Tag: jelik

  • Pereka hiasan dalaman didakwa buat hantaran jelik hina Agong

    Pereka hiasan dalaman didakwa buat hantaran jelik hina Agong

    SEORANG pereka hiasan dalaman didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman media sosial Instagram miliknya, tahun lepas.

    William Khor Wai Loon, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

    Lelaki itu didakwa telah mengeluarkan kenyataan kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

    Khor didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Teratai, Ampang di sini pada 3.31 pagi, 20 Nov 2022 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Dia juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil ‘williamkhor87’ pada masa dan tarikh sama dan kemudiannya dibaca di lokasi sama pada 8 malam, 21 Nov tahun lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta tidak dibenarkan membuat hantaran bersifat jelik di media cetak atau elektronik.

    Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

    “Bapanya berusia 64 tahun mempunyai masalah kesihatan mata dan telinga. Sementara ibunya 62 tahun merupakan pesakit kanser,” katanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak membuat sebarang hantaran berhubung kes tersebut.

    Wan Mohd Norisham menetapkan 5 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

    Sebelum ini media melaporkan, polis telah menahan seorang lelaki dipercayai memuat naik rakaman video di akaun Instagramnya yang memaparkan ketidakpuasan hati terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan proses pemilihan Perdana Menteri ke-10. – BERNAMA

  • Aktivis wanita menangis teresak-esak mengaku salah buat hantaran jelik

    Aktivis wanita menangis teresak-esak mengaku salah buat hantaran jelik

    SEORANG aktivis wanita menangis teresak-esak ketika mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya berhubung isu agama Kristian dalam laman profil Facebook miliknya, tahun lepas.

    Wan Asshima Kamaruddin, 38, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pondok Hijrah Muslimah Malaysia (MUM) dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak selepas menukar pengakuannya kepada bersalah pada perbicaraan kesnya hari ini.

    Hakim M. M Edwin Paramjothy menetapkan 15 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman dan pendengaran fakta kes.

    Wan Asshima selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil miliknya ‘Puteri Mujahidah Wan Asshima Kamaruddin’ pada 9.23 pagi, 11 Mac 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 6.24 petang, 13 Mac 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap OKS dan orang awam mengambil kira faktor terdapat 61 laporan polis dibuat di seluruh Malaysia berkenaan hantaran yang dibuat oleh OKS.

    “Aduan yang paling banyak datang dari Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor. Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan kes ini yang memasuki peringkat perbicaraan dengan seramai tiga orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum OKS bertindak menukar pengakuannya kepada bersalah,” katanya.

    Peguam Dorina Abdullah, yang mewakili Wan Asshima memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga selain tidak berniat untuk menyakiti orang awam melalui hantarannya.

    “Anak guam saya juga sedang berhadapan dengan kes penceraian dan disebabkan itu, beliau tidak mendapat bantuan nafkah sejak bulan lepas. Saya mohon simpati mahkamah dalam menjatuhkan hukuman bagi kes ini,” kata peguam itu. – BERNAMA

  • Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    SEORANG penuntut universiti mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman sosial, tahun lepas.

    Pengakuan Muhammad Luqmanulhakim Mohd Aziz, 22, dari Negeri Sembilan direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8.31 malam 17 April 2021 dengan membuat kenyataan itu di akaun Twitter @hkmlqmn18 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dibaca pada 9 malam hari sama di Felda Mempaga, Bentong.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Mat memohon tarikh baharu untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, Muhammad Luqmanulhakim yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan ke paling minimum kerana dirinya belum bekerja.

    “Kami lima beradik dan semuanya masih bersekolah. Ibu bapa saya hadir ke mahkamah hari ini dan mereka bekerja sebagai guru. Kalau boleh, saya mohon jumlah jaminan dikurangkan lagi,” katanya.

    Ahmad Faizadh membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April sebagai tarikh jatuh hukum. – BERNAMA