SITUASI banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir melonjak kepada 5,878 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 1,591 mangsa direkodkan pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 1,575 keluarga ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,952 orang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Segamat dengan 1,431 orang dipindahkan ke 16 PPS.
“Turut terjejas bencana itu ialah Kota Tinggi melibatkan 1,156 mangsa, Johor Bahru (1,004 orang), Kulai (320 orang) dan Pontian (15 orang),” menurut kenyataan itu.
Di Segamat, beberapa sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat Kecil yang merekodkan bacaan 38.32 meter (m); Sungai Bandar Segamat (9.2m); Sungai Labis (41.31m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah (8.11m).
Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Kahang, Kampung Contoh (Kluang) di paras 16.95m; Sungai Siku, Kampung Murni Jaya (Kulai) 21.51m; Sungai Skudai, Kampung Separa (Kulai) 18.66m; Sungai Siam, Kampung Sungai Siam 21.51m dan Sungai Pontian Besar, Kampung Melayu Bukit Batu 12.86.
Selain itu, paras air Sungai Pulai, Kampung Ulu Pulai (Pontian) turut melepasi paras bahaya iaitu 2.81m dan Sungai Skudai, Kampung Laut (Johor Bahru) 5.79m.
Cuaca di kesemua 10 daerah dijangka hujan sehingga petang. – BERNAMA
TIDAK sampai sebulan, Johor kembali banjir di lima daerah melibatkan pemindahan 2,162 mangsa ke 25 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 pagi ini, susulan hujan lebat yang berterusan sejak pagi semalam.
Ia berbanding hanya seramai 1,591 penduduk daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 PPS, yang dibuka di empat daerah terjejas banjir, setakat pukul 8 pagi tadi.
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa terjejas banjir di daerah Labis. FOTO JBPM
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, hujan lebat yang masih berterusan sejak lebih 24 jam lalu menyebabkan kebanyakan penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air banjir.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Kulai daerah kelima dan terbaharu terjejas banjir di negeri ini dengan 74 mangsa daripada 21 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Bukit Batu.
Katanya, Segamat kekal daerah paling terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga ditempatkan di enam PPS yang dibuka.
“Mangsa banjir di Kluang pula melonjak naik kepada 650 penduduk daripada 188 keluarga di sembilan PPS berbanding hanya 162 mangsa di enam PPS, pukul 8 pagi tadi.
“Johor Bahru kekal dengan 560 mangsa yang dipindahkan di enam PPS diikuti seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kota Tinggi.
“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga esok, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, 10 sungai utama masing-masing tiga di Segamat dan Kulai, Johor Bahru (dua) dan masing-masing satu di Kluang dan Pontian, berada pada paras bahaya pagi ini.
Katanya, ia membabitkan Sungai Segamat Kecil yang melebihi paras bahaya di 38.12 meter, Sungai Batu Pahat lembangan Sungai Lenik melepasi 13.74 meter manakala Sungai Lenik Ladang Chaah pula melepasi 6.73 meter.
“Di Kulai pula, Sungai Siku di Kampung Murni Jaya melepasi paras bahaya di 18.93 meter, Sungai Skudai Kampung Separa melepasi 18.80 meter manakala Sungai Kampung Melayu Bukit Batu turut melepasi paras bahaya di 12.01 meter.
“Di Johor Bahru, Sungai Skudai di Kampung Laut melepasi paras bahaya 5.60 meter dan Sungai Skudai di Kampung Pasir turut melepasi tahap bahaya 1.05 meter.
“Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga melepasi tahap bahaya di paras 15.49 meter dengan Sungai Pulai, di Kampung Ulu Pulai, Pontian turut melepasi tahap bahaya pada paras 2.85 meter,” katanya.
Sementara itu, Azmi berkata, empat jalan utama masing-masing dua di Kluang dan Segamat, turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir.
“Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang.
“Bagaimanapun, Jalan Mohd Salim (FT172)di Kluang yang dinaiki air bah hampir satu meter hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
“Di Segamat pula, Jalan Bekok (J150) dan Jalan Kampung Tenang (J151)yang dinaiki air bah hampir satu meter, masih ditutup kepada semua jenis kenderaan” katanya, lapor Berita Harian.