Tag: jawatan tertinggi tak dipertanding

  • Ahli BN gagal cabar usul UMNO tak pertanding 2 jawatan tertinggi

    Ahli BN gagal cabar usul UMNO tak pertanding 2 jawatan tertinggi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan difailkan tiga ahli Barisan Nasional (BN) untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengecualikan dua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti Januari lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan kebenaran oleh Satarriah Abdul Karim, Zaidi Abdul Majid dan P Vellasamy atas alasan mahkamah tidak boleh menyiasat perkara melibatkan parti politik.

    Ini seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

    Mahkamah tidak membuat sebarang perintah untuk kos.

    Satarriah, Zaidi dan Vellasamy mendakwa bahawa keputusan Saifuddin bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan, sambil menambah bahawa ia telah menafikan peluang ahli lain mencabar penyandang jawatan presiden dan timbalan presiden.

    “Pemohon dinafikan hak mereka untuk didengari oleh menteri sebelum membuat keputusan. Sehingga hari ini, tiada penjelasan munasabah daripada menteri mengenai keputusannya,” dakwa mereka dalam permohonan itu.

    Dalam perhimpunan agung tahunan UMNO 2022 pada 14 Jan lalu, parti itu meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

    Ketiga-tiga mereka menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melancarkan siasatan kemungkinan pelanggaran Perlembagaan UMNO berhubung usul tidak bertanding untuk dua jawatan teratas.

    Mereka mahu mahkamah membatalkan keputusan Saifuddin yang mengecualikan jawatan itu daripada dipertandingkan. Mereka juga menamakan UMNO dan JPPM dalam cabaran undang-undang tersebut.

    Peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff mewakili ahli BN, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Saifuddin dan JPPM.

  • Tahniah, ada yang masih berani dan waras dalam UMNO, kata KJ

    Tahniah, ada yang masih berani dan waras dalam UMNO, kata KJ

    “WELL done, guys. Ada yang masih berani dan waras dalam UMNO.”

    Itu reaksi bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin susulan tindakan dua ahli parti itu menghantar aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), pagi tadi.

    Ini berhubung usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 minggu lalu mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

    Menerusi Instagram Story hari ini, Khairy menghamburkan pujian terhadap tindakan dua ahli UMNO itu yang disifatkan berani dan masih ‘waras’.

    Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan pada masa sama yakin dengan kredibiliti RoS untuk membuat keputusan berhubung isu berkenaan.

    “Saya yakin dengan kredibiliti RoS untuk buat semakan terhadap usul Rembau di PAU,” jelas beliau, lapor Utusan TV.

    Sebelum itu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

    Ia dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022, Sabtu lalu.

    Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Sabtu lalu, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada hari yang sama, berkata mana-mana ahli yang mempunyai kepentingan terhadap parti boleh merujuk kepada RoS sekiranya ingin mengetahui sama ada keputusan yang dibuat perwakilan sah atau tidak.

    UMNO perlu mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei ini.

  • Usul tambahan bercanggah perlembagaan’: Ahli UMNO desak ROS siasat

    Usul tambahan bercanggah perlembagaan’: Ahli UMNO desak ROS siasat

    DUA ahli UMNO mendesak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meneliti laporan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang.

    Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir menegaskan, usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Menurut beliau, peraturan UMNO, Perenggan 10 menyatakan semua usul perlu disampaikan selewatnya 14 hari sebelum hari persidangan dan tujuh hari jika diusulkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    “Dalam UMNO ada klausa, boleh masukkan usul pada hari persidangan tapi dengan dua syarat iaitu MKT mesti menerangkan usul terbabit, tapi ini tidak berlaku… MKT tidak langsung menerangkannya, keduanya, usul itu mesti ‘public interest’, tapi usul berkenaan tidak, ia hanya untungkan dua orang sahaja.

    “Sebab itu hari ini kita bawa ke ROS kerana kita rasa memang apa yang diputuskan pada PAU betul tetapi apabila ia bercanggah dengan perlembagaan parti ia tidak boleh diguna pakai,” katanya selepas menghantar surat aduan kepada ROS hari ini.

    Yang turut bersama beliau ialah seorang lagi ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.

    Kata Muhammad Aizat Fikri, mereka mengadakan pertemuan dan menyerahkan aduan terbabit kepada Pengarah Bahagian Siasatan ROS.

    Ahli UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir (tengah) dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (kiri) berjalan keluar selepas menghantar surat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkenaan pelanggaran perlembagaan UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 lalu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Putrajaya, hari ini. GAMBAR : Warta Rakyat

    “ROS kata mereka akan siasat, kalau ada asas mereka akan panggil pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, usul tambahan terbabit juga tidak membawa suara hati akar umbi sebaliknya dikemukakan oleh wakil UMNO Negeri Sembilan pada PAU terbabit.

