Tag: Johari Ghani

  • Johari Ghani dilantik bendahari agung BN baharu

    Johari Ghani dilantik bendahari agung BN baharu

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai bendahari agung BN yang baharu menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

    Menurut beiau, selain itu, dua lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta wakil PBRS Freddy Sua juga dilantik menganggotai Dewan Tertinggi BN.

    Pada masa sama, Zambry juga mengumumkan beberapa pelantikan lain anggota Dewan Tertinggi BN.

    Antaranya, pelantikan wakil Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh dan wakil Puteri UMNO Nurul Amal Mohd Fauzi ke majlis kepimpinan BN itu.

    Zambry memberitahu, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14hb Mei 2023, di WTC-KL.

    “Barisan Nasional menyeru agar semua pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian agar kestabilan politik dapat dijamin,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

  • Peminjam dibebani kadar faedah jika cagar caruman KWSP, kata Johari

    Peminjam dibebani kadar faedah jika cagar caruman KWSP, kata Johari

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, adalah lebih mudah membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding menggunakannya sebagai sandaran permohonan pinjaman.

    Namun tegas bekas Menteri Kewangan Kedua itu, pengeluaran secara terus itu hanya dibenarkan bagi mereka yang memerlukan dana untuk kecemasan seperti membayar perbelanjaan kesihatan atau pendidikan.

    Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa itu, dengan menggunakan simpanan KWSP sebagai sokongan permohonan pinjaman, peminjam akan dibebani dengan bayaran faedah yang dikenakan ke atas pinjaman.

    Selain itu katanya, skim berkenaan juga boleh menyebabkan masalah kepada bank kerana proses berkenaan memerlukan semakan kredit dan penyediaan perjanjian undang-undang.

    “Jadi, jika anda mengambil pinjaman sebanyak RM70,000 dan membayar faedah, katakan lima peratus setahun, ia akan menjadi RM3,500. Sepanjang 10 tahun, ia menjadi RM35,000. Sedangkan KWSP tidak boleh menjamin pulangan lima peratus ke atas baki anda.

    “Jumlah bersih daripada pinjaman RM70,000 selepas ditolak bayaran faedah ialah RM35,000. Dalam kes sedemikian, adalah lebih masuk akal bagi pencarum untuk mengeluarkan RM35,000 terus daripada Akaun 2. Dia (pencarum) tidak perlu membayar satu sen faedah,” katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia.

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa ahli KWSP akan dibenarkan menggunakan simpanan dalam Akaun 2 mereka untuk menyokong permohonan pinjaman bank.

    Ia adalah penyelesaian alternatif kepada gesaan daripada pembangkang dan pelbagai kumpulan agar kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP.

    Mengulas lanjut Johari berkata, tindakan pentadbiran sebelum ini membenarkan pengeluaran simpanan KWSP secara menyeluruh ketika pandemik mempunyai akibat yang serius.

    Pertama, beliau berkata, pengeluaran itu menyaksikan KWSP terpaksa mencairkan pelaburan jangka panjang, menjejaskan keupayaannya menjana pulangan.

    “Tinjauan pelaburan KWSP adalah berdasarkan jangka panjang. Ia akan mengira bilangan ahli yang akan bersara dalam tempoh tertentu, dan mencairkan sewajarnya,” katanya.

    Johari menjelaskan bahawa pengeluaran secara tiba-tiba oleh ahli KWSP akan mengganggu pelaburan dana persaraan yang akan menjejaskan pulangan masa depannya.

    Kedua, katanya, membenarkan mereka yang tidak terjejas oleh pandemik mengeluarkan KWSP mereka adalah salah satu faktor yang membawa kepada inflasi.

    Akibatnya, RM145 bilion yang dikeluarkan daripada KWSP ketika pandemik COVID-19 membawa kepada kemasukan wang dalam pasaran dan mengakibatkan inflasi.

    Kadar inflasi Malaysia meningkat daripada 1.14 peratus pada 2020 kepada 3.23 peratus pada 2022 apabila negara memansuhkan sekatan COVID-19.

    Inflasi itu ditambah dengan moratorium pinjaman secara pukal, kata Johari.

  • Kerajaan perlu telus, henti sembunyi perbelanjaan mengurus – Johari

    Kerajaan perlu telus, henti sembunyi perbelanjaan mengurus – Johari

    KERAJAAN mesti lebih telus mengenai perbelanjaannya dan menghentikan “amalan salah” menyembunyikan perbelanjaan pembangunan dalam pembentangan kewangannya.

