Tag: kabinet kerajaan perpaduan

  • Kabinet Kerajaan Perpaduan: 27 Timbalan Menteri selesai angkat sumpah jawatan

    Kabinet Kerajaan Perpaduan: 27 Timbalan Menteri selesai angkat sumpah jawatan

    SERAMAI 27 Timbalan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

    Upacara itu dimulakan dengan istiadat angkat sumpah dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong, Timbalan Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

    Ahmad Maslan ketuai kumpulan pertama angkat sumpah Timbalan Menteri Timbalan Menteri lain yang turut mengangkat sumpah ialah Akmal Nasrullah Nasir (Pembangunan Kerajaan Tempatan), Adly Zahari (Pertahanan), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Kerja Raya), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Dalam Negeri), Liew Chin Tong (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Yusof Apdal (Pendidikan Tinggi), Datuk Arthur Joseph Kurup (Sains, Inovasi dan Teknologi), Aiman Athirah Sabu (Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat) , Fuziah Salleh (Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

    Selain itu Ramkarpal Singh (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Hwang Tiong Si (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Saraswathy Kandasamy (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Mohamad Alamin (Luar Negeri), Khairul Firdaus Akbar Khan (Pelancongan, Seni dan Budaya), Teo Nie Ching (Komunikasi dan Digital), Lim Hui Ying (Pendidikan), Adam Adli Abdul Halim (Belia dan Sukan), Mustafa @ Mohd Yunus Sakmud (Sumber Manusia), Lukanisman Awang Sauni (Kesihatan) dan Datuk Wilson Ugak Kumbong (Jabatan Perdana Menteri).

  • Kabinet Anwar hadir mesyuarat tanpa pakai tali leher

    Kabinet Anwar hadir mesyuarat tanpa pakai tali leher

    MESYUARAT kabinet Kerajaan Perpaduan yang berlangsung pagi ini tampil berbeza apabila jemaah menteri yang hadir tidak mengenakan tali leher.

    Perkara itu dikongsi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi Twitter beliau.

    Menerusi foto itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga kelihatan tidak memakai tali leher seperti kebiasaannya.

    Kesemua menteri lelaki hanya memakai sut gelap yang dipadankan dengan kemeja rona cerah.

    Sinar Harian dalam laporannya difahamkan, ia merupakan imej Anwar sejak dari dulu lagi dan beliau hanya akan pakai tali leher ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong dan sidang Parlimen.

    “Sebenarnya bukan tali leher yang penting, tetapi paling utama bagi Anwar ialah sebuah kabinet itu benar-benar berfungsi dan beri tumpuan kepada rakyat sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

    Ditanya sama ada terdapat arahan dikeluarkan, beliau berkata, tiada sebarang arahan sebaliknya semua anggota kabinet dilihat mahu memperlihatkan imej yang sama dengan Perdana Menteri.

    Pada hari pertama menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri, Anwar lebih selesa menggayakan baju Melayu berwarna merah jambu lembut lengkap bercapal.

    Keesokannya pula, beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara selesa menggayakan baju batik berwarna ungu di kala penjawat awam lain lengkap mengenakan lounge suit.

    Sementara ketika tampil di Kementerian Kewangan pada Selasa, beliau kekal dengan penampilan ringkas tidak memakai tali leher meskipun mengenakan sut pejabat.

  • Kerajaan Perpaduan: Tak bermaksud angkat muat, pilih watak bermasalah – Kadir

    Kerajaan Perpaduan: Tak bermaksud angkat muat, pilih watak bermasalah – Kadir

    TOKOH Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya bermaksud ia dibentuk secara angkat muat, sebaliknya wajib mempunyai integriti.

    Menurut beliau, ia harus memuaskan hati atau sekurang-kurangnya menenangkan perasaan 14.82 juta pengundi yang keluar memilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    Katanya, kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan perpaduan dan bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun kerajaan apa pun, ciri-ciri yang baik hendaklah diutamakan.

    “Bukan sebuah kerajaan yang tidak seimbang daripada segi perwakilan parti anggota atau pemilihan watak-watak yang bermasalah menjadi menteri. Kerajaan perpaduan tidak bermaksud angkat muat, tidak kira permata atau kaca, yang berakhlak atau tidak. Yang kalah dilantik menteri, yang menang diketepikan.

    “Ketidakadilan boleh meleraikan muhibah dan perpaduan. Kerajaan perpaduan, kerajaan campuran atau apa-apa pun nama yang diberikan, bukan saja harus memuaskan hati Perdana Menteri, menteri-menteri dan penyokong mereka, tetapi wajib ada integriti.

    “Lebih daripada itu, ia harus memuaskan hati atau sekurang-kurangnya menenangkan perasaan 14.82 juta rakyat jelata yang keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

    Kadir bagaimanapun berkata, atas alasan Kerajaan Perpaduan, pelantikan kontroversi yang sebelum ini dielakkan oleh kerajaan pimpinan dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini dilakukan.

    “Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menjustifikasikan pelantikan orang yang ada kes mahkamah menggunakan alasan ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, kebimbangan kita adalah hujah itu akan menjadi ‘self-fulfilling prophesy’.

