SITUASI banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir melonjak kepada 5,878 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 1,591 mangsa direkodkan pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 1,575 keluarga ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,952 orang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Segamat dengan 1,431 orang dipindahkan ke 16 PPS.
“Turut terjejas bencana itu ialah Kota Tinggi melibatkan 1,156 mangsa, Johor Bahru (1,004 orang), Kulai (320 orang) dan Pontian (15 orang),” menurut kenyataan itu.
Di Segamat, beberapa sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat Kecil yang merekodkan bacaan 38.32 meter (m); Sungai Bandar Segamat (9.2m); Sungai Labis (41.31m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah (8.11m).
Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Kahang, Kampung Contoh (Kluang) di paras 16.95m; Sungai Siku, Kampung Murni Jaya (Kulai) 21.51m; Sungai Skudai, Kampung Separa (Kulai) 18.66m; Sungai Siam, Kampung Sungai Siam 21.51m dan Sungai Pontian Besar, Kampung Melayu Bukit Batu 12.86.
Selain itu, paras air Sungai Pulai, Kampung Ulu Pulai (Pontian) turut melepasi paras bahaya iaitu 2.81m dan Sungai Skudai, Kampung Laut (Johor Bahru) 5.79m.
Cuaca di kesemua 10 daerah dijangka hujan sehingga petang. – BERNAMA
TIDAK sampai sebulan, Johor kembali banjir di lima daerah melibatkan pemindahan 2,162 mangsa ke 25 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 pagi ini, susulan hujan lebat yang berterusan sejak pagi semalam.
Ia berbanding hanya seramai 1,591 penduduk daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 PPS, yang dibuka di empat daerah terjejas banjir, setakat pukul 8 pagi tadi.
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa terjejas banjir di daerah Labis. FOTO JBPM
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, hujan lebat yang masih berterusan sejak lebih 24 jam lalu menyebabkan kebanyakan penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air banjir.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Kulai daerah kelima dan terbaharu terjejas banjir di negeri ini dengan 74 mangsa daripada 21 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Bukit Batu.
Katanya, Segamat kekal daerah paling terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga ditempatkan di enam PPS yang dibuka.
“Mangsa banjir di Kluang pula melonjak naik kepada 650 penduduk daripada 188 keluarga di sembilan PPS berbanding hanya 162 mangsa di enam PPS, pukul 8 pagi tadi.
“Johor Bahru kekal dengan 560 mangsa yang dipindahkan di enam PPS diikuti seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kota Tinggi.
“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga esok, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, 10 sungai utama masing-masing tiga di Segamat dan Kulai, Johor Bahru (dua) dan masing-masing satu di Kluang dan Pontian, berada pada paras bahaya pagi ini.
Katanya, ia membabitkan Sungai Segamat Kecil yang melebihi paras bahaya di 38.12 meter, Sungai Batu Pahat lembangan Sungai Lenik melepasi 13.74 meter manakala Sungai Lenik Ladang Chaah pula melepasi 6.73 meter.
“Di Kulai pula, Sungai Siku di Kampung Murni Jaya melepasi paras bahaya di 18.93 meter, Sungai Skudai Kampung Separa melepasi 18.80 meter manakala Sungai Kampung Melayu Bukit Batu turut melepasi paras bahaya di 12.01 meter.
“Di Johor Bahru, Sungai Skudai di Kampung Laut melepasi paras bahaya 5.60 meter dan Sungai Skudai di Kampung Pasir turut melepasi tahap bahaya 1.05 meter.
“Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga melepasi tahap bahaya di paras 15.49 meter dengan Sungai Pulai, di Kampung Ulu Pulai, Pontian turut melepasi tahap bahaya pada paras 2.85 meter,” katanya.
Sementara itu, Azmi berkata, empat jalan utama masing-masing dua di Kluang dan Segamat, turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir.
“Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang.
