Tag: JKR

  • Anak syarikat GFM Services peroleh kontrak JKR RM367.23 juta

    Anak syarikat GFM Services peroleh kontrak JKR RM367.23 juta

    ANAK syarikat milik penuh GFM Services Bhd, Global Facilities Management Sdn Bhd, menerima surat setuju-terima (LOA) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan kemudahan bernilai RM367.23 juta untuk Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur.

    Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu itu menjelaskan kontrak tersebut bertempoh lima tahun mulai 15 Jun 2022 hingga 14 Jun 2027.

    Ia menambah, skop perkhidmatan meliputi antaranya perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan berkaitan pengurusan transisi, seni bina, awam dan struktur, mekanikal, elektrik, perlandskapan, sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer, kecekapan tenaga serta pembaikan dan penggantian.

    Naib Pengerusi Eksekutif, Ruslan Nordin berkata, pihaknya berbesar hati apabila diamanahkan untuk menyelenggarakan infrastruktur awam yang menjadi mercu tanda seperti Istana Negara.

    “Pemerolehan kontrak ini menunjukkan keyakinan JKR terhadap kemampuan GFM untuk melaksanakan perkhidmatan pengurusan kemudahan tanpa gangguan.

    “Kontrak ini menyediakan kebolehlihatan pendapatan lebih baik untuk kami selain menambah semula nilai perolehan kontrak semasa kami kepada RMI.41 bilion di samping membolehkan kami mempunyai daya tarikan dalam memperoleh lebih banyak kerja daripada sektor awam,” katanya.

    Beliau berkata, syarikat mempunyai rekod prestasi kukuh dalam menyelenggarakan kemudahan awam, termasuk premis Bank Negara Malaysia; Pusat Pentadbiran Negeri Sabah serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

    Dalam melangkah maju, syarikat akan terus meningkatkan kompetensi untuk memperkukuh saranan nilai kepada pelanggan, katanya.

    “Kami mahu menguruskan Istana Negara berlandaskan kecemerlangan perkhidmatan sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan ulung,” katanya,

    Selain penyediaan perkhidmatan pengurusan kemudahan, GFM juga merupakan pemilik syarikat konsesi aset universiti, KP Mukah Development Sdn Bhd, untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Mukah di Sarawak.

    Istana Negara yang merupakan tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong terletak di kawasan seluas 97.65 hektar dan dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu Komponen Formal, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran. – BERNAMA

  • JKR jangan lantik kontraktor atas amalan lobi-melobi

    JKR jangan lantik kontraktor atas amalan lobi-melobi

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengingatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya tidak melantik kontraktor atas amalan ‘lobi-melobi’ bagi mengelakkan projek pembinaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negara mengalami masalah.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, menurut beliau, lantikan yang dibuat atas asas lobi kontraktor menyebabkan banyak masalah timbul, terutama projek gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

    “Saya mohon selaku salah seorang menteri kepada JKR (Jabatan Kerja Raya), kalau ada projek hendak dibangunkan bersama, cari kontraktor yang benar-benar mampu.

    “Kita tak mahu masalah ini (kelewatan) timbul kemudian hari. Siapa JKR lantik kita terima sahaja, tetapi biarlah dengan prosedur yang betul, bukan kerana lobi-melobi.

    “Yang kuat melobi itulah kita selalu bagi (projek) dan jadi masalah di kemudian hari,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek IPD Iskandar Puteri, hari ini.

    IPD Iskandar Puteri bernilai RM89.4 juta yang tertangguh sejak 2016 sebelum ini dilaporkan merupakan antara lapan projek yang dikenal pasti sebagai ‘projek sakit’ di Johor kerana gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

    Sementara itu Hamzah berkata, sebanyak lima projek IPD sedang dalam pembinaan, iaitu di Mualim, Perak (RM85 juta), Jeli di Kelantan (RM130.3 juta), Lawas di Sarawak (RM138 juta), Hulu Terengganu (RM108.88 juta) dan Klang Utara di Selangor (RM159.3 juta).

    “Bagi bangunan ibu pejabat polis kontinjen pula, ada yang lama, iaitu di Perak, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang. Ini semua dalam perancangan dan apabila kita pastikan cukup kewangan, kita akan beri keutamaan,” jelasnya.