Tag: Kabinet

  • Kabinet setuju pindaan Perlembagaan beri kerakyatan anak lahir luar negara

    Kabinet setuju pindaan Perlembagaan beri kerakyatan anak lahir luar negara

    JEMAAH Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia mendapat kewarganegaraan.

    Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan bersama, pindaan itu dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat semasa selepas memenuhi keperluan undang-undang.

    “Kesan daripada keputusan hari ini adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka, lapor Free Malaysia Today.

    Bulan lepas, Azalina berkata, memo Jemaah Menteri yang mencadangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan ibu mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara akan diserahkan tidak lama lagi.

    Saifuddin dan Azalina berkata, cadangan pindaan Perlembagaan itu adalah untuk menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya”.

    “(Ini) bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

    Mereka berkata, pindaan lain berkaitan kewarganegaraan akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan dimuktamadkan, dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

    “Perkara ini sejajar dengan komitmen kerajaan perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia,” kata mereka.

    Tambah mereka, pindaan tersebut bertujuan “mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul, menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan
    tidak munasabah”.

    Selain itu, pindaan tersebut diharapkan dapat memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

    Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan automatik kerana Perlembagaan hanya memperuntukkan kewarganegaraan melalui bapa.

    Dalam penghakiman 2-1 yang memihak kepada kerajaan, mahkamah memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia boleh dinafikan kewarganegaraan kerana perkataan “bapa” dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan berkaitannya dalam Jadual Kedua adalah “jelas dan tidak taksa”, dan tidak boleh ditafsirkan untuk merangkumi ibu.

    Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 2021 bahawa kerajaan mesti memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia kerana perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua perlembagaan mesti bermakna dan merangkumi ibu.

    Dalam membenarkan beberapa relief pengisytiharan yang diminta oleh NGO dan enam ibu bahawa peruntukan tertentu mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan bersifat diskriminasi, hakim Akhtar Tahir berpendapat, ibu berhak untuk memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang dalam semua proses, sama seperti bapa.

  • ‘Kabinet mungkin tak diberi penjelasan penuh perolehan vaksin’ – Marzuki

    ‘Kabinet mungkin tak diberi penjelasan penuh perolehan vaksin’ – Marzuki

    KABINET didakwa tidak diberi penjelasan menyeluruh mengenai perolehan vaksin sehingga memaksa cadangan Kertas Putih dibentangkan ke Parlimen, kata bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

    Beliau berkata, Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setebal 521 muka surat yang dibentangkan sebelum ini sudah memperincikan semuanya.

    “Saya rasa prosesnya tak betul. Sepatutnya Kabinet dibentangkan dengan fakta ada penyelewengan. Sah, jelas, terang ada penyelewengan. Baru buat keputusan bentang Kertas Putih.

    “Ini Kabinet pun belum pasti nampaknya. Kenapa jadi macam ini? Tak mengapalah. Saya rasa kita semua bukan tak cerdik. Jadi, boleh baca laporan PAC yang setebal 521 muka surat itu,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet minggu lalu, menyatakan kononnya berlaku penyelewengan dan kertas putih akan dibentang di Parlimen.

    Namun dalam kenyataannya semalam, Perdana Menteri menegaskan bahawa badan penyiasat akan siasat dakwaan itu sama ada betul atau sebaliknya.

    Mengulas lanjut, Marzuki berkata, laporan PAC sebelum ini sudah pun merumuskan bahawa perolehan vaksin sudah dibuat secara teratur.

    “Dalam PAC pun ada wakil tetap Jabatan Peguam Negara. Berdasarkan penjelasan ini dan banyak lagi penjelasan lain dalam prosiding, PAC sudah membuat rumusan perolehan vaksin dibuat secara teratur.

    “Saya percaya fakta boleh mematahkan ‘spin’ atau putar alam. Apa putar alamnya? Perolehan vaksin tak dapat kelulusan Peguam Negara dan dengan itu tidak teratur. Oleh sebab itu ada penyelewengan dan rasuah dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan Kertas Putih akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

    Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin juga sebelum ini menafikan berlaku penyelewengan dalam perolehan itu.

    Katanya, semua proses perolehan termasuk terma undang-undang sudah diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan diluluskan oleh Kabinet.