“Bagaimanapun, Jalan Mohd Salim (FT172)di Kluang yang dinaiki air bah hampir satu meter hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
“Di Segamat pula, Jalan Bekok (J150) dan Jalan Kampung Tenang (J151)yang dinaiki air bah hampir satu meter, masih ditutup kepada semua jenis kenderaan” katanya, lapor Berita Harian.
HUJAN lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda Kluang, Mersing, Kota Tinggi and Johor Bahru di Johor hingga Khamis ini (2 Mac), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan 1 tengah hari ini.
Hujan lebat berterusan pada paras sangat bahaya diramal menimpa Pekan dan Rompin di Pahang, serta Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian di Johor.
Di Perak, kawasan dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada hingga esok adalah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; dan Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera.
Hujan turut dijangka di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) serta Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu. – BERNAMA
SITUASI banjir pada petang ini menyaksikan Pahang kembali terjejas manakala Johor menunjukkan perkembangan positif dan keadaan di Sabah pulih sepenuhnya.
Di PAHANG, hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kuantan dinaiki air seterusnya enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang melaporkan seramai 1,310 orang daripada 342 keluarga ditempatkan di PPS terlibat dengan mangsa paling ramai di PPS Dewan Dato’ Manan iaitu 560 orang.
PPS lain ialah PPS Wisma Belia dengan 300 orang, PPS Dewan Orang Ramai Taman Tas (220), PPS Dewan Orang Ramai Sri Mahkota (143), PPS Dewan Orang Ramai Sri Damai (57) dan PPS Dewan Orang Ramai Jaya Gading (30).
Laman web publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Kuantan di Bukit Kenau dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melebihi paras bahaya.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan Kuantan mengalami hujan lebat sepanjang hari sehingga esok.
Pekan Sungai Lembing di sini, dilanda banjir kilat selama hampir 10 jam bermula pukul 4.30 pagi tadi ekoran air Sungai Lembing yang melimpah sehingga ke jalan utama di pekan tersebut.
Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa terus menurun kepada 355 orang setakat 4 petang ini, berbanding 420 orang pada 8 pagi susulan banjir termenung di daerah Batu Pahat dan Segamat.
Menurut JPBN Johor, jumlah mangsa di Batu Pahat adalah seramai 329 orang daripada 90 keluarga yang berlindung di empat PPS manakala Segamat merekodkan 26 orang daripada sembilan keluarga di sebuah PPS.
JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di tujuh daerah diramalkan cerah petang ini kecuali Mersing, Pontian dan Kluang yang dijangka mendung.
Di SABAH, semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 4 petang tadi dengan PPS terakhir iaitu Dewan Serbaguna Selagon di Beaufort yang sebelum ini menempatkan 46 orang daripada 12 keluarga ditutup. – BERNAMA
JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan peningkatan, manakala di Johor berkurangan setakat petang ini.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir pada petang ini meningkat dengan 627 orang daripada 188 keluarga dipindahkan ke 13 PPS di tiga daerah, berbanding 599 orang daripada 183 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan daerah Telupid mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 454 orang daripada 130 keluarga, diikuti Paitan 128 orang daripada 46 keluarga serta Lahad Datu melibatkan 45 orang daripada 12 keluarga.
Menurut kenyataan itu mangsa banjir di Telupid dan Paitan dijangka terus meningkat, manakala Lahad Datu kekal.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan 112 orang daripada 19 keluarga terperangkap di Kampung Mempulut, Keningau pagi tadi akibat banjir.
“Pasukan bomba bersama agensi lain bertindak mengeluarkan dan memindahkan mangsa yang terlibat. Mangsa kemudian dihantar ke PPS yang telah dibuka dan rumah saudara terdekat. Operasi ditamatkan pada 10 pagi tadi,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu Jalan Randagong Himbaan di Ranau tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan akibat banjir lumpur, justeru orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif di Jalan Tenompok Bundu Tuhan.
“Kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan dan kerja-kerja pembersihan jalan sedang giat dlaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Di JOHOR, kesemua PPS di Mersing ditutup menjadikan tinggal tiga daerah sahaja terjejas akibat banjir ketika ini.
