Tag: kadar pengangguran

  • Kadar pengangguran di Malaysia menurun kepada 4.6 peratus pada Ogos

    Kadar pengangguran di Malaysia menurun kepada 4.6 peratus pada Ogos

    Laporan Tenaga Buruh Malaysia (LTBM) memaklumkan, kadar pengangguran di Malaysia pada Ogos 2021 menurun sebanyak 0.2 peratus kepada 4.6 peratus berbanding Julai yang merekodkan 4.8 peratus.

    Menurut LTBM, bilangan penganggur berkurang sebanyak 3.8 peratus bulan ke bulan bersamaan 29.4 ribu orang mencatatkan 748.8 ribu orang berbanding 1.2 peratus atau 778.2 ribu orang pada Julai.

    “Ini merupakan penurunan pengangguran yang pertama setelah merekodkan peningkatan pada Jun dan Julai 2021,” katanya, hari ini.

    Sementara itu, kadar penduduk bekerja meningkat sebanyak 81.8 ribu kepada 15.38 juta orang pada Ogos 2021 berbanding 15.29 juta orang pada Julai.

    Menurutnya, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan penduduk bekerja terus berada dalam trend meningkat bagi bulan keenam iaitu sebanyak 1.5 peratus atau dengan pertambahan 223.1 ribu orang berbeza dengan 15.15 juta orang pada Ogos 2020.

    “Pada Ogos, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus berbanding 65 peratus pada Julai.

    “Sektor perkhidmatan terus mencatatkan perubahan positif bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

    “Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif setelah mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya manakala sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian kekal dalam trend menurun,” ujarnya.

    Dalam pada itu, pada Ogos 2021, bilangan tenaga buruh terus meningkat bagi bulan kedua sebanyak 0.3 peratus atau dengan pertambahan 52.5 ribu orang kepada 16.13 juta orang berbanding 16.07 juta orang pada Julai.

    “Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding laporan pada Julai yang mencatatkan 68.3 peratus.

    “Selain itu, bilangan luar tenaga buruh menurun sebanyak 0.4 peratus atau 26.9 ribu orang merekodkan 7.45 juta orang berbeza dengan 7.48 juta orang yang direkodkan pada bulan lalu.

    “Komponen terbesar luar tenaga buruh adalah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga yang meliputi 44.8 peratus dan diikuti kategori bersekolah atau latihan dengan 41.8 peratus,” tambahnya.

  • Kadar pengangguran di Malaysia turun pada suku kedua 2021

    Kadar pengangguran di Malaysia turun pada suku kedua 2021

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Sumber Manusia merekodkan kadar pengangguran rakyat Malaysia turun 0.3 peratus pada suku kedua tahun ini iaitu kepada 4.8 peratus berbanding 5.1 peratus yang dicatat pada tempoh sama pada 2020.

    Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bagi kedudukan pengangguran di peringkat negeri pada suku kedua tahun ini, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatat kadar pengangguran lebih lapan peratus iaitu masing-masing pada kadar 8.8 peratus dan 8.7 peratus.

    “Ini menunjukkan daripada 100 orang tenaga buruh di negeri itu, sembilan orang daripadanya adalah penganggur,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

    Katanya, bagi tempoh sama, Perlis mencatatkan kadar pengangguran 5.3 peratus manakala enam negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih 4.0 peratus iaitu Kelantan (4.8 peratus), Kuala Lumpur (4.7 peratus), Perak, Selangor dan Sarawak masing-masing 4.4 peratus serta Terengganu pada kadar 4.2 peratus.

    “Enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mencatatkan kadar pengangguran antara 3.5 peratus ke 3.9 peratus.

    “Kadar pengangguran terendah pula adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada kadar 1.7 peratus. Ini dapat dikaitkan dengan penglibatan tinggi penduduk kawasan ini yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya.

    Saravanan berkata, terdapat tujuh negeri mencatatkan kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus, menggambarkan ekonomi negeri berkenaan masih beroperasi dengan guna tenaga penuh.

    Pada masa sama, penurunan bilangan penganggur direkodkan di tujuh negeri iaitu Sabah, Perak, Sarawak, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Putrajaya, kata beliau.

    Bagaimanapun katanya, Selangor mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan penduduk bekerja, namun bilangan penganggur di negeri itu turut meningkat sebanyak 2.3 peratus iaitu 3,700 orang daripada 161,000 orang kepada 165,000 orang.