    Datuk Seri Johari Ghani (BN-Titiwangsa) berkata, Akta Tatacara Kewangan memperuntukkan perbelanjaan mengurus dibayar hanya daripada hasil kerajaan, manakala perbelanjaan pembangunan dibayar menggunakan pinjaman.

    Bagaimanapun katanya, kerajaan telah meminjam sehingga RM300 bilion semasa pandemik Covid-19, sebahagiannya untuk mendapatkan vaksin, yang sepatutnya dianggap sebagai perbelanjaan mengurus.

    Selain itu katanya, jumlah tersebut telah disembunyikan sebagai perbelanjaan pembangunan.

    “Jadi kita tidak ada ketelusan report (laporan). Laporan kita tidak telus. Bila tidak telus bagaimana orang nak melihat bahawa kita mentadbir ini secara ketelusan? Kenapa kita kena sorok perbelanjaan vaksin ini dalam DE (perbelanjaan pembangunan)? Sedangkan DE ini “definition” dia ‘very clear’ “, katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

    “Kalaulah kita nak kena berdepan dengan defisit, kita berdepan dengan defisit sebab kita kena “manage” defisit ini daripada kita menyorok kita punya perbelanjaan mengurus dalam sistem ‘off-balance sheet’ ini,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Perlu reformasi sistem subsidi

    Dalam perkembangan berasingan, Johari menggesa subsidi lebih disasarkan, memetik contoh Arab Saudi yang kaya dengan minyak, yang mereformasi sistem subsidinya pada 2016 dengan mengurangkan subsidi menyeluruh yang hanya menguntungkan golongan kaya.

    Pembaharuan itu membantu menjimatkan wang untuk kerajaan Saudi, dan membenarkannya memberikan bantuan tunai terus kepada golongan miskin.

    “Petronas bayar kita dividen 50 bilion 2022, habis untuk bayar subsidi sahaja. Tidak dapat manfaat kepada negara untuk kita ‘”create” kita punya “reserve”,” katanya.

    Tahun lepas, kerajaan membelanjakan RM77.7 bilion untuk subsidi.

    Johari berkata antara 1974 dan 2022, Petronas menyumbang kira-kira RM1.3 trilion kepada tabung kerajaan, namun Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) pada masa ini hanya mempunyai RM16 bilion.

  • Malaysia mungkin ditipu Goldman Sachs, Johari gesa kerajaan siasat

    Malaysia mungkin ditipu Goldman Sachs, Johari gesa kerajaan siasat

    DATUK Seri Johari Ghani (BN-Titiwangsa) menggesa kerajaan menyiasat peranan mereka yang terlibat dalam penyelesaian antara Putrajaya dengan Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, dan berkata Malaysia mungkin ditipu mengenai perkara itu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Johari berkata, Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan dan pengurus utama untuk tiga bon yang diterbitkan oleh 1MDB bernilai USD6.5 bilion, memperoleh yuran USD606 juta dalam proses itu.

    Kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020, mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs yang melibatkan bank pelaburan itu membayar balik kerajaan USD2.5 bilion tunai dan jaminan untuk mengembalikan USD1.4 bilion aset 1MDB yang dirampas pihak berkuasa di seluruh dunia.

    “Yang pelik ini, kita dah tahu mereka salah, tetapi kenapa kita selesaikan ‘settlement’ ini dengan begitu rendah sekali.

    “Kita selesaikan hanya USD2.5 bilion. Sedangkan kita ada USD6.5 bilion,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

    “Bagaimana peguam yang mewakili 1MDB (mendapat penyelesaian ini), sepatutnya apabila dia mewakili 1MDB dia mesti melihat kepentingan 1MDB,” katanya.

    Johari berkata “sangat jelas” Goldman Sachs “menipu” kerajaan.

    “Bagaimana boleh biar sahaja Goldman Sachs. Sedangkan ‘senior management’ Goldman Sachs terlibat dalam perkara ini”, katanya sambil menambah bahawa Jabatan Kehakiman ( DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan penglibatan kakitangan kanan bank itu dalam skandal 1MDB.

    Johari berkata siasatan terhadap isu 1MDB hanya tertumpu pada aspek politik, menyebabkan hanya “seorang” ke mahkamah.

    “Apakah yang berlaku kepada ahli pengurusan kanan (Goldman Sachs) yang memperoleh pendapatan berjuta-juta?” soalnya sambil menambah adalah salah bagi mereka yang terlibat dalam skandal itu melepaskan diri hanya dengan menawarkan diri mereka sebagai saksi dalam kes itu.

    Beliau menyifatkan perkara yang berlaku itu seperti “kartun”, ramai yang terlibat tetapi hanya seorang yang terpaksa membayar harganya.

    “Jadi saya nak minta kalau boleh kerajaan melihat bagaimana peranan peguam yang mewakili 1MDB.. siapa-siapa terlibat dalam rundingan ini,” katanya.

    “Kenapa tidak fail saman Goldman Sachs di AS. Mengapa mereka berunding tanpa meletakkan fail (mengandungi bukti kesalahan Goldman Sachs),” katanya.

    Johari berkata sekiranya 1MDB mengambil tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs di AS, bank itu akan menghadapi banyak tekanan kerana ia tidak boleh menjamin pinjaman.

    “Mengapa kita mengorbankan wang yang sepatutnya kita peroleh daripada bank pelaburan nombor satu dunia. Mereka membuat keuntungan berbilion-bilion,” katanya.

    Sebelum ini, Johari menuduh Goldman Sachs mengambil kesempatan daripada “rundingan lemah” oleh kerajaan Muhyiddin untuk menangguhkan pembayaran USD1.4 bilion kepada Putrajaya.

    Beliau juga menggesa kerajaan mendedahkan terma perjanjian penyelesaian itu, di mana ia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi yang menghalang ia daripada didedahkan kepada orang ramai.

  • Johari sahkan tanding jawatan Naib Presiden UMNO

    Johari sahkan tanding jawatan Naib Presiden UMNO

    JAWATAN Naib Presiden UMNO yang dipertandingkan pada pemilihan parti tidak lama lagi terus menarik penyertaan daripada ramai pemimpin kanan UMNO.

    Terbaru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, hari ini mengesahkan bertanding merebut jawatan itu, sekali gus pemimpin keempat berbuat demikian.

    Sebelum ini, penyandang Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan masing-masing.

    Lapor Berita Harian, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, menghantar borang pencalonannya di Auditorium UMNO di Menara Dato’ Onn pagi ini, dengan tempoh pencalonan juga masih dibuka sehingga Ahad ini.

    Selain Johari, seorang lagi Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menghantar pencalonannya bagi jawatan sama.

    Selain lima pemimpin UMNO itu, turut dikhabarkan dijangka mengemukakan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

    Selain itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad, juga dikatakan mengintai peluang sama.

    Selepas Khaled dan Mahdzir mengesahkan mempertahankan jawatan, kini hanya tinggal Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga bekas Perdana Menteri belum memutuskan sebarang pendiriannya mengenai kedudukan jawatannya.

  • Lawanlah, adakan pemilihan jangan tutup demokrasi – Johari Ghani

    Lawanlah, adakan pemilihan jangan tutup demokrasi – Johari Ghani

    SYOR jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan kepada mana-mana ahli dan pemimpin dilihat sebagai menutup pintu demokrasi.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, parti itu wajar memberi hak kepada ahli untuk mengundi dan membuat keputusan dalam memilih barisan pemimpinnya.

    “Kita kena praktis dalam UMNO ini bahawa kita mesti beri kepada semua ahli kita peluang untuk membuat keputusannya. Kerana ini adalah ‘training ground’.

    “Tengok parti lain PKR, DAP, PAS dia jalan (pemilihan) dulu, bergasak…dia bergasak juga, tapi akhirnya apa jadi? dia (Pakatan Harapan) menang 82 kerusi, PN ada partinya yang dapat 49 dari 74 kerusi Parlimen.

    “(Dalam UMNO) Lawanlah…sebab ini parti punya hal, rakyat pun faham. Kalau kita pergi pemilihan parti di bahagian, mana ada gaduhnya, mereka pergi pangkah saja, yang bergaduh ini kalau kita tipu undi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Semalam, seramai 140 ketua UMNO bahagian menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

    Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan merebut jawatan tertentu dalam pemilihan kali ini, Johari memberi bayangan akan bertanding salah satu dari tiga jawatan tertinggi parti.

    “Soal jawatan apa saya nak bertanding, kena tunggu bila pertandingan ini. Bila diumumkan pemilihan, nanti kita buatlah keputusan sama ada bertanding presiden ke, timbalan presiden ke, naib presiden ke, yang penting perkataan presiden itu ada.

    “Kita kena semarakkan konsep berdemokrasi dalam parti. Kita kena buat benda ini sebelum kita berdepan dengan PRU 2027,” katanya.