Tag: jemaah

  • 23 jemaah terkandas di Arab Saudi akan dibawa balik secara berperingkat – Saifuddin

    23 jemaah terkandas di Arab Saudi akan dibawa balik secara berperingkat – Saifuddin

    KERAJAAN akan membawa pulang baki 23 daripada 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi secara berperingkat bergantung sumber dana yang diperolehi untuk pembelian tiket.

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu tidak telibat dengan bantuan dana kerana ia lebih kepada usaha yang dilaksanakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    “Kami lebih kepada membantu dalam urusan dengan Kerajaan Arab Saudi untuk membawa mereka pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di Indera Mahkota di sini.

    Semalam, empat lagi jemaah selamat pulang ke tanah air selepas 36 jemaah dari kumpulan pertama tiba di negara ini pada 4 Oktober lalu.

    Pada Oktober lalu, Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan, 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

    Kesemua jemaah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu.

    Saifuddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Indera Mahkota berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang selepas ini kerana jemaah Malaysia mempunyai rekod baik dan kerajaan Arab Saudi selalu memuji pengurusan jemaah haji serta umrah dari negara ini.

    “Saya berharap peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi sebab kita bimbang ia mencatatkan nama baik Malaysia di kaca mata kerajaan Arab Saudi,” katanya.

  • Agensi kerajaan bawa pulang 63 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi

    Agensi kerajaan bawa pulang 63 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi

    SERAMAI 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022.

     “Kesemua jemaah telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

    Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah. 

    “Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos 2022. 

     “Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu urusan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.

     “Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya. – BERNAMA

  • Bakal haji tidak boleh terus bergantung pada bantuan kewangan

    Bakal haji tidak boleh terus bergantung pada bantuan kewangan

    SEJURUS berakhirnya musim haji tahun ini, isu kemungkinan akan berlaku lagi peningkatan bayaran mengerjakan ibadah itu untuk jemaah muassasah di negara ini kembali dibicarakan.  

    Kemungkinan berlaku peningkatan bayaran itu dibayangkan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Azman Mokhtar pada bulan lepas, apabila beliau menyatakan Tabung Haji dijangka membincangkan tentang isu kenaikan kos musim depan dengan kerajaan.

    Bagi mereka yang terlibat dalam pengurusan haji, peningkatan bayaran untuk musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi, jika berlaku, dianggap wajar kerana kos mengerjakan ibadah itu sebenarnya meningkat saban tahun atas beberapa faktor termasuk inflasi, pergerakan nilai tukaran mata wang, pengenalan caj dan cukai baharu oleh kerajaan Arab Saudi  selain pembangunan di Makkah dan Madinah. 

    Meskipun begitu, kata mereka, kenaikan kos tersebut tidak begitu dirasai oleh jemaah haji muassasah negara ini lantaran langkah Tabung Haji yang melaksanakan bantuan kewangan.

    TIDAK DAPAT DIELAK

    Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd Datuk Md Daud Che Ngah berkata peningkatan kos haji adalah perkara yang perlu diterima oleh bakal jemaah kerana ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

    Menurutnya, kenaikan itu adalah fenomena yang sudah dijangka, khususnya pascapandemik COVID-19.

    “Memang dijangka kos haji meningkat setiap tahun atas beberapa faktor termasuk penginapan jemaah, pengangkutan dan pergerakan para jemaah haji serta lain-lain perkara yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi di saat kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini.

    “Umat Islam yang berhasrat untuk menunaikan haji perlu bersedia dengan kenaikan kos itu, dan mereka (bakal haji) tidak boleh bergantung pada subsidi atau bantuan kewangan semata-mata untuk menunaikan ibadat tersebut,” katanya kepada Bernama.

    Ini juga seiring dengan pendekatan maqasid syariah (matlamat dalam setiap hukum syarak) yang mana antara kewajipan menunaikan fardu haji adalah bagi mereka yang berkemampuan termasuk dari sudut kewangan.

    Justeru, sekiranya bakal jemaah haji memahami konsep berkemampuan mengikut lunas Islam, pasti secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban kos subsidi yang ditanggung oleh Tabung Haji.

    “Istilah kemampuan ini juga boleh dipecahkan kepada aspek-aspek berikut, iaitu bakal haji berkemampuan membayar kos tunai haji, ada bekalan nafkah untuk waris yang ditinggalkan, ada pengangkutan, aman perjalanan (tiada kekacauan), sihat tubuh badan dan mempunyai masa dan kebenaran (untuk menunaikan haji).

    “Sudah tiba masanya Tabung Haji tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi dan bakal haji perlu bersedia untuk membayar lebih serta tidak boleh lagi bergantung pada bantuan Tabung Haji semata-mata,” katanya.

    Tabung Haji dianggar membelanjakan hampir RM200 juta untuk musim haji tahun ini bagi menampung sebahagian daripada kos sebenar mengerjakan ibadah tersebut.

    TELITI DALAM PEMBERIAN SUBSIDI

    Katanya, sebagai ‘orang lama’ dalam bidang pengurusan haji, beliau berpandangan pemberian bantuan kewangan haji tersebut perlu diteliti semula termasuk hanya diberikan kepada bakal haji yang benar-benar layak.  