JPBN Johor dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,106 orang setakat 2 petang ini berbanding 1,381 orang pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, 12 PPS masih beroperasi dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 919 orang, diikuti Kota Tinggi (97) dan Segamat (90).
Kulai, Kota Tinggi dan Kluang mengalami hujan ketika ini, manakala tujuh daerah lain dilaporkan cerah.
Dalam pada itu, paras Sungai Bekok di Batu Pahat merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 18.71 meter. – BERNAMA
JUMLAH mangsa banjir meningkat di Johor walaupun tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan ditutup manakala Pahang dan Sabah menurun, petang ini.
Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS meningkat kepada 2,660 orang setakat jam 2 petang ini, berbanding 2,511 orang pada jam 8 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu hanya tinggal enam daerah yang terjejas banjir selepas satu-satunya PPS di Muar ditutup pada jam 1.15 tengah hari tadi dan dua PPS di Segamat juga ditutup, menjadikan keseluruhan 30 PPS beroperasi setakat ini.
Mersing masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 975 orang, diikuti Batu Pahat (736), Kluang (422), Kota Tinggi (420), Segamat (92) dan Tangkak (15).
Sementara itu, Sungai Endau, Mersing masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 2.77 meter.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin menunjukkan penurunan petang ini selepas hanya 200 orang daripada 63 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 314 orang daripada 96 keluarga, pagi tadi.
Portal InfoBencana,Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), melaporkan PPS Kampung Setajam menempatkan 171 orang manakala Kampung Denai (27 orang) dan dua orang di Balai Raya Kampung Jawa.
Paras Sungai Keratong di Rompin terus menunjukkan trend penurunan namun masih melebihi paras bahaya.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan penurunan dengan 1,637 orang daripada 642 keluarga di lapan PPS petang ini, berbanding 1,664 orang daripada 651 keluarga pagi tadi.
Sekretariat JPBN, dalam kenyataan, memaklumkan mangsa paling ramai di Pitas melibatkan 1,363 orang daripada 565 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS, diikuti Paitan membabitkan 231 orang (66 keluarga) di tiga PPS dan Lahad Datu 43 orang (11 keluarga) di sebuah PPS.
Kenyataan itu memaklumkan satu PPS iaitu Rumah Kampung Cocos di Paitan ditutup petang ini manakala jumlah mangsa banjir di Pitas dijangka kekal, Paitan dijangka menurun, manakala di Lahad Datu dijangka meningkat hari ini. – BERNAMA
SERAMAI 12,090 mangsa banjir di empat negeri terjejas dengan bencana itu kini ditempatkan di 84 pusat pemindahan sementara setakat 8 pagi ini.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 6,843 orang daripada 2,412 keluarga dan semuanya ditempatkan di 29 PPS di lima daerah, berbanding 6,394 mangsa daripada 2,281 keluarga malam tadi.
Mangsa banjir teramai adalah di Kota Marudu dengan 4,789 orang daripada 1,731 keluarga ditempatkan di 12 PPS di daerah tersebut.
“Seramai 1,201 orang daripada 453 keluarga ditempatkan di lima PPS di Pitas, 720 mangsa daripada 199 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan dan angka ini dijangka meningkat manakala di empat daerah lain dijangka kekal,” menurut kenyataan JPBN.
Selain itu, mangsa banjir di Tawau dan Telupid yang merupakan daerah baharu terjejas bencana alam tersebut masing-masing berjumlah 109 orang dan 24 orang.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 4,868 orang berbanding 4,575 mangsa malam tadi dengan Tangkak menjadi daerah kelapan dilanda banjir.
JPBN memaklumkan secara keseluruhan terdapat 50 PPS beroperasi setakat ini, susulan pertambahan masing-masing satu PPS di Tangkak dan Batu Pahat.
Mersing kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,793 orang, diikuti Kluang (1,173), Kota Tinggi (900), Segamat (490), Batu Pahat (358), Muar (121), Pontian (18) dan Tangkak (15).
Sementara itu, empat sungai di negeri ini masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat dengan bacaan 19.08 meter (m); Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.43m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.42m) dan Sungai Endau, Mersing (2.83m).
