Tag: JAWI

  • Bacaan ayat suci al-Quran pada majlis pecah tanah disiasat

    Bacaan ayat suci al-Quran pada majlis pecah tanah disiasat

    JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyiasat dakwaan tular orang Islam membacakan ayat suci al-Quran pada program pecah tanah dipercayai diurus pihak bukan Islam di ibu negara.

    Menerusi satu kenyataan, JAWI berkata, siasatan dilakukan bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa.

    Katanya, sebarang kesalahan yang berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

    “Keharmonian dan toleransi antara agama adalah perkara yang disarankan oleh ajaran Islam, lebih-lebih lagi dalam situasi negara berbilang kaum.

    “Namun, semua pihak dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi memastikan tindakan yang dilaksana mengikut lunas hukum syarak ditentukan,” katanya.

    Satu rakaman siaran langsung majlis berkenaan dimuat naik di Facebook yang berdurasi hampir satu jam dan tular.

    Ia tular selepas seseorang membacakan ayat suci al-Quran di samping penganut agama lain pada majlis pecah tanah dipercayai berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

  • JAWI saran solat jenazah ghaib buat Al-Qaradawi malam ini

    JAWI saran solat jenazah ghaib buat Al-Qaradawi malam ini

    JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini menyarankan masjid, surau Jumaat serta surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat Jenazah Ghaib selepas solat Isyak malam ini, untuk mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan bagi ulama tersohor, Allahyarham Profesor Dr Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi.

    Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan berkata pemergian Al-Qaradawi, 96, adalah suatu kehilangan yang besar kepada dunia Islam khususnya bagi umat Islam di Malaysia di atas sumbangan khazanah ilmu yang tidak terhitung nilainya kepada ummah. 

    “Kami mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan para anbia dan solihin,” katanya.

    Al-Qaradawi dilahirkan di Mesir, namun Allahyarham menghabiskan hampir seluruh hayatnya di Qatar.

    Allahyarham meninggal dunia di Doha semalam,- BERNAMA