Tag: jual

  • Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah lebih RM6 juta

    Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah lebih RM6 juta

    SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.36 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Seri Kembangan di sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 123 kilogram (kg), syabu (0.5 kg), 18 botol berisi serbuk dadah (301 gram), pil ekstasi (21 gram) dan ganja (13.8 gram) serta tiga mesin memproses dadah.

    “Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat 123 kilogram bernilai RM6.38 juta yang berjaya dirampas selepas menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan memproses dadah di dalam makmal haram serta mengedar dadah ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata turut dirampas wang tunai RM10,000 dan dua kenderaan disita.

    Menurutnya suspek menyewa premis berkenaan di bawah nama syarikat lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Anbalagan berkata suspek disyaki aktif dalam penjualan dadah sejak setahun lepas selain turut memproses dadah dan menjadi ‘runner’.

    Beliau berkata lelaki terbabit dipercayai memperoleh pendapatan RM10,000 hingga RM15,000 seminggu bagi 50,000 biji pil erimin yang diprosesnya.

    “Polis percaya ada lagi rakan suspek yang masih bebas mengendalikan sindiket berkenaan,” katanya menambah suspek direman tujuh hari hingga esok mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Masih ada farmasi degil jual Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 pada harga RM40

    Masih ada farmasi degil jual Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 pada harga RM40

    BIARPUN kerajaan telah telah menetapkan harga runcit maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) sebanyak RM19.90, namun masih ada farmasi di Perlis yang berdegil apabila didapati menjual alatan itu pada harga antara RM30 hingga RM40.

    Semasa pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis ke atas 17 farmasi di negeri itu, hanya empat farmasi saja yang mematuhi arahan kerajaan tersebut.

    Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, pihkanya memberi tempoh sehingga 12 September ini kepada premis terlibat untuk mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

    Katanya, 13 premis itu didapati menjual kit ujian sendiri itu pada harga antara RM30 hingga RM40.

    “Namun peniaga terbabit diberikan kelonggaran bagi menghabiskan stok sedia ada dan diberi tempoh sehingga 12 September ini untuk mematuhi harga runcit maksimum itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    KPDNHEP menguatkuasakan harga runcit maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) sebanyak RM19.90 manakala RM16 bagi harga borong maksimum (seunit) bermula Ahad lalu.

    Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) adalah kit ujian yang digunakan bagi pengesanan antigen Covid-19 menggunakan sampel bendalir mulut atau ujian ‘swab’ hidung.

    Mengulas lanjut, Norazah berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati masih menjual barangan berkenaan melebihi harga maksimum selepas tarikh berkenaan.

    Ujar beliau, KPDNHEP akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap peniaga yang ingkar.

    “Individu boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000.

    “Selain itu, denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat yang didapati gagal mematuhi peraturan berkenaan,” tambahnya.

  • Jual ikan selayang segar 20 sen seekor

    Jual ikan selayang segar 20 sen seekor

    SATU program amal di Kuantan, Pahang yang menjual sebanyak 165 kilogram (kg) ikan selayang segar pada harga 20 sen seekor habis dijual dalam tempoh sejam sahaja.

    Program anjuran Dapur Infaq Ummah itu diadakan khusus untuk membantu penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

    Menurut Setiausaha Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid, mereka memperoleh bekalan ikan selayang itu daripada nelayan tempatan.

    “Kita bukan mencari keuntungan sebaliknya hanya untuk membantu golongan memerlukan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP3.0,” katanya, semalam.

    Mengulas lanjut, Zahir Shah berkata, aktiviti jualan itu bermula pada pukul 9.30 pagi dan orang ramai mula beratur panjang mengikut jarak ditetapkan.

    “Namun satu keluarga hanya boleh membeli sekilogram ikan dengan harga RM5 sahaja.

    Ujarnya, dia tidak menolak kemungkinan untuk menjual barangan keperluan lain bagi membantu orang ramai.

    “Kita juga mempelawa mana-mana pihak yang bermurah hati untuk memberi sumbangan bagi mengisi dana untuk membantu golongan memerlukan.

    “Selain itu, kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menghulurkan sumbangan beberapa pihak lain,” tambahnya.

  • KPDNHEP tahan lelaki jual gula RM5 sekilogram

    KPDNHEP tahan lelaki jual gula RM5 sekilogram

    TINDAKAN seorang lelaki mengaut keuntungan secara keterlaluan apabila menjual gula pada harga RM5 sekilogram mengundang padah apabila dia ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

    Selain itu, lelaki berusia 25 tahun itu juga didapati beroperasi tanpa lesen yang sah di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat KPDNHEP Tuaran, Saripudin Moleng, operasi kira-kira pukul 3.30 petang itu dibuat hasil aduan orang awam dan risikan pihaknya.

    “KPDNHEP menemukan sebanyak 96 kilogram gula pasir yang diletakkan di dalam kenderaan lelaki berkenaan sebelum bertindak menahannya selepas disyaki menjual gula tanpa lesen sah.

    “Suspek juga didapati menjual gula sehingga RM5 sekilogram mengikut lokasi pembeli dan harga terbabit melebihi harga siling yang ditetapkan kementerian iaitu RM2.85 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Saripuddin menjelaskan, hasil siasatan kemudiannya mendapati suspek menjual gula itu secara tempahan di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud.

    Ujar beliau, keseluruhan barang yang disita bernilai lebih RM12,000 termasuk 96 kilogram gula yang berjumlah RM273.60.

    Beliau menambah, kes terbabit disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.