Tag: Jempol

  • Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    TIGA termasuk seorang warga emas maut apabila sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian di KM26 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Lui Barat, Jempol.

    Dalam kejadian kira-kira 1.57 tengah hari tadi, mangsa maut adalah Sallehuddin Nong, 63, selain dua wanita, Tee Tai En, 29, dan Tin Siew Kwan, 59.

    Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata, kemalangan itu berlaku selepas Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan Honda CRV, dari arah Sungai Lui menuju ke Bandar Seri Jempol.

    “Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi serta penumpang belakang Honda CRV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya menurut Kosmo.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Lelaki rogol anak tiri sejak tahun lalu ditahan

    Lelaki rogol anak tiri sejak tahun lalu ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 13 tahun di Batu Kikir, Jempol semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan pada pukul 5 petang semalam.

    Menurutnya, polis menerima laporan mangsa yang mendakwa dirogol suspek pada pukul 10 malam 10 Disember lalu.

    “Ketika itu mangsa berada di rumah di Batu Kikir dan sedang tidur di ruang tamu sebelum dirogol suspek.

    “Selepas kejadian itu mangsa menceritakan kejadian kepada kakaknya sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Chang Hook berkata, mangsa turut mendakwa mula dirogol suspek sejak tahun 2021 dan kali terakhir pada 10 Disember lalu.

    Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

    “Mangsa ketika ini diletakkan dibawah jagaan neneknya sementara pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) mendapat kelulusan bagi permohonan perlindungan interim (IPO) terhadapnya.

  • Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    SEORANG pekerja am warga Bangladesh terpaksa berputih mata selepas kerugian RM28,200 akibat ditipu ejen kiriman wang ke luar negara menerusi laman Facebook, pada akhir Jun lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa dia melihat sebuah iklan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara menerusi pemilik akaun Facebook bernama ‘Anika Topup’.

    Katanya, pengadu yang tinggal di Ladang Bahau itu berminat dengan tawaran berkenaan kemudian berurusan dengan individu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Lelaki berkenaan mahu menghantar wang kepada keluarganya di Bangladesh, telah melakukan sebanyak lima kali transaksi ke beberapa akaun bank berjumlah RM28,200 bermula 7 hingga 11 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hoo berkata mangsa menghubungi keluarganya di Bangladesh pada 14 Ogos dan dimaklumkan tidak menerima sebarang wang daripada ejen berkenaan.

    Beliau berkata pengadu terus menghubungi ejen tersebut namun dimaklumkan perlu membuat pembayaran sebanyak RM5,000 bagi urusan insurans dan sekiranya gagal membuat pembayaran tersebut wang milik mangsa tidak dipulangkan kepada keluarganya.

    Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- BERNAMA