    “Ertinya, orang yang menggunakan hujah itu mungkin mahu pendapatnya itu menjadi kenyataan dan sebagai Perdana Menteri, Anwar mempunyai kuasa eksekutif yang cukup besar untuk menjadikan apa yang diinginkan itu terjadi. Satu prospek yang ngeri,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau dipercayai merujuk pelantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam barisan Kabinet diterajui Anwar yang mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

    Selain diberi kepercayaan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid yang berdepan kes mahkamah masih berjalan turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

    Kabinet Anwar juga mengundang kontroversi apabila tiga calon kalah PRU15, dilantik menganggotai Jemaah Menteri, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Kuala Selangor) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Lumut).

    Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH dan Setiausaha Agung PKR dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Tengku Zafrul (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) serta Zambry (Menteri Luar Negeri).

  • NGO budaya kecewa portfolio kebudayaan ‘ditiadakan’ dalam kabinet Kerajaan Perpaduan

    NGO budaya kecewa portfolio kebudayaan ‘ditiadakan’ dalam kabinet Kerajaan Perpaduan

    guane

    SEJAK Jumaat lalu hingga hari ini, di mana-mana sahaja orang bercakap mengenai politik.

    Ia adalah sebagai kesinambungan isu-isu yang berlaku selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November lalu.

    Kalau sebelum ini antara tumpuan isu diperbualkan adalah melibatkan soal pemilihan calon, parti yang menang dan siapakah yang bakal berkuasa sehingga kepada teka teki nama Perdana Menteri ke 10 (PM10).

    Kini, semua perkara tersebut sudahpun diketahui umum, tetapi isu yang masih hangat diperkatakan sekarang ialah mengenai ahli politik yang dipilih menduduki senarai kabinet kerajaan Perpaduan sekarang ini.

    Sebaik PM10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai kabinetnya pada 2 Disember lalu, penulis mendapati banyak pihak meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan kabinet pada kali ini.

    Kemana sahaja penulis pergi sama ada minum di warung kopi, di pasar basah, kedai runcit, taman reakrasi dan juga premis berurut, semua bercakap mengenai kabinet baharu dinamakan Kerajaan Perpaduan.

    Antara dua isu yang hangat diperbualkan dan menjadi kemarahan orang ramai ialah pembsbitan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam senarai kabinet dan juga ketiadaan porfolio kebudayaan.

    Banyak pihak kurang bersetuju dengan pelantikan Ahmad Zahid
    sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah.

    Mereka menyifatkan pelantikan tersebut seolah-olah mengesahkan isu yang dibangkitkan dan tular menerusi media sosial sebelum PRU15 berhubung dakwaan kerjasama antara Anwar- Ahmad Zahid membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Ketika itu, kedua-dua pihak menafikan isu kerjasama berkenaan dengan pelbagai kenyataan yang bersifat retorik politik.

    Malah, kempen PH meminta rakyat menolak parti yang di pimpin oleh pelaku rasuah juga menyebabkan rakyat seperti percaya kerjasama di antara PH-BN tidak akan berlaku.

    Bagaimanapun, kita akhirnya terpaksa akur dengan pandangan sesetengah pihak mengatakan bahawa dalam dunia politik apa sahaja boleh berlaku.

    Bab lirik lagu berjudul Sekelip Mata Kau Berubah tulisan sahabat penulis iaitu Allahyarham Juwie nyanyian Kumpulan Lestari, begitulah dengan orang politik di negara ini.

    Hari ini mereka bergaduh dan bercakaran antara satu sama lain, tetapi pada keesokan hari mereka boleh berubah dengan sekelip mata sehingga sudah boleh berpelukan dan makan semeja.

    Selain pelantikan Ahmad Zahid, isu hangat dalam kabinet baharu Kerajaan Perpaduan PM10 ini turut memperkatakan mengenai portfolio Kebudayaan.

    Ramai pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kebudayaan di Terengganu ada hubungi penulis meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati apabila nama porfolio kebudayaan disisihkan secara zahir dalam kabinet pada kali ini.

    “Kata Kerajaan Perpaduan, tetapi kenapa portfolio kebudayaan yang dijadikan sebagai teras kepada perpaduan ditiadakan.

    “Inilah pertama kali dalam sejarah pembentukan kabinet Malaysia portfolio kebudayaan tidak wujud secara zahir”, ujar Wan Ahmad Ismail, sahabat penulis yang juga merupakan seorang pemimpin dan aktivis budaya terkenal di Terengganu.

    Seorang lagi pemimpin budaya, Fauzi Yahya yang juga Pengerusi Persatuan Silat Kalimah Terengganu berpendapat, sebagai pertubuhan sukarela, sudah pasti mereka memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.

    “Untuk itu, badan-badan NGO ini memerlukan seorang Menteri menaungi sebuah kementerian seperti sebelum ini.

    “Dahulu portfolio kebudayaan pernah diletakkan di bawah belia dan sukan diikuti pelancongan,” jelas beliau.

    Apapun, penulis berharap supaya PM10 serta barisan kabinetnya menilai semula perkara berkenaan.

    Pengecilan saiz kabinet, bukan bermakna turut menyisihkan portfolio sedia ada sejak sekian lama.

    Adakah ia sebagai satu pembaharuan atau isyarat awal aktiviti kebudayaan termasuk budaya etnik tidak lagi diberikan perhatian?