Tag: JPKKP

  • KPLB salur RM176 juta untuk elaun JPKK, JPKKP

    KPLB salur RM176 juta untuk elaun JPKK, JPKKP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan hampir RM176 juta bagi bayaran elaun kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), tahun ini.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejumlah lebih RM80 juta telah selesai disalurkan kepada 12 negeri bagi fasa satu bulan Januari-Jun.

    “Elaun berkenaan adalah insentif oleh Kerajaan Persekutuan sebagai menghargai peranan JPKK dan JPKKP dalam menggerakkan komuniti setempat.

    “Kerajaan melihat peranan JPKK amat penting sebagai perantara di peringkat akar umbi dalam menyalurkan sebarang masalah atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa serta agensi yang berkaitan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Melaka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Ayer Keroh, hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengarah KPLB Melaka, Norazlin Mohd. Nor.

    Jelas Mahdzir, dua lagi negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor belum disalurkan peruntukan elaun tersebut.

    Bagi Pulau Pinang katanya, elaun belum dapat disalurkan kerana lantikan JPKK negeri itu belum selesai.

    Sementara Selangor pula masih menggunakan peruntukan sedia ada.

    Bagi sesetengah negeri menurut Mahdzir, selain elaun yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan, JPKK turut menerima elaun tambahan daripada kerajaan negeri.

    “Untuk elaun tambahan ini, Kerajaan Negeri Melaka misalnya memberi RM200 sebulan bagi Pengerusi, RM50 sebulan bagi Setiausaha, RM100 elaun mesyuarat iaitu terhad kepada 6 kali mesyuarat setahun dan RM50 untuk Elaun Kehadiran Mesyuarat,” katanya.

    Sementara itu Mahdzir menjelaskan, bayaran elaun JPKK fasa dua bagi negeri Melaka masih dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri.

    “Insha Allah, proses sedang berjalan dan kita akan pastikan pembayaran elaun ini akan dapat disegerakan sebelum akhir tahun ini,” kata Mahdzir.

  • JPKKP bantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik

    JPKKP bantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik

    SEMUA Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) di daerah Rembau diminta membantu semua anggota masyarakat tanpa mengira fahaman politik mereka.

    Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Rembau, Datuk Seri Dr Awaludin Said berkata, keutamaan sewajarnya diberikan terhadap usaha menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing.

    “Kita kesal dengan perbuatan pihak tertentu yang melampirkan borang masuk parti bersama dengan borang permohonan bantuan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JPKKP Daerah Rembau di Rembau, hari ini.

    Yang turut hadir, ADUN Chembong, Datuk Zaiful Bahri Idris.

    Zaiful Bahri Idris bersama pengerusi-pengerusi JPKKP di DUN Chembong. – Gambar: Facebook Awaludin Said

    Terdahulu, dalam ucapannya, Zaiful Bahri membangkitkan tentang cubaan pihak tertentu yang ingin memancing penduduk yang memerlukan bantuan untuk menyertai parti politik mereka.

    Pihak terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan rejim Pakatan Harapan (PH) yang menguasai Negeri Sembilan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Pada majlis tersebut, sebanyak 44 JPKKP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota dan DUN Chembong menerima surat pelantikan masing-masing yang disampaikan oleh Dr Awaludin dan Zaiful Bahri.

    Pelantikan mereka berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu dan diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Sebahagian pengerusi dan setiausaha JPKKP di sekitar Rembau yang menghadiri Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JPKKP Daerah Rembau di Rembau, hari ini.

    JPKKP memainkan peranan penting selaku pemudahcara dalam pelaksanaan program dan aktiviti sosioekonomi di bawah kerajaan Persekutuan khususnya yang di bawah KPLB.

    Jawatankuasa tersebut dibentuk di tiga negeri yang masih dikuasai rejim PH iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Cadangan mewujudkan JPKKP timbul selepas rejim PH tumbang di peringkat kerajaan Pusat selepas berkuasa selama hanya 22 bulan.