Ladang Kelapa Sawit Selai dan Ladang Kelapa Sawit Enggang.

    Beliau berkata bekalan makanan itu turut dihantar kepada 240 keluarga Orang Asli melibatkan Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Pangkalan Tereh.

    “Penerbangan menggunakan helikopter jenis Agusta Westland (AW139) yang dikendalikan juruterbang Supt Mohd Fairuz Jamil dan pembantu juruterbang ASP Shahrizat Shahrudin dari Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Semenanjung PDRM.

    “Antara barang yang dihantar termasuk beras, air mineral, gula dan barangan keperluan lain, yang dijangka boleh bertahan empat hingga lima hari,” katanya dalam sidang akhbar di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, hari ini. 

    Bahrain berkata bagi penduduk Orang Asli yang lain termasuk di Kampung Orang Asli Peroh dan Pucur, penghantaran akan dilakukan melalui laluan sungai dalam masa terdekat.

    Beliau juga menambah sekiranya ada mangsa banjir yang juga terputus hubungan jalan (darat), mereka dinasihati supaya sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa terutamanya polis dan pasukan penyelamat agar usaha mengeluarkan dan memberikan bantuan dapat dilaksanakan segera.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan lebih 2,000 pekerja ladang dan penduduk di perkampungan Orang Asli di Kahang, dekat sini, terputus hubungan akibat jalan penghubung ke kawasan berkenaan ditenggelami air akibat banjir.

    Beliau berkata jumlah berkenaan membabitkan 1,700 pekerja di 14 ladang dan 647 penduduk dari enam perkampungan Orang Asli. – BERNAMA

  • Banjir: 2,000 penduduk terputus hubungan darat, makanan dikhuatiri habis

    Banjir: 2,000 penduduk terputus hubungan darat, makanan dikhuatiri habis

    LEBIH 2,000 penduduk dari 14 ladang dan enam perkampungan Orang Asli sekitar Kahang dekat Kluang terputus hubungan darat akibat banjir di Johor.

    Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan berusaha memberi bantuan makanan termasuk menggunakan helikopter ke kawasan terjejas jika keadaan memerlukan.

    “Ada satu berita tular satu ladang terputus hubungan (Ladang Selai) dan kita sahkan.

    “Ada 14 ladang di Kluang yang terputus hubungan menuju Kampung Peta yang terputus hubungan darat akibat banjir namun masih boleh berhubung melalui telefon.

    “Kenderaan tak boleh melaluinya kecuali menggunakan bot yang memakan masa dua jam dan ketua polis daerah dan Pejabat Daerah akan berusaha membawa bekalan ke sana.

    “Cuma sekarang keadaan hujan dan cuaca gelap, kita akan cari jalan terbaik untuk meminta bantuan helikopter sama ada pihak polis, ATM atau bomba sendiri untuk membawa bekalan ke sana,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat Balai Polis Kahang di sini hari ini.

    Dalam pada itu katanya terdapat 12,400 pegawai dan anggota unit penyelamat pelbagai jabatan di negeri ini dengan 8,000 daripadanya diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menangani bencana di negeri ini.

    “Unit penyelamat itu merangkumi polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukam Gerakan Am (PGA) , Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya.

    “Sebanyak 200 kenderaan digunakan termasuk bot, kenderaan pacuan empat roda dan sebagainya untuk tugas menyelamat,” katanya.

    Beliau mengingatkan supaya orang ramai tidak cuba meredah banjir kerana arus deras dan membahayakan.

    “Apabila dilalui kenderaan akan hanyut dibawa arus sekali gus membahayakan nyawa,” katanya.

    Terdahulu media melaporkan kira-kira 300 pekerja Ladang Selai, Kahang merayu bantuan berikutan mereka terputus hubungan selepas laluan masuk ke kawasan itu dinaiki air setinggi lebih satu meter.

    Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata penduduk bimbang sekiranya hujan lebat berterusan, mereka akan kehabisan stok makanan yang dijangka bertahan dua hari lagi.

  • Nahas 6 maut: Duit RM40 pemberian terakhir anak buat bapa

    Nahas 6 maut: Duit RM40 pemberian terakhir anak buat bapa

    DUIT RM40 yang diberikan Mohd Ashraf Rafiq Mohd Arifin, 11, adalah kenangan terakhir bagi bapanya, Mohd Arifin Syamsuddin sebelum anaknya itu meninggal dunia dalam kemalangan maut yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang, petang semalam.

    Mohd Arifin, 32, berkata pada mulanya dia enggan menerimanya, namun anak sulungnya itu berkeras tetap mahu memberikan kepadanya dengan alasan boleh digunakan ketika mereka bercuti nanti.

    Selain pemberian itu, tiada perubahan sikap yang berlaku terhadap anaknya itu, cuma kanak-kanak itu meminta untuk menaiki kereta Perodua Myvi yang sama dengan sepupu mereka.

    “Selama ini kami sekeluarga tidak pernah menaiki kereta berasingan ketika bercuti, namun kali ini anak saya itu mahu menaiki kereta Myvi bersama sepupu mereka, kami berkonvoi tiga kereta menuju ke Mersing untuk bercuti.

    “Ketika kejadian, saya yang berada di hadapan terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang dan terkejut bila lihat ada kenderaan lain melintang di tengah jalan, sedangkan kereta Perodua Myvi yang dinaiki anak saya tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di perkarangan hospital, malam tadi.

    Mohd Arifin berkata dia yang memandu kereta Perodua Bezza terus membuat pusingan U dan mendapati kereta Perodua Myvi terbabit sudah terbalik di bahu jalan dan terus meluru keluar menyelamatkan mereka.

    Dia berkata ketika usaha menyelamatkan mereka yang berada di dalam kereta itu, dia mendakwa terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca daripada pagar yang berada di kawasan berkenaan, namun tidak mempedulikannya kerana nyawa ahli keluarga lebih penting.

    “Pada mulanya saya bersama pakcik berusaha untuk mengeluarkan mangsa, namun dia yang mempunyai penyakit jantung memberhentikan hasratnya itu.

    “Orang ramai yang berada di lokasi tidak berani turun ke kawasan itu tetapi saya terus nekad untuk menyelamatkan mangsa satu persatu bermula dengan mendukung anak saya,” katanya.

    Selain Mohd Ashraf Rafiq, mereka yang meninggal dunia ialah pasangan adik beradik Muhammad Zharfan Noramin, 16, dan Muhammad Syakir Noramin 11; Siti Nurzannah Kahdar, 26; Masrina Kahdar, 21 dan Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22.

    Terdahulu, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kluang ke Kahang untuk berkelah di Pantai Air Papan, Mersing, sebelum kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung kereta Honda Stream di lokasi berkenaan pada pukul 4.40 petang, semalam. – BERNAMA