Tag: jemaah umrah

  • 20 maut bas bawa jemaah umrah langgar jambatan sebelum terbakar

    20 maut bas bawa jemaah umrah langgar jambatan sebelum terbakar

    SEKURANG-kurangnya 20 jemaah umrah terbunuh manakala 29 lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya kendiri di barat daya Arab Saudi, lapor media tempatan.

    Bas penumpang itu melanggar sebuah jambatan sebelum terbalik dan terbakar, semalam dalam kejadian di wilayah Asir.

    Lapor Gulf News, nahas berpunca akibat kegagalan brek dan berlaku di jalan raya menghubungkan wilayah Asir dan bandar Abha.

    Kesemua mangsa dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah.

    Pasukan pertahanan Saudi dan pihak berkuasa Bulan Sabit Merah bergegas ke lokasi kemalangan dan mengawal keadaan.

    Mangsa yang terbunuh dan cedera dibawa ke hospital berhampiran.

    Kemalangan pada minggu pertama Ramadan itu berlaku di tengah kesibukan melakukan ibadah umrah dan hanya beberapa bulan sebelum jutaan umat Islam menunaikan haji.

    Kemalangan membabitkan bas membawa jemaah umrah bukan pertama kali berlaku dan kali terakhir dilapor pada Oktober 2019 sehingga meragut kira-kira 35 warga asing dan empat lagi cedera.

    Ia selepas bas itu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan berat berhampiran Madinah.

  • 62 jemaah umrah Malaysia terkandas sudah berlepas ke Tanah Suci

    62 jemaah umrah Malaysia terkandas sudah berlepas ke Tanah Suci

    SEBANYAK 62 jemaah umrah dari Malaysia yang terkandas di Jakarta, Indonesia semalam selamat berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan Saudi Airlines, pagi ini.

    Kesemua jemaah berlepas secara tiga peringkat sejak awal pagi tadi dan penerbangan kumpulan pertama akan tiba di Jeddah pada pukul 11.28 pagi waktu Arab Saudi (4.28 petang waktu Malaysia).

    Menurut Unit komunikasi pemasaran Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga syarikat pengendali umrah, isu kelewatan timbul akibat masalah teknikal melibatkan tiket penerbangan yang menyebabkan jemaah umrah tersebut tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke penerbangan dari Jakarta ke Jeddah.

    “Tindakan pantas pihak pengurusan syarikat telah berjaya menyelesaikan isu tersebut dan jemaah yang terkesan telah dibawa ke hotel penginapan sementara menunggu jadual penerbangan mereka yang berikutnya.

    “Situasi ini boleh berlaku sewaktu transit terutama melibatkan musim yang padat seperti cuti sekolah dan pihak syarikat sentiasa memastikan kebajikan jemaah sentiasa dijaga.

    “Pihak Emraz akan terus memastikan semua pelanggan diberikan perkhidmatan terbaik,” kata syarikat itu kepada Astro AWANI.

    Semalam, pihak berkuasa Indonesia menahan 62 jemaah umrah dari Malaysia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.

    Mereka semuanya terkandas di Lapangan Terbang Soekarno – Hatta, Jakarta selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 2 petang semalam.

    Jemaah berkenaan dijadualkan untuk transit di Jakarta sebelum berlepas ke Jeddah pada pukul 7 petang semalam.

  • Arab Saudi sedia terima 70,000 jemaah umrah sehari

    Arab Saudi sedia terima 70,000 jemaah umrah sehari

    JABATAN Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan kesediaan pihaknya menyambut kedatangan 70,000 jemaah umrah sehari.

    Penolong Ketua Pengarah Hal Ehwal Masjidil Haram Dr Saad Muhammad Al-Muhaimidi menerusi perkongsiannya di Twitter hari ini berkata pihaknya sedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

    Media sebelum ini melaporkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga 120,000 sehari berbanding 60,000 ketika ini.

     Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah.

      Pihaknya akan sentiasa memantau setiap ruang di Masjidil Haram dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran urusan jemaah.

    Portal berita Saudi Gazette turut melaporkan bahawa penambahan angka itu dibuat berikutan negara berkenaan menjangkakan menerima lebih ramai jemaah umrah dari seluruh dunia tahun ini sejak ibadah itu dihentikan tahun lalu akibat pandemik COVID-19.- BERNAMA