Tag: jenayah

  • Polis buru lima suspek kes samun bersenjatakan parang

    Polis buru lima suspek kes samun bersenjatakan parang

    POLIS sedang memburu lima suspek kes samun bersenjata di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Petaling, Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian pada sebelah petang itu, lima suspek yang memakai topeng, sarung tangan serta bersenjatakan parang telah meletakkan kenderaan mereka di laluan belakang sebuah rumah sebelum memasuki kediaman itu melalui pintu belakang.

    Beliau berkata lima sekeluarga berumur 38 hingga 70 tahun berada di dalam rumah itu semasa kejadian, dan suspek mengikat tangan serta menutup mulut empat daripada mereka sebelum ditempatkan di dalam dua bilik, manakala seorang lagi mangsa tidak diikat, dipercayai atas faktor usia.

    Menurutnya beberapa suspek turut memukul seorang mangsa perempuan berusia 45 tahun di bahagian hidung dan badan sebelum mengetuk kepalanya menggunakan belakang parang sehingga menyebabkan kecederaan.

    “Suspek kemudian menyelongkar bilik dan melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, barang kemas bernilai sekitar RM20,000 dan lima telefon bimbit, sebelum keluar melalui pintu sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Cha berkata kereta yang digunakan suspek kemudiannya dijumpai di sebuah lorong di kawasan perumahan Taman Desawan, Klang, dan semakan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor plat palsu.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan auspek atau kejadian itu diminta menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Klang Selatan dengan menelefon 03-33762222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

    Beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan samun, dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebatan.

    Terdahulu satu rakaman video berkaitan kejadian itu didapati tular di media sosial, memaparkan sekumpulan lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah dan menaiki sebuah kereta. – BERNAMA

  • 2 didakwa ubah kandungan sistem pengurusan darjah kebesaran Pahang

    2 didakwa ubah kandungan sistem pengurusan darjah kebesaran Pahang

    DUA bekas petugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mengubah suai kandungan laman web sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Pahang, yang didakwa dilakukan sejak dua tahun lepas. 

    Mohd Isa Mohd Yusof, 36, yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu operasi dan bekas pembantu tadbir Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maimoonah Aid. 

    Mohd Isa dari Felda Sungai Panching Timur di sini, membuat pengakuan itu terhadap 26 pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 19 Feb 2020 hingga 12 Okt 2021 di Pejabat SUK Pahang di sini, manakala Muhammad Amer Syafeeq didakwa atas tiga pertuduhan antara 18 Ogos 2021 hingga 4 Okt tahun lepas di tempat sama. 

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan nombor pengenalan yang dibekalkan kepada mereka untuk memasukkan nama 29 individu sebagai penerima darjah kebesaran Pahang yang dikurniakan oleh Sultan Pahang ke sistem laman web tersebut tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian.

    Sedangkan semua individu tersebut tidak disenaraikan sebagai penerima darjah kebesaran Pahang yang terlibat iaitu Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang memberikan gelaran Datuk. 

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

    Pada prosiding itu, Mohd Isa yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang ditawarkan pihak pendakwaan, atas alasan dirinya hanya mampu menyediakan wang RM20,000 bagi semua pertuduhan. 

    Dia yang beberapa kali berkata dirinya tidak mempunyai wang yang banyak juga memaklumkan telah ditukarkan ke jabatan lain. 

    Sementara itu, peguam Noor Azmi Kasani yang mewakili Muhammad Amer Syafeeq merayu jaminan itu dikurangkan kerana kewangan tertuduh yang juga berasal dari Kuantan tidak begitu baik selepas ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun lepas. 

    “Tertuduh kini bekerja secara sambilan dengan pendapatan antara RM500 ke RM700 sebulan. Isterinya juga tidak bekerja dan sedang mengandung, selain mereka turut mempunyai seorang anak,” katanya. 

    Maimoonah membenarkan jaminan RM130,000 bagi Mohd Isa dan RM15,000 terhadap Muhammad Amer Syafeeq, masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 13 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. 

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim. – BERNAMA 

  • 3 lelaki curi kabel RM20,000 dicekup polis

    3 lelaki curi kabel RM20,000 dicekup polis

    POLIS menahan tiga lelaki tempatan disyaki mencuri kabel tembaga bernilai RM20,000 di  sebuah pusat komersial di Pandan Indah, Ampang minggu lepas. 

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki pertama ditahan di Batu 6 Jalan Gombak, kira-kira jam 10.30 pagi semalam manakala dua lagi rakannya ditahan di Jalan Air Jerneh Setapak pada hari sama.

    “Semakan mendapati suspek pertama memiliki tujuh rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah selain positif dadah jenis syabu, manakala dua lagi tiada rekod jenayah dan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Mohamad Farouk berkata pihaknya turut merampas pakaian dan sebuah lori yang diguna semasa kejadian dipercayai dilakukan 16 Sept lepas, selain turut menemui satu salinan resit bayaran penjualan kabel.

    Menurutnya modus operandi individu berkenaan adalah dengan menyasarkan gelung kabel yang diletakkan di tangga rumah kedai.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kesemua lelaki berusia berusia di antara 24 tahun hingga 34 tahun itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. – BERNAMA