Tag: Johari Abdul

  • Bersatu cabar Johari isytihar empat kerusi Parlimen Sabah kosong

    Bersatu cabar Johari isytihar empat kerusi Parlimen Sabah kosong

    BERSATU telah memfailkan permohonan untuk memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Speaker Datuk Johari Abdul dan yang lain ketika parti itu cuba mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

    Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), dalam permohonannya pada 17 April untuk memulakan semakan kehakiman, Bersatu berkata keputusan Johari untuk tidak mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang, yang dahulunya bersama Bersatu, adalah “tidak sah”.

    Dalam permohonan itu, yang dilihat FMT, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Johari telah “tersilap” dalam keputusannya untuk tidak mengisytiharkan pengosongan kerusi terbabit.

    Kerusi itu disandang Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

    Empat Ahli Parlimen itu dipilih atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 lalu ketika Bersatu adalah sebahagian daripada GRS.

    Bagaimanapun, selepas pilihan raya itu, GRS menggugurkan Bersatu sebagai rakan gabungan.

    Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee sebelum ini dilaporkan berkata parti itu telah mengeluarkan surat pemecatan kepada empat Ahli Parlimen itu pada 21 Dis.

    Beliau berkata ini kerana mereka duduk bersama blok kerajaan semasa persidangan Dewan Rakyat 19 Dis, dan ia bermakna mereka telah “melompat”.

    Beliau mendakwa ini telah mencetuskan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi mereka jika mereka lompat ke parti lain. Pengecualian akan diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti mereka atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

    Bersatu mahu mahkamah membatalkan keputusan Johari, yang telah dimaklumkannya kepada parti itu dalam surat bertarikh 16 Jan, dan seterusnya memerintahkan Speaker mengisytiharkan empat kerusi itu kosong.

    Parti itu juga berkata sekiranya semakan kehakiman mereka berjaya, Johari perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengisi kekosongan itu dalam tempoh 21 hari.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan kebenaran Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman pada 30 Mei.

  • MP tak boleh disiasat berhubung kenyataan dalam Dewan Rakyat – Speaker

    MP tak boleh disiasat berhubung kenyataan dalam Dewan Rakyat – Speaker

    SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, ahli Parlimen tidak boleh disiasat atas kenyataannya di dalam Dewan Rakyat sekiranya ia tidak menyentuh isu berkaitan Akta Hasutan, penghinaan terhadap Raja-raja Melayu dan kenyataan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

    Sehubungan itu kata Johari, beliau tidak perlu memulakan siasatan ke atas Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang sebelum ini mendakwa didesak untuk memperbetulkan kenyataannya di berhubung isu telur import dari India.

    “Tidak ada mana-mana undang-undang yang boleh dikenakan terhadap ahli parlimen yang bercakap dalam parlimen, kalau dia bercakap di luar parlimen, lain cerita,” kata Johari, lapor Malaysiakini.

    Ia reaksi Speaker Dewan Rakyat itu terhadap gesaan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers), Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang meminta beliau menyiasat dakwaan bahawa Wee menerima ‘tekanan’.

    Isu itu bermula pada 22 Feb lalu apabila Wee membangkitkan isu telur import dengan membawa tiga jenis telur ke Dewan Rakyat.

    Beliau berbuat demikian bagi membandingkan saiz dan harga antara telur keluaran tempatan dan yang dimport dari India.

    Seminggu selepas itu, Wee berkata beliau menerima surat saman daripada peguam syarikat yang mengimport telur dari India itu berhubung kenyataannya di parlimen.

    Baru-baru ini, Wee berkata Deepak Jaikishan ada menghubunginya dan ahli perniagaan itu menggunakan nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya dia membetulkan kenyataannya berhubung isu import telur berkenaan.

    Meskipun dalam perbahasannya Wee tidak menyebut nama penuh Deepak, tetapi Malaysiakini kemudian menerima pengesahan bahawa individu yang dimaksudkannya itu ialah Deepak Jaikishnan.

    Kenyataan itu dibuat Wee selepas pemimpin Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 12 Mac lalu mendakwa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim menganugerahkan kontrak mengimport telur dari India kepada Deepak.

    Susulan itu, syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd, yang merupakan syarikat tunggal yang mengimport telur berkenaan turut mengancam menyaman Azmin.

    Johari sebelum ini berkata syarikat itu tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Wee kerana wakil rakyat itu menikmati perlindungan undang-undang ketika berucap di Dewan.

    “Saya sudah beri jawapan apabila Datuk Seri Wee Ka Siong tulis kepada saya ada peguam nak saman dia, saya kata tidak boleh sebab apa sahaja yang dia cakap asalkan tidak bercanggah dengan Akta Hasutan dan tidak menghina Raja-raja Melayu, dia boleh bercakap apa pun.

    “Tapi bila bercakap dalam parlimen, saya rasa mana-mana peguam itu tidak faham Perlembagaan Persekutuan. Dia kena baca Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

  • Speaker ada kuasa penuh tentukan nasib 4 Ahli Parlimen Bersatu – Shamrahayu

    Speaker ada kuasa penuh tentukan nasib 4 Ahli Parlimen Bersatu – Shamrahayu

    KEPUTUSAN sama ada empat Ahli Parlimen Sabah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya terletak di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

    Berita Harian melaporkan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, Johari memiliki kuasa penuh untuk membuat keputusan secara bersendirian.

    Katanya, tiada keperluan undang-undang untuk Johari merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dan semua pihak perlu menghormati serta menerima sebarang keputusan nanti.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Johari perlu merujuk isu tersebut kepada jawatankuasa khas berikutan terdapat kemungkinan keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah.

    Sebelum ini, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan, apa juga keputusan Johari tidak boleh dicabar di mahkamah.

    Ia berikutan klausa keistimewaan Parlimen dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kesahan apa-apa prosiding Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

    Kelmarin, Johari mengesahkan menerima notis pemakluman daripada Bersatu mengenai kekosongan luar jangka membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah, dan memiliki 21 hari untuk membuat keputusan mengenainya.

    Ia berikutan empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang), mengumumkan keluar Bersatu, namun kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ditanya mengenai langkah yang boleh dilakukan Bersatu jika tidak bersetuju dengan keputusan Johari, Shamrahayu berpandangan mereka perlu menerima dan menghormati apa juga keputusan yang akan diumumkan.

    “Mereka kena terima apa saja keputusan Speaker kerana Speaker memang ada kuasa untuk menentukan perjalanan urusan Dewan Rakyat.

    “Saya juga berpandangan keputusan nanti tidak boleh dicabar di mahkamah. Apabila Speaker yang diberi kuasa membuat keputusan, maka ia bermakna ini adalah urusan Dewan Rakyat.

    “Mengikut undang-undang, Parlimen ada kuasa penuh terhadap perjalanannya urusannya. Maka, saya juga berpandangan keputusan Speaker membabitkan isu empat Ahli Parlimen Sabah ini tak boleh dicabar di mahkamah,” katanya.