    “Kita minta kelulusan usul itu pada PAU di lihat semula, cara aturan usul itu dibawa tidak betul.

    “Kita ahli UMNO yang punya suara dan saya minta juga kepada ahli di luar sana yang mana rasa takut, segan tidak payah segan, ini suara kita,” katanya.

    Pada soalan sama ada beliau tidak takut berdepan tindakan tatatertib parti kerana membuat laporan kepada ROS, beliau berkata perkara itu terserah kepada parti.

    “Kami tidak ada masalah (berdepan tindakan) kerana kami berjuang untuk perkara yang benar,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Fiqri Firdaus berkata, terdapat elemen kemandulan demokrasi UMNO pada usul tambahan terbabit.

    “Apabila ada usaha sebegini, kaji balik. Daripada kuota, terus kepada 160,000 perwakilan, ia bersifat progresif.

    “Jadi sekurang-kurangnya ia perlu di bawa ke 191 bahagian. Itu adalah salah satu rasional kenapa kami bawa ke ROS bagi memeriksa jika ada pertikaian terhadap usul berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian.

    PAU 2022 baru-baru ini meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan, walaupun beberapa perwakilan membuat bantahan ketika berbahas Ucapan Dasar Presiden.

    Antaranya, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, yang mewakili UMNO Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mewakili Johor.

    Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, turut mendakwa bahawa usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan di PAU 2022 tidak sah kerana melanggar peraturan parti itu sendiri.

    Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul tambahan berkenaan bukan usul haram seperti didakwa sebaliknya kaedah usul itu dibawa dibolehkan seperti mana Perkara 20 Peraturan Persidangan UMNO yang berkaitan dengan pindaan usul.

  • Usul ‘top 2’ UMNO tak dipertandingkan cacat, tak sah

    Usul ‘top 2’ UMNO tak dipertandingkan cacat, tak sah

    PENGANALISIS politik yang juga seorang peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 didakwa tidak sah kerana melanggar peraturan parti itu sendiri.

    Berikut kenyataan penuh Shamsuddin:

    Saya diminta oleh Berita Harian Online untuk mengulas mengenai samada usul 2 jawatan presiden dan timbalan presiden umno tidak dipertandingkan.

    Jawapan saya ialah usul itu tidak sah.

    Alasannya:-

    Peraturan Persidangan Umno menetapkan

    a. Peraturan 4 menetapkan persidangan hendaklah diadakan menurut Perlembagaan Umno.

    b. Peraturan 10 memperuntukkan apa juga usul yang hendak dibawa mesti disampaikan pemberitahu (notice) tidak kurang dari 14 hari. Tetapi kalau usul oleh MKT hanya perlu 7 hari atau apa juga tempoh yang lebih singkat jika MKT memberitahu Pengerusi perkara yang diusulkan itu mustahak. Kalau pengerusi setuju pada hari Persidangan itu pun boleh.

    c. Peraturan 10.2 berbunyi “Jika pada fikiran Pengerusi sesuatu pemberitahu yang diterima oleh Setiausaha itu melanggar apa-apa syarat Peraturan Persidangan ini Pengerusi bolehlah memerintahkan pemberitahu itu dipinda atau ditolak”. (Pemberitahu itu ialah Notice)

    d. Peraturan 10.3 berbunyi “Dengan tertakluk kepada syarat-syarat dalam usul-usul atau pindaan-pindaan hendaklah diserahkan kepada Setiausaha dengan bertulis”

    e. Peraturan 20 adalah tentang Pindaan Usul. 20.1. menyebut pada masa usul itu sedang dalam pertimbangan Persidangan, boleh dicadangkan pindaan jika itu berkaitan dengan usul itu. 10.2 pula memperuntukkan “Pindaan itu pula dipinda jika berkaitan dengan usul asal itu”

    Apakah usul asal dalam hal ini. Adakah usul asalnya seperti mana yang dibawa oleh Naib Presiden mengenai pindaan Perlembagaan dan yang lain? Adakah telah diputuskan samada usul yang dibawa oleh pembahas secara tiba-tiba itu telah diputuskan sebagai mustahak hingga tidak perlu diberi pemberitahu (notice)?

    Kalau hendak dipinda usul asalnya seperti yang dihujahkan oleh SUA, adakah usul tiada pertandingan itu berkaitan dengan usul asal?