  • Anwar bilang siap sedia, cuti kamu hampir tamat, kata Maszlee

    Anwar bilang siap sedia, cuti kamu hampir tamat, kata Maszlee

    BEKAS menteri pendidikan Maszlee Malik membayangkan beliau mungkin kembali berkhidmat dengan kerajaan baru susulan pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

    Maszlee menerusi catatan Facebook miliknya menyiarkan beberapa siri gambar termasuk dirinya dan Anwar pada mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) PKR.

    “Kami di MPP PKR berdiri teguh bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan keutuhan kerajaan perpaduan dan penerusan agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat dan negara.

    “Ahli MPP bertekad untuk memastikan parti akan terus relevan dan menjadi parti pilihan utama rakyat berbilang bangsa di tanah air ini.

    “Datuk Seri Anwar Ibrahim bilang: “Just get ready, your sabbatical will soon be over!” (Bersiap sedia, cuti sabatikal kamu akan tamat tak lama lagi,” katanya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Tiada butiran lanjut diberikan tentang bila atau dalam bentuk apa Maszlee akan kembali bekerja untuk kerajaan.

    Maszlee tidak berjaya mempertahankan kerusi Simpang Renggam pada pilihan raya umum ke-15, tewas kepada calon BN Datuk Seri Hasni Mohammad.

    Pada masa ini, Maszlee tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.

  • Kabinet harus bersih daripada individu terbabit kes mahkamah – Nik Nazmi

    Kabinet harus bersih daripada individu terbabit kes mahkamah – Nik Nazmi

    PEMILIHAN anggota Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus bersih daripada mereka yang terbabit dengan kes mahkamah.

    Menurut Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, adalah lebih baik untuk tidak melantik individu yang mempunyai kes mahkamah berterusan menganggotai Kabinet supaya tiada sebarang isu bakal berbangkit.

    “Saya rasa situasi terbaik dan ideal adalah untuk tidak meletakkan mereka (ada kes mahkamah) dalam Kabinet kerana saya berasa ini isu yang sering ditekankan oleh rakyat sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan kali ini ialah rasuah.

    “Mungkin ada kes mahkamah yang sedang berjalan, tetapi bagi saya definisi (Kabinet) sepatutnya bersih sebersihnya daripada sebarang tuduhan apabila diamanahkan memegang jawatan itu.

    “Apabila kita mentadbir, kita perlu meletakkan penanda aras yang tinggi dalam aspek integriti dan rasuah,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu dalam bual bicara bertajuk ‘Kabinet Bayangan Anwar Ibrahim’, semalam.

    Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, terdapat ramai Ahli Parlimen daripada setiap parti dalam kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang boleh memegang jawatan kanan dan menteri serta jawatan Timbalan Perdana Menteri.

    “Memandangkan kerajaan perpaduan Anwar berjaya mencapai dua pertiga (majoriti) Parlimen, terdapat kumpulan yang layak dan mencukupi untuk membentuk Kabinet.

    “Berdasarkan janji Anwar untuk membentuk Kabinet yang lebih kecil daripada barisan sebelum ini yang hampir 70 orang, saya melihat ia sesuatu yang terbaik kerana meletakkan orang yang tepat.

    “Kita perlu meletakkan standard yang tinggi supaya mempunyai menteri yang benar-benar layak dan timbalan menteri yang terbaik untuk membantu mereka selain mengiktiraf kemampuan penjawat awam juga,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, mengenai Kabinet bayangan yang dikatakan menyenaraikannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nik Nazmi menolaknya dan menyifatkan ia sebagai tidak rasmi serta sekadar hiburan, menyamakannya dengan pasukan fantasi semasa Piala Dunia.

    “Itulah harapan rakyat dan mereka mungkin merasakan ia adalah barisan terbaik, bagaimanapun, Perdana Menteri akan memutuskan apa yang terbaik,” katanya sambil menambah bahawa beliau bersedia untuk memegang jawatan menteri jika diberi peluang.

  • GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di sini hari ini, Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

    “Ini akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya.

    Jumlah kerusi diperlukan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat adalah 148 kerusi.

    Mengenai pembentukan Kabinet, Anwar berkata saiznya akan diperkecilkan dan beliau akan meminta persetujuan daripada ahli-ahli yang akan dilantik nanti untuk mengurangkan gaji mereka.

    Menurutnya, pembentukan Kabinet masih dalam perbincangan dan akan diumumkan segera mungkin.

    Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti-parti terlibat berhubung pembentukan Kabinet.

    “Parti masing-masing akan mengusulkan nama. Jadi, saya harus berikan pertimbangan sedemikian,” katanya ketika ditanya mengenai pecahan anggota Kabinet mengikut parti.

    Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Anwar sebelum ini dilaporkan berkata akan mengecilkan saiz Kabinet kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA  

  • Penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet esok

    Penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet esok

    PENDEKATAN baharu termasuk cadangan mewujudkan jawatankuasa khas di peringkat ASEAN, bagi membendung sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengarahkan beliau untuk melihat isu tersebut dan kerajaan yang memandang serius mengenainya akan mengambil tindakan tertentu, bagi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diselamatkan.

    “Isu ini memerlukan kerjasama mendalam dengan semua pihak dan ia akan diselesaikan secara lebih holistik esok (dalam mesyurat Kabinet),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan keluarga mangsa penipuan kerja, serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

    Antara NGO yang hadir adalah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang diwakili Setiausaha MHO Datuk Hishamuddin Hashim dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) diwakili presidennya Tan Sri Musa Hassan.

    Semalam, sekumpulan NGO menghantar memorandum kepada perdana menteri, bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

    Setakat semalam, Wisma Putra memaklumkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.

    Ditanya adakah kerajaan akan menyekat pergerakan rakyat Malaysia bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa sindiket, Abdul Latiff berkata kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat pergerakan orang ramai.

    “Kita tidak mempunyai punca kuasa untuk sekat rakyat Malaysia tetapi jika ingin mengembara, maklumkanlah kepada ahli keluarga masing-masing.

    “Jika ingin bekerja, boleh semak dengan pelbagai agensi di kedutaan negara yang ingin dituju… majikan Malaysia mempunyai industri di negara ASEAN lain banyak,” katanya.

    Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata beliau telah berhubung dengan pihak polis di Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), bagi mendapatkan  maklumat lanjut mengenai sindiket berkenaan dan berharap bahagian berkenaan juga dapat membantu siasatan dan menyelamatkan mangsa.- BERNAMA

  • Kabinet setuju dedah laporan audit, forensik kes LCS

    Kabinet setuju dedah laporan audit, forensik kes LCS

    KABINET hari ini secara prinsip bersetuju supaya dibuat pendedahan laporan audit dan laporan forensik berkaitan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Memetik laporan Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata, ia akan dibuat selepas perbincangan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan pihak berkaitan membabitkan mekanisme pendedahan berkenaan.

    Beliau berpendapat, ada beberapa perkara sensitif membabitkan keselamatan tidak seharusnya didedahkan kepada umum.

    “Secara prinsip Jemaah Menteri masih menekankan bahawa pendedahan itu bakal dibuat.

    “Saya berpendirian, perkara sensitif soal keselamatan patutnya memang tidak boleh didedahkan. Di mana-mana demokrasi pun, sama ada di Amerika Syarikat (AS), di England, bahkan di Perancis, mereka tidak akan dedahkan benda yang sangat sensitif,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Bulan Kemerdekaan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di pejabatnya, hari ini.

    Wan Junaidi berkata, ia seperti amalan di England, apabila sesuatu dokumen mahu dinyahklasifikasi, pihak terbabit akan membincangkan perkara sensitif berkaitan keselamatan mungkin diasingkan, manakala perkara lain akan didedahkan.

    Pada masa sama, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga sudah menyatakan kerajaan tidak menolak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal LCS.

    Katanya, biarpun kerajaan beranggapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat yang terbaik, cadangan untuk mengadakan RCI tidak ditolak.

    Berhubung siasatan dijalankan SPRM, Wan Junaidi berkata, kertas siasatan lain membabitkan kes LCS masih perlu dikemaskini oleh penyiasat sebelum ia dikembalikan semula kepada Pejabat Peguam Negara untuk membolehkan individu lain pula mungkin didakwa.

    Katanya, ia berikutan beberapa persoalan yang perlu dijawab membabitkan kertas siasatan berkenaan.

    “Bagaimanapun, tadi ada dibincangkan pada mesyuarat Kabinet. Keputusan Kabinet (berhubung siasatan berkenaan) adalah terbuka (open ended) dan Kabinet menegaskan sekali lagi bahawa kita tidak akan melindungi sesiapa pun,” katanya.