    Ini kerana bantuan kewangan yang diberikan secara langsung oleh Tabung Haji pada masa ini tidak hanya dimanfaatkan oleh golongan sasaran tetapi turut dinikmati oleh mereka yang berpendapatan tinggi dan berkemampuan membayar kos sebenar.

    “Saya pernah berkhidmat dengan Tabung Haji (selama) kira-kira 25 tahun, dan saya melihat peruntukan subsidi yang diberikan kepada jemaah muassasah ini terlalu tinggi hingga mencapai lebih 60 peratus untuk seorang jemaah.

    “Bagi saya, secara peribadi, Tabung Haji kena nilai semula pemberian subsidi haji secara menyeluruh sebab kita tidak mahu, jika bantuan tersebut diberikan dalam jangka masa panjang, ia akan beri kesan kepada Tabung Haji itu sendiri.  Bagi saya, kalau nak bagi bantuan pun cukup sekadar 30 peratus.

    “Dalam situasi ini, kita kena berbalik kepada maqasid syariah. Selain keupayaan kewangan, mereka yang layak juga mestilah sihat tubuh badan dan bebas penyakit. Saya lihat ada jemaah (ketika melakukan ibadah haji) menggunakan kerusi roda dan ditolak dengan bantuan para petugas haji, sedangkan mereka yang sakit ini tidak wajib pun menunaikan haji,” tambahnya.

    Pada awal tahun ini, Tabung Haji menganggarkan kos menunaikan ibadah itu bagi setiap jemaah muassasah untuk musim 1445 Hijrah/2022 Masihi ialah RM25,540, namun angka sebenar meningkat kepada RM28,632.

    Daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980 manakala bagi yang bukan daripada  B40 pula sebanyak RM12,980.

    Pandangan senada turut disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Wira Saujana Travel & Tours Mohamad Adzri Othman yang berkata pemberian bantuan itu seharusnya dibuat secara bersasar dengan memfokuskan pada mereka yang kurang berkemampuan, bukan meliputi semua jemaah seperti amalan semasa. 

    “Bantuan yang diberikan biarlah adil, sedangkan ada dalam kalangan jemaah muassasah ini daripada mereka yang mampu pergi haji tanpa bantuan (kewangan) Tabung Haji pun. Bagi saya perkara seperti inilah yang perlu dinilai semula,” katanya.

    PERKHIDMATAN LEBIH BAIK

    Mohamad Adzri berkata jemaah seharusnya akur dengan peningkatan kos mengerjakan haji kerana ia seiring dengan kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan kepada setiap jemaah.

    Namun begitu menurutnya, jemaah haji di negara ini masih beruntung kerana bayaran yang ditetapkan itu masih lagi rendah berbanding  negara lain.

    “Untuk jemaah muassasah, mereka yang mendapat subsidi hanya perlu membayar jumlah yang kecil berbanding kos sebenar ibadah itu.

    “Jemaah swasta pula perlu membayar kos haji mencecah lebih RM30,000 seorang. Walaupun jumlah ini disifatkan agak besar, perkhidmatan yang kita berikan sebagai pengendali haji swasta adalah yang terbaik termasuk penginapan dan kemudahan pengangkutan yang selesa untuk jemaah,” katanya.

    Jelasnya, peningkatan kos mengerjakan ibadah haji juga dibuat mengikut situasi semasa berikutan kerajaan Arab Saudi sentiasa menaik taraf semua perkhidmatan bagi keselesaan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.

    “Jika masih belum berkemampuan, tidak perlu memaksa diri mengerjakan haji. Bagi saya, dengan kos tinggi yang jemaah bayar, mereka boleh menikmati setiap kemudahan yang terbaik, bukan sahaja yang disediakan kerajaan Arab Saudi tetapi juga daripada syarikat pengendali haji,” ujarnya.- BERNAMA

  • Sehingga 1,000 jemaah dibenar solat Jumaat di masjid Selangor

    Sehingga 1,000 jemaah dibenar solat Jumaat di masjid Selangor

    SERAMAI 1,000 orang jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam manakala 500 jemaah lagi untuk masjid lain di Selangor semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

    Ketetapan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi satu edaran itu berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kemudian.

    Menurut JAIS, had jemaah baharu itu termasuk pentadbir masjid dibuat selepas mengambil kira penurunan kes Covid-19 yang konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap, kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang signifikan.

    Katanya, untuk Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi, masing-masing ditetapkan seramai 500 jemaah bagi solat Jumaat serta 300 jemaah untuk solat lima waktu.

    Selain itu katanya, bagi masjid pengurusan pula, adalah ditetapkan seramai 400 jemaah bagi solat Jumaat dan 300 jemaah solat lima waktu, manakala 350 jemaah untuk masjid kariah bersolat Jumaat dan 200 jemaah dihadkan bagi solat lima waktu.

    “Surau kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah dibenar untuk solat Jumaat, manakala 200 jemaah untuk solat lima waktu, sementara surau kariah dan musolla pula dibolehkan 100 jemaah bagi solat lima waktu,” kata edaran itu hari ini.

    Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

    Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

    “Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/surau boleh dipertimbangkan,” kata edaran itu lagi.

    Selain itu dimaklumkan, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

    Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan.