Tag: JPV

  • 440 penternak rugi lebih RM3.9j akibat banjir Disember lepas

    440 penternak rugi lebih RM3.9j akibat banjir Disember lepas

    SERAMAI 440 penternak seluruh negara direkodkan mengalami kerugian lebih RM3.9 juta akibat banjir pada Disember lepas, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Dr Suratan Kamarudin.

    Beliau berkata kerugian itu membabitkan kematian ternakan dan kerosakan kandang, homplot (tanaman rumput), peralatan serta mesin ladang.

    “Saya berharap kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada penternak seperti yang telah diperuntukkan pada tahun-tahun sebelum ini.

    “JPV sentiasa melakukan pemantauan dan penilaian berterusan bagi tujuan menyalurkan bantuan kepada penternak terjejas dalam industri ternakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir di Kelantan di sini hari ini.

    Dr Suratan berkata pada 2021 kerajaan membelanjakan lebih RM1.6 juta bagi membantu 287 penternak terjejas berikutan bencana di seluruh negara.

    Beliau berkata semasa musim banjir, jabatan itu telah membantu mengenal pasti kawasan tinggi untuk pemilik memindahkan haiwan ternakan mereka seperti lembu, kambing, ayam dan itik ke tempat lebih selamat.

    Mengulas mengenai kejadian positif demam babi Afrika (ASF) yang dikesan di Pulau Pinang, Dr Suratan menasihatkan pemilik ladang ternakan babi supaya meningkatkan kawalan bagi membendung penularan.

    Beliau berkata antara negeri berisiko berlaku wabak adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor.

    Semalam, sebuah lagi ladang ternak babi di Kampung Valdor, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang ditutup ekoran kes baharu penyakit ASF dikesan di ladang berkenaan, menjadikan dua kes terkumpul positif ASF membabitkan dua ladang ternakan babi di negeri itu, setakat ini. – BERNAMA

  • JPV diarah pantau penternakan punca pencemaran Sungai Rambai

    JPV diarah pantau penternakan punca pencemaran Sungai Rambai

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) mengeluarkan notis kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi urusan pemantauan ladang penternakan babi yang dikatakan menjadi punca pencemaran di Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya telah meneliti laporan lengkap daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung pencemaran sungai berkenaan dan mengarahkan JPV melakukan pemantauan selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen penternakan.

    Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pemberi lesen iaitu JPV, bertanggungjawab memantau ladang penternakan secara berterusan selain akur pada undang-undang yang telah ditetapkan dan memastikan pihak penternak mempunyai lesen sah untuk beroperasi.

    Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020, ia meletakkan Sungai Rambai menjadi satu-satunya sungai di Malaysia menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata KASA komited bagi memulihkan sungai itu daripada tahap kritikal ke satu tahap yang lebih baik, sekurang-kurangnya mempunyai hidupan dalam sungai.

    “Sungai Rambai ini kosong, oksigen terlarutnya tiada dan tiada sebarang kehidupan. Ia memerlukan tindakan semua agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri untuk melestarikan sungai tersebut,” katanya. 

    Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Tuan Ibrahim berkata kerajaan melaksanakan pelbagai usaha dalam melindungi lapisan ozon antaranya menerusi Pelan Pengurusan Penghapusan Hidroklorofluorokarbon (HCFC) secara berperingkat bermula 2012.

    Katanya Malaysia meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal pada 21 Okt 2020, bertujuan mengurangkan penggunaan hidrofluorokarbon (HFC) iaitu alternatif kepada HCFC yang merupakan gas rumah kaca yang mempunyai potensi kepada pemanasan global lebih tinggi.

    “Komitmen pelaksanaan Pindaan Kigali dijangka mengurangkan pelepasan sebanyak 105 juta tan karbon dioksida setara, manakala suhu global pula dapat dikurangkan sebanyak 0.5 darjah Celcius pada 2100,” katanya.

    Hari Ozon Sedunia disambut pada setiap 16 Sept sebagai memperingati tarikh Perjanjian Protokol Montreal Mengenai Kawalan Bahan Pemusnah Ozon yang telah ditandatangani pada 16 Sept 1987.

    Tema pada tahun ini adalah Montreal Protocol@35 – Global Cooperation Protecting Life on Earth.– BERNAMA

  • Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Oleh: Bernama

    JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa sampel daging kerbau yang diimport dari India dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, didapati bebas daripada virus COVID-19.

    Menurut JPV, jabatan itu telah melaksanakan program pemantauan dan pengawasan sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara, bermula tahun lepas.

    “Sejak Januari hingga Julai, sebanyak 455 sampel haiwan dan produk berasaskan haiwan keluaran tempatan dan import, termasuk daging kerbau dari India, telah dikumpul dan didapati negatif daripada virus itu.

    “Setelah tiada virus COVID-19 dikesan pada daging kerbau yang diimport dari India, JPV tidak akan mengenakan sekatan import untuk daging kerbau sejuk beku,” menurut JPV kepada Bernama menerusi e-mel, semalam.

    JPV juga mempunyai sistem yang teratur mengenai prosedur kelulusan pengimportan daging sejuk beku yang turut melibatkan daging kerbau India yang akan dibawa masuk ke negara ini.

    Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan daging kerbau sejuk beku yang diimport, kerana daging tersebut diperoleh dari rumah sembelihan yang telah mendapat kelulusan kerajaan Malaysia selain pusat pengeluaran daging dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara pengeksport produk tersebut. – BERNAMA