    Minggu lalu media melaporkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengingatkan kerajaan untuk menyahklasifikasikan dua laporan berkaitan isu LCS secara menyeluruh.

    Pengerusinya, Wong Kah Woh, dilaporkan berkata, jawatankuasa itu tetap menyambut baik keputusan Kabinet pada 10 Ogos lalu, yang menerima pakai dua syor PAC yang paling penting dalam laporan perolehan kapal LCS.

    Semalam BH melaporkan, Hishammuddin memberi komitmen bahawa beliau akan membawa cadangan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal pembelian enam LCS milik TLDM ke Kabinet hari ini.

    Hishammuddin berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul berkaitan projek LCS, di Dewan Negara, semalam.

    Hishammuddin turut menjelaskan status menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) sudah dimulakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

    Katanya, Pengauditan Forensik Projek LCS pula akan mengambil masa sementara menunggu kelulusan Peguam Negara kerana dokumen itu bukan milik kerajaan, sebaliknya dimiliki Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

  • Memorandum Kabinet RUU 355 diedar bagi maklum balas agensi berkaitan

    Memorandum Kabinet RUU 355 diedar bagi maklum balas agensi berkaitan

    JABATAN Kemajuan Islam (JAKIM) sedang menyediakan memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan dasar penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) untuk diedarkan kepada agensi berkaitan.

    Dalam jawapan lisan di Dewan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, memorandum itu untuk mendapatkan ulasan agensi berkenaan secara dasar bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

    Katanya, tindakan selanjutnya akan diambil setelah ulasan daripada agensi berkaitan diperoleh.

    “Kerajaan dalam proses menggubal RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Beliau menjawab soalan Fadhlina Sidek yang mahu mengetahui langkah dan tindakan yang diambil untuk memperkukuh dan meningkatkan martabat Mahkamah Syariah khususnya dalam bidang kuasa jenayah syariah.

    Idris berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat status dan kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini dan sebarang usaha memperkasakannya sedang dan masih dilakukan secara berterusan.

    Katanya, antara usaha kerajaan melalui pemerkasaan undang-undang, peningkatan kompetensi pegawai, pembangunan prasarana mahkamah, pewujudan hierarki baru mahkamah dan peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan.

    “Pada Jun lalu, kerajaan sudah menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi meningkatkan status dan kedudukan Mahkamah Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Jawatankuasa ini akan melihat aspek penggubalan, penyemakan, pindaan dan penambahbaikan undang-undang Syariah; pengurusan dan penstrukturan semula Mahkamah Syariah.

    “Turut dilihat pengurusan dan penstrukturan semula Jabatan Kehakiman Syariah; latihan Hakim dan Pegawai Syariah; sistem pendidikan undang-undang Syariah dan penambahbaikan perkara yang berhubungan dengan hal ehwal pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah dan peguam Syarie,” katanya.

  • Mesyuarat Kabinet esok bincang kos sara hidup, bahan makanan

    Mesyuarat Kabinet esok bincang kos sara hidup, bahan makanan

    MESYUARAT Kabinet akan diawalkan ke esok (23 Mei) bagi membincangkan isu peningkatan kos sara hidup dan penawaran bahan makanan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), masing-masing akan membentangkan laporan berkaitan isu itu, termasuk perancangan jangka pendek dan panjang mengatasinya.

    “Jadi esok, Isnin, saya panggil mesyuarat Kabinet untuk melihat khusus dari segi bagaimana kita hendak mengimbangi kenaikan harga barang yang mendadak ini dan saya minta KPDNHEP untuk membentangkannya.

    “Begitu juga dengan makanan, ‘supply’ makanan termasuk ayam, MAFI perlu membentangkannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur hari ini.

    Ismail Sabri berkata, kos sara hidup yang dijangka akan meningkat adalah fenomena global, antaranya berikutan konflik Rusia-Ukraine serta pandemik COVID-19 sebelum ini yang turut menjejaskan pengeluaran bahan dan hasil makanan.

    Sementara itu, Perdana Menteri berkata, selain permit import (AP) untuk bahan makanan, kerajaan juga sedang mengkaji pemansuhan AP lain bagi mengurangkan tekanan kekurangan barangan lain.

