Tag: JSPT

  • Motosikal curi, nombor pendaftaran pula milik ketua pengarah

    Motosikal curi, nombor pendaftaran pula milik ketua pengarah

    TINDAKAN dua lelaki menunggang motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Titiwangsa Off Jalan Pahang di sini pada Ahad.

    Lebih malang apabila nombor pendaftaran palsu digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa itu merupakan milik seorang ketua pengarah salah satu badan penguat kuasa.

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu hantaran Facebook memaklumkan, kedua-dua suspek terbabit ditahan dalam Op Motosikal Pelbagai Kesalahan sekitar jam 11.30 pagi.

    “Telah tahan dua lelaki tempatan yang menunggang dan membonceng motosikal jenis Honda C-100 berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

    “Motosikal tersebut juga masih dilaporkan hilang bersangkut repot di Balai Polis Chow Kit pada 17 Ogos 2022,” menurut hantaran terbabit pada Ahad.

    JSPT Kuala Lumpur memaklumkan, kedua-dua suspek yang berusia 46 dan 39 tahun terbabit ditahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan motosikal berkenaan telah disita lapor Sinar Harian.

  • Cadangan pengeluaran had lesen warga emas belum dibincangkan – KPN

    Cadangan pengeluaran had lesen warga emas belum dibincangkan – KPN

    CADANGAN mengehadkan pengeluaran lesen kenderaan motor kepada warga emas belum lagi dibincangkan secara mendalam.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata cadangan tersebut disuarakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, semalam.

    Beliau berkata saranan itu merupakan cadangan peribadi Azisman di peringkat JSPT sahaja dan belum dibincangkan secara lebih terperinci.

    “JSPT sebagai jabatan Polis Diraja Malaysia yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya, sentiasa melihat kepada kaedah-kaedah meningkatkan keselamatan demi kepentingan masyarakat.

    “Sebarang pengenalan kaedah yang baharu, hanya akan dilaksana setelah menjalani proses kajian serta diputuskan implementasinya oleh kesemua pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Bernama melaporkan PDRM mengesyorkan kepada kerajaan agar mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

    Azisman dilaporkan berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

    Beliau juga dilaporkan berkata kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.- BERNAMA