Sementara itu, JPBN PAHANG melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin pagi ini kekal 323 orang daripada 97 keluarga dengan tiga PPS masih beroperasi iaitu PPS Kampung Setajam yang menempatkan 161 orang; PPS Balai Raya Rekoh (122) dan PPS Balai Raya Bukit Lepas (40).
Sungai Keratong di Rompin masih melepasi paras bahaya 23m apabila mencatatkan bacaan 24.76m pagi ini, dengan trend menurun, menurut JPBN.
Jumlah mangsa banjir di SARAWAK juga kekal 56 orang daripada 17 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak manakala paras air di beberapa kawasan di Sarikei, Lawas dan Sibu dilaporkan meningkat. – BERNAMA
PAHANG menjadi negeri terbaharu dilanda banjir selepas Johor dan Sabah menjadikan tiga negeri kini terjejas dengan bencana itu ekoran hujan lebat yang berterusan.
Di PAHANG, sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Rompin bagi menempatkan 97 mangsa daripada 28 keluarga.
Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa paling ramai ditempatkan di PPS Kampung Setajam iaitu 50 orang daripada 15 keluarga, manakala PPS Balai Raya Bukit Lepas dihuni 40 orang daripada 11 keluarga dengan kedua-dua PPS itu mula beroperasi petang ini.
Tujuh lagi mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya, sejak tengah malam tadi selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.
Laman web portal rasmi info banjir JPS publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin direkodkan pada aras 23.19 meter (m), melebihi aras bahaya 23m yang ditetapkan.
Di JOHOR, Muar menjadi daerah keenam dilanda banjir selepas Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing dan Batu Pahat menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,368 orang dengan ditempatkan di 44 PPS berbanding 3,967 orang, tengah hari tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,522 orang (424 keluarga), diikuti Kluang 1,222 orang (348 keluarga) dan Mersing 708 orang (221 keluarga).
Sementara itu, di Kota Tinggi, jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai 591 orang daripada 144 keluarga, Muar 206 orang (46 keluarga) manakala Batu Pahat 119 orang (35 keluarga).
Pada masa sama, paras air di empat sungai di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar (di Muara Sungai Gemas) menunjukkan bacaan 19.20m, Sungai Segamat (9.22m), Sungai Segamat di Segamat Kecil (37.34m) manakala Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang adalah 16.12m.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir negeri ini meningkat kepada 607 daripada 139 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS petang ini berbanding 166 orang daripada 41 keluarga pagi tadi.
Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan pertambahan itu selepas Kudat menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu petang ini dengan 381 orang daripada 77 keluarga dipindahkan ke dua PPS.
Sebanyak 147 orang daripada 41 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Paitan manakala 79 orang daripada 21 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Pitas.
“Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke PPS dijangka meningkat dengan tujuh PPS telah diaktifkan di daerah Kota Marudu dan kini dalam proses pemindahan mangsa serta kemas kini data,” menurut kenyataan itu.
Hujan lebat pada petang ini turut menjadikan paras air di Sungai Rampai, Kampung Korina, Sikuati di Kudat naik mendadak dan beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir termasuk Kampung Bak-Bak, Kampung Milau dan Kampung Naradang.
Selain itu, Kampung Popot di Kudat dilaporkan terputus hubungan apabila semua jalan darat ke kampung itu ditenggelami banjir.
Sebelum ini Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan lima jalan di Kudat iaitu Jalan Abdul Rahim, Jalan Sebayan, Jalan Datu, Jalan Bak Bak dan Jalan Lo Thein Chok terputus hubungan serta tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan akibat banjir hari ini. – BERNAMA
PENDUDUK di beberapa daerah dan kawasan di Johor, Sabah serta Pahang diingatkan supaya bersedia menghadapi risiko banjir dan air pasang besar ekoran fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata daerah Muar dan Tangkak, Johor adalah antara lokasi seterusnya diramal terkesan banjir dalam masa terdekat mengambil kira hujan yang masih berterusan.