    Atau adakah pembentang usul asal mahu memasukkan (adopt) usul yang dikemukakan secara semasa ucapan perbahasan oleh wakil negeri? Kalau itu mahu dilakukan, pembentang usul asal perlulah menyebut perkara itu dengan jelas dan diterima oleh perwakilan dan pengerusi. Kalau dijadikan sebagai pindaan kepada usul atau ditambah lagi satu usul, itu bermakna usul itu menjadi usul yang dikemukakan oleh MKT. Adakah MKT telah membincang dan meluluskan usul pindaan atau tambahan itu?

    Atas alasan Peraturan Persidangan itu tidak diikuti dengan sempurna, usul yang dikatakan pindaan atau tambahan itu adalah cacat dan tidak patuhi peraturan.

    Apabila cacat dan tidak patuhi peraturan, ianya adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

    Laporan Persidangan samada AGM atau EGM atau AGM Khas mesti dihantar kepada ROS daam tempoh yang ditetapkan. Fasal 29 Perlembagaan Umno menyebut Peraturan Persidangan itu hendaklah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

    Jika ROS mendapati ada Peraturan Persidangan yang tidak dipatuhi samada sepenuhnya atau sebahagiannya, ROS mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan usul yang dibawa.

    (Disclaimer : Saya yakin lain peguam lain pandangannya. Sistem kita ialah adversarial dan tiada masalah bagi saya adakan perbahasan lanjut)

  • Tiada pertandingan ‘top 2’: Netizen dakwa UMNO akan terkubur

    Tiada pertandingan ‘top 2’: Netizen dakwa UMNO akan terkubur

    KEPUTUSAN Perhimpunan Agung UMNO meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dikritik warganet.

    Lapor Free Malaysia Today, rata-rata pengguna media sosial menjangkakan keputusan itu hanya akan membiarkan UMNO “terkubur” dan memberi risiko terhadap kedudukan parti yang sebelum ini kalah teruk pada PRU15 dengan hanya memperoleh 26 kerusi Parlimen.

    Seorang pengguna Facebook Ali Jaafar menulis di ruangan komen, “UMNO akan terkubur selepas ini kerana tiada pertandingan jawatan tertinggi”.

    Pandangan itu disokong seorang lagi pengguna, Nordin Lokman menerusi ruangan komen di UMNO Online berkata, “nampaknya UMNO akan terus karam jika kepimpinan sekarang terus berkuasa setelah kalah teruk pada PRU15”.

    Dalam pada itu, menerusi ruangan komen di Facebook UMNO Online ada juga sebilangan warganet mengkritik usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan kerana ia memberi gambaran UMNO seakan menolak demokrasi dan takut kalah bertanding.

    “UMNO bangkit mencanak lepas pemilihan 1987, kali ini kalau tiada pemilihan UMNO tidak bangkit bersama pimpinan yang takut kalah bertanding,” tulis warganet dengan akaun bernama Syed Faisol Aljafree

    “Aku tidak sangka parti yang aku sayang cintai adalah sebuah parti yang tolak demokrasi,” tulis Mohd Nasrihan.

    Sementara di Twitter, pengguna bernama @mrfirdausjailan pula menulis, keputusan itu menandakan demokrasi dalam Umno terkubur bersama karier politik bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini mendakwa wujud “perwakilan import” untuk menyokong usul tersebut.

    Terdahulu, majoriti perwakilan menyokong usul dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan sekali gus menandakan jawatan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan pada pemilihan mesti dibuat sebelum 19 Mei.

    Pemilihan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

  • ‘Top 2’ tak dipertanding, UMNO kembali ikut cara lama, kata Ku Li

    ‘Top 2’ tak dipertanding, UMNO kembali ikut cara lama, kata Ku Li

    KEPUTUSAN Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) meluluskan usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan menjadikan parti itu kembali mengikut cara lama, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

    Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, demokrasi dalam UMNO tidak mati, sebaliknya beliau percaya parti itu sedang dikawal.

    “Mereka bimbang Umno berpecah dan sebab itu tak mahu perlawanan… tetapi parti kita adakan atas prinsip demokrasi.

    “Kalau nak orang baru mesti ada pertandingan supaya wujudkan pelapis,” katanya yang lebih dikenali Ku Li ketika ditemui pada PAU di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

    PAU meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara dilakukan hari ini.

    Ini bermakna jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan, pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei.

    Pemilihan presiden dan timbalan presiden UMNO menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

    Ku Li yang juga ketua UMNO Gua Musang berkata perkembangan itu juga mungkin menakutkan orang muda menyertai Umno kerana merasakan banyak sekatan menyebabkannya beralih ke parti lain.

    “Ini menakutkan orang muda. Kita nak remajakan UMNO kena bawa orang muda masuk… orang muda mesti bawa seberapa ramai masuk ikut dia.

    “Tetapi ini hanya berlaku jika ada pertandingan. Kalau sekat sana, sini, (di luar) ada parti lain lagi,” katanya lapor Free Malaysia Today.

  • Usul dua jawatan tertinggi UMNO tak dipertandingkan dipertikai

    Usul dua jawatan tertinggi UMNO tak dipertandingkan dipertikai

    USUL tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang dicadangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) semalam, didakwa tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan hari ini.

    Tegas Perwakilan UMNO Johor Datuk Pandak Ahmad, usul tambahan itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

    Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri berkata, usul itu sepatutnya dibawa secara berasingan, bukan secara serentak dengan usul Ucapan Dasar Presiden.

    “Saya pun pelik, macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin UMNO sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya.

    “Merujuk Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan, saya dapati usul yang dibawa semalam tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan di dalam PAU kali ini.

    “Ia perlu dimurnikan mengikut perlembagaan dan peraturan mesyuarat. Jika tidak pasti, silalah rujuk sendiri,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden, hari ini.

    Semalam, cadangan usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden, namun mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

    Cadangan dikemukakan dalam perbahasan secara tertutup itu membuatkan Dewan Merdeka di WTC Kuala Lumpur kecoh seketika, dengan ribuan perwakilan UMNO menyambutnya dengan reaksi bercampur-campur.

    Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial semalam, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan suara laungan ‘setuju’ kedengaran menyokong cadangan itu.

    Pada masa sama, ada kumpulan perwakilan lain dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’.

    Pandak pada masa sama mempersoalkan berapa lama lagi ahli UMNO mahu menunggang isu perpaduan dan kestabilan parti semata-mata mahu menyekat pertandingan dua jawatan tertinggi itu.

    Beliau mempersoalkan mengapa hanya dua jawatan itu mahu dihalang daripada dipertandingkan, jika benar kumpulan yang menyokong cadangan berkenaan benar-benar mahukan perpaduan dan kestabilan parti.

    “Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian dan cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga,” katanya sinis.

    Pada masa sama, beliau mendakwa, cadangan menghalang dua jawatan itu daripada dipertandingkan dilihat canggung kerana bertentangan dengan semangat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia mempertahankan jawatan disandangnya.

    “Seingat saya, presiden telah berjabat tangan, menyebut ‘ready to fight’ (sedia bertempur) kepada Khairy Jamaluddin. Seingat saya, presiden pun berjiwa besar. Seingat saya, presiden tidak ada masalah untuk bertanding dan yakin untuk mempertahankan jawatan. Begitu juga timbalan presiden.

    “Tapi semalam kita pula membahaskan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti,” katanya.

  • Dua jawatan tertinggi tak dipertanding, UMNO Wilayah Persekutuan tolak usul

    Dua jawatan tertinggi tak dipertanding, UMNO Wilayah Persekutuan tolak usul

    UMNO Wilayah Persekutuan menolak usul tambahan yang dikemukakan perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 semalam supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu kali ini.

    Menurut jurucakapnya, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, UMNO perlu menyedari sentimen terhadap isu ini boleh mempengaruhi sentimen sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO.

    “Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada parti, malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.

    “Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif,” katanya.\

    Beliau berkata demikian semasa berucap membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Zainal Abidin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang berkata, belum terlambat untuk UMNO beri nafas baharu dan segar kepada partinya.

    “Mungkin kita semua termasuk saya sendiri sudah membuat banyak kesilapan sebelum ini tetapi takkanlah kita nak biarkan kesilapan ini berterusan jika kita sedar dan tahu akibatnya?

    “Kami cuma mengharapkan agar pimpinan di atas juga mempunyai iltizam dan niat yang sama untuk memartabatkan semula parti.

    “UMNO Wilayah mohon menyokong, kecuali usul tambahan, (iaitu) usul nombor lapan yang dibuat secara mengejut semalam, iaitu usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden UMNO semalam, kemudian disokong perwakilan Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

    Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil pada sidang media semalam menyifatkan usul tambahan itu dikemukakan sebagai satu bentuk usul persefahaman dalam kalangan pemimpin UMNO akar umbi.

    Katanya, usul itu jika pun diluluskan perwakilan PAU 20220, tidak bermakna UMNO menyekat mana-mana ahlinya yang mahu mencabar dua jawatan tertinggi itu, memandangkan UMNO juga tidak pernah meminda Perlembagaan partinya bagi memenuhi tujuan itu.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO (sementara), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sama ada usul itu akan diluluskan perwakilan PAU 2022 akan diketahui petang ini.

    “Apa pun tengok hari ini. Usul itu akan diundi. Jangan pula tuduh di belakang, parti tidak demokratik selepas diundi. ‘Boo’ itu sendiri adalah demokrasi walaupun tidak bersusila,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.