    “Kita harap apabila AP dihapuskan, sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan tekanan kita dari segi kekurangan supply barangan, dan mungkin banyak pihak yang terlibat boleh mengurangkan harga tetapi perlu kita tunggu kesannya,” katanya.

    Rabu lepas, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk memansuhkan AP bagi bahan makanan dan ia berkuat kuasa serta-merta. – BERNAMA

  • Pandangan rakyat antara cara pemarkahan prestasi 100 hari menteri

    Pandangan rakyat antara cara pemarkahan prestasi 100 hari menteri

    PANDANGAN rakyat terhadap prestasi menteri-menteri yang dimuat naik menerusi media sosial akan turut diambil kira sebagai pemarkahan sempena pencapaian awal tempoh 100 hari pertama perkhidmatan mereka.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklum balas dan analisis sentimen ramai terhadap menteri seperti kajian sikap rakyat terhadap menteri sejak memegang jawatan dan menerusi kajian professional.

    “Saya cakap secara keseluruhannya saya buat pemarkahan seperti kad laporan sekolah, itu salah satu, kita ada jawatankuasa … tapi ada pemarkahan saya dapatkan daripada rakyat boleh beri markah… tapi tak tahu lagi berapa peratus (pandangan rakyat dalam jumlah keseluruhan pemarkahan), pandangan rakyat satu cara,” katanya pada sesi wawancara khas bersama editor kanan media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Perdana Menteri mengakui beliau sendiri rajin membaca komen-komen dan hantaran rakyat menerusi media sosial dan kadang kala menjawab sendiri komen-komen berkenaan.

    “Kelmarin mereka (menteri-menteri) membentangkan cadangan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan saya bagitau perlu ada ‘feel good factor’ (faktor yang menyenangkan) kepada rakyat … kita tunggu menteri umumkan sendiri,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, beliau melakukan ini bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa tetapi sekadar mahu melihat mereka menjalankan tugas sebaiknya.

    “Tujuan letak 100 hari bukan tujuan nak hukum menteri, ada yang bertanya adakah ada yang akan dibuang … saya berharap tidak ada yang akan dikenakan tindakan, saya nak mereka menjalan tugas dengan baik tidak lebih dari itu. Selepas 100 hari ia akan disambung dengan pelan setengah penggal dan jangka panjang, ia berterusan,” katanya.

    Ditanya adakah beliau menetapkan sasaran 100 hari untuk diri sendiri, sambil tersenyum beliau menjawab: “Saya … tentu ada target (sasaran) sendiri … tunggu pengumuman saya nanti semasa saya memberi ucapan kepada rakyat … kena tunggu 10 Dis nanti.”

    Perdana Menteri berkata, setakat ini terdapat keseimbangan penerimaan rakyat terhadap kerajaan terutamanya apabila usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dibentangkan beliau masa persidangan Dewan Rakyat pada 27 Sept lepas.

    “Ada yang respons positif tetapi taklah kata semua positif juga ada yang negatif contohnya daripada segi pegangan ekuiti (pemilikan saham bumiputera) itu negatif daripada bukan bumiputera,” katanya.

    Beliau berkata, secara keseluruhan RMK12 diterima dengan baik oleh rakyat, namun yang penting sekarang ialah dari segi pelaksanaannya yang diharap dapat dilakukan dengan baik.

    Ismail Sabri turut ditanya mengenai persepsi masyarakat bukan Melayu terutama kaum Cina terhadap pentadbiran beliau dan adakah usaha khusus untuk menguatkan sokongan daripada mereka akan dilaksanakan.

    “Setakat hari ini saya pun belum dapat buat kajian terperinci, baru sebulan lebih, masih terlalu awal. Kadang-kadang suka pada peringkat awal, lama-lama jadi tak suka.

    “Setengah itu tak suka peringkat awal … lama-lama jadi suka, sebab itu mungkin dalam lima atau enam bulan, tiga bulan selepas 100 hari mungkin saya akan sampaikan ucapan … banyak lagi kita akan berikan kepada rakyat mungkin akan ada beza selepas itu. Sebab itu untuk nilai kejayaan dalam 100 hari terlalu singkat,” katanya.

    Ketika mengumumkan barisan Kabinet dan anggota pentadbirannya yang dianggotai 31 Menteri dan 38 timbalan menteri pada 27 Ogos lepas, Ismail Sabri menetapkan setiap menteri perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama perkhidmatan. – BERNAMA