Beliau berkata di Sabah pula, kawasan di utara dan pantai timur negeri itu juga dikenal pasti akan dilanda air pasang besar selain banjir melibatkan Pitas dan Kota Marudu.
“Luruan pertama dan kedua MTL telah berlaku Disember tahun lepas. Walaupun belum ada laporan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena hujan lebat berterusan bermula semalam dan diramal berterusan hingga 30 Jan ini boleh dikategorikan sebagai luruan ketiga.
“… Justeru, semua agensi telah mengambil usaha dan pendekatan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan kampung yang perlu untuk kita pindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek di sini hari ini.
Beliau berkata ketika ini fokus pihaknya adalah untuk menyelaraskan semua agensi yang tertakluk dalam arahan nombor 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) dalam aspek pengurusan bencana dan penyampaian maklumat lebih jelas kepada orang ramai terutama mangsa yang ditempatkan di PPS.
“Seterusnya selepas berpindah, fokus kita adalah memastikan kebajikan dan kesihatan mangsa menerusi penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.
Setakat 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,207 orang melibatkan 1,164 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS di Segamat, Muar, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Mersing.
Dalam pada itu, Armizan dalam kenyataan berkata keseluruhannya, MTL yang bermula November tahun lepas hingga hari ini telah menjejaskan seramai 121,594 orang daripada 34,357 keluarga yang dipindahkan ke 444 PPS susulan banjir dan air pasang besar di seluruh negara.
“Saya ingin memberi peringatan kepada rakyat supaya sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan MetMalaysia serta menjaga keselamatan dan tidak bertangguh untuk berpindah ke PPS sekiranya diarahkan untuk berbuat demikian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Pada masa sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah diarah supaya memastikan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat negeri dan daerah yang terlibat untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Menurut Armizan, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) pula akan beroperasi 24 jam sehari bagi memantau dan menyelaras agensi terlibat dalam pengurusan bencana.
Beliau berkata semua urusan penyelarasan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan lain-lain bantuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan banjir akan diuruskan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Sementara itu, tinjauan Bernama di PPS terdapat pertambahan mangsa dari semasa ke semasa dengan kebanyakan mereka datang sendiri ke PPS setelah mengambil kira kemungkinan risiko banjir yang lebih teruk ekoran hujan yang masih belum reda. – BERNAMA
JUMLAH penduduk terjejas banjir di Johor meningkat kepada 4,368 orang membabitkan 1,218 keluarga yang ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang hari ini.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, ia meningkat berbanding seramai 4,207 mangsa membabitkan 1,164 keluarga ditempatkan di 45 PPS pada 2 petang.
Namun katanya, sehingga kini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
“Segamat terus mencatatkan bilangan penduduk terjejas banjir paling ramai dengan 1,522 daripada 424 keluarga di 20 PPS berbanding 1,521 mangsa banjir daripada 428 keluarga daripada 19 PPS pada jam 2 petang.
“Ia diikuti di Kluang iaitu seramai 1,222 mangsa membabitkan 348 keluarga di 11 PPS berbanding 1,212 mangsa membabitkan 348 keluarga ditempatkan di 11 PPS.
“Mersing pula mencatatkan penurunan dengan menempatkan 708 mangsa banjir membabitkan 221 keluarga di empat PPS berbanding 717 mangsa banjir membabitkan 207 keluarga di empat PPS sebelumnya.
“Bilangan mangsa banjir di Kota Tinggi masih sama apabila 591 mangsa membabitkan 144 keluarga ditempatkan di enam PPS.
“Batu Pahat pula mencatat 119 mangsa membabitkan 35 keluarga di dua PPS berbanding 151 membabitkan 32 keluarga di dua PPS sebelumnya manakala Muar mencatat bilangan sama iaitu 15 mangsa daripada lima keluarga di tiga PPS,” katanya, lapor Harian Metro.
Mengikut ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sembilan daripada 10 daerah di Johor akan terus mengalami hujan lebat membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai.