Tag: jawatan

  • Jawatan Ketua Wanita UMNO mungkin jadi rebutan

    Jawatan Ketua Wanita UMNO mungkin jadi rebutan

    KEDUDUKAN Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Ketua Wanita UMNO ‘goyah’ selepas jawatan itu dijangka dipertandingkan berikutan keadaan pergerakan itu yang kini dikatakan berdepan pergolakan.

    Menurut Penganalisis Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, tidak dapat dinafikan dalam keadaan sekarang, memang akan berlaku pertandingan bagi jawatan itu.

    Ini kerana katanya, kedudukan Noraini tidak cukup kuat kerana beliau tidak dilantik dalam Kabinet.

    “Walaupun menang bagi mempertahanan Parlimen Parit Sulong tetapi beliau tidak dipilih dalam kerajaan sebagai menteri.

    “Jadi orang nampak di situ ada peluang untuk mencabar jawatan beliau,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut Mohd Izani berkata, Wanita UMNO perlu mengambil peluang dalam pemilihan nanti untuk menentukan siapa Ketua Wanita paling layak memimpin sayap UMNO.

    Katanya, Wanita UMNO adalah sayap yang sangat penting dan menjadi tulang belakang kepada UMNO selama ini.

    “Ketua Wanita yang dipilih nanti mesti dapat menggerakkan dan mengumpul kekuatan UMNO melalui sokongan wanita di seluruh negara,” katanya.

    Sementara itu apabila ditanya, dakwaan majoriti Ketua Wanita UMNO Bahagian mahu bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO, Mohd Izani berkata, sepatutnya tahap Shahrizat ketika ini adalah menjadi mentor atau penasihat.

    “Saya tidak nampak keperluan atau kerelevanan beliau masuk dalam arus perdana. Beliau lebih sesuai bertindak sebagai tokoh lama atau veteran yang boleh membantu UMNO.

    “Tetapi terpulang kepada Wanita UMNO jika mereka melihat Shahrizat yang layak dan boleh menggerakkan Wanita dengan lebih baik.

    “Saya kira itu pilihan Wanita UMNO yang perlu dihormati,” katanya.

    Namun beliau berkata, pada masa sama sudah pasti akan melihat UMNO seperti ketandusan pemimpin.

    Katanya, dengan memilih pemimpin lain menerajui sayap itu, sudah pasti akan dapat melahirkan pemimpin muka baharu yang dapat teruskan perjuangan parti untuk menarik minat orang muda,” katanya.

    Jumaat lalu, dilaporkan majoriti Ketua Wanita UMNO Bahagian mahu Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO selepas pemilihan parti itu bulan depan.

    Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, dilaporkan berkata seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat keputusan itu dalam satu pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.

    BH sebelum ini turut melaporkan, sumber Wanita UMNO mengesahkan, Noraini yang menerajui sayap itu sejak 2018 akan mempertahankan jawatannya.

    Bagaimanapun semalam, Wanita UMNO menafikan dakwaan kononnya ketua sayap parti itu di peringkat negeri dipaksa membuat kenyataan menyokong Noraini untuk kekal sebagai teraju dalam pemilihan akan datang.

    Menyifatkan dakwaan itu sebagai tohmahan, Setiausahanya, Datuk Rosni Sahar, dilaporkan berkata angka sokongan terhadap individu yang akan bertanding bagi jawatan Ketua Wanita UMNO itu seperti disebarkan juga tidak benar.

  • Jawatan Naib Presiden UMNO ke bawah dipertandingkan, kata Zahid

    Jawatan Naib Presiden UMNO ke bawah dipertandingkan, kata Zahid

    JAWATAN Naib Presiden UMNO akan dipertandingkan pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Jawatan Naib Presiden ke bawah dibuka seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2022.

    Naib Presiden UMNO ketika ini dijawat oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    UMNO hari ini meluluskan usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden melalui pungutan suara, di sebalik perbezaan pandangan dalam kalangan perwakilan.

    Pemilihan UMNO perlu dibuat sebelum 19 Mei.

  • 140 Ketua Bahagian UMNO sokong dua jawatan utama parti tak dipertandingkan

    140 Ketua Bahagian UMNO sokong dua jawatan utama parti tak dipertandingkan

    SEBANYAK 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara hari ini menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO yang dijangka Mei nanti.

    Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

    Beliau berkata tumpuan UMNO ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini. 

    “Seramai 126 Ketua UMNO Bahagian hadir malam ini meskipun ada lagi 14 tidak hadir kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 (malam ini), tetapi semua sepakat jawatan-jawatan (presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan.

    “Untuk berdepan enam lagi PRN tahun ini, kita perlu parti UMNO yang kuat, justeru kami berharap presiden (Ahmad Zahid) mengambil kira pandangan ini dan tiada jawatan tertinggi dipertandingkan,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

    Terdahulu, pertemuan 126 ketua-ketua bahagian itu diadakan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, ketika perhimpunan sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.

    Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung hari ini hingga Sabtu, dimulakan dengan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini. – BERNAMA

  • Jawatan itu keduniaan, keredaan Tuhan lebih penting – Muhyiddin

    Jawatan itu keduniaan, keredaan Tuhan lebih penting – Muhyiddin

    PERDANA Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehidupan adalah sebuah perjalanan dengan matlamat utamanya adalah keredaan Tuhan.

    Sehubungan itu beliau tidak berasa apa-apa pun apabila kehilangan jawatan Perdana Menteri kerana jawatan tersebut hanya bersifat keduniaan.

    Muhyiddin menambah, beliau sentiasa percaya seseorang itu perlu melakukan perkara yang betul.

    “Pertimbangan kita ini bukan duniawi, sebab itu bagi saya, hilang jawatan perdana menteri, itu duniawi. Saya tak boleh bawa ke mana pun,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.

    Amanat itu disampaikan sejurus sebelum Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembahkan surat peletakkan jawatan sebagai PM ke-8

    Dalam mesej perpisahan itu juga Muhyiddin turut berkongsi perbualan peribadi bersama isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selepas mereka berdua solat subuh.

    “Pagi tadi lepas berjemaah Subuh bersama isteri saya, duduk – biasa begitulah, lepas subuh, duduk sekejap sekitar lima hingga 10 minit berbual. Dia bertanya, apa yang awak rasa? Saya beritahu saya rasa lega sebab beban di bahu saya sebagai perdana menteri sudah tidak ada lagi lepas hari ini.

    Video Amanat Perpisahan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri.
    Muhyiddin berkata beliau sentiasa percaya seseorang itu perlu melakukan perkara yang betul dan asas itu juga digunakan dalam menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikannya.

    Ismail dijadualkan akan mengangkut sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.

    Muhyiddin berkata, meskipun tempoh sebagai Perdana Negeri sangat singkat, namun beliau berbangga kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik.

    Beliau tidak menolak kemungkinan satu hari nanti akan ada para sejarawan menulis menyatakan tentang beliau dalam sejarah negara dalam bahagian kecil tulisan sahaja mengenai penggal pendek pentadbiran yang diketuainya.

    “Mungkin ada nota kaki yang menulis tentang saya, satu waktu ada seorang perdana menteri namanya Muhyiddin Yassin atau Mahiaddin Yassin yang menjadi perdana menteri ke-8.

    “Mungkin ada bab pendek kerana saya tak lama (pegang jawatan). Namun saya fikir saya harus berbangga kerana kita sudah cuba,” kata Muhyiddin.

    Muhyiddin meletakkan jawatan Perdana Menteri minggu ini selepas lebih 10 ahli Parlimen yang diketuai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan sokongan terhadapnya.

    Lelaki berusia 74 tahun ini pernah dipecat daripada Kabinet oleh Najib pada 2015 kerana mempersoalkan penglibatan bekas Presiden UMNO itu dalam skandal 1MDB.

    Selepas beberapa lama keluar dari UMNO, beliau menubuhkan Bersatu dan bersama-sama pembangkang dalam Pilihan Raya Umum 2018 dan kembali memegang jawatan dalam Kabinet yang diketuai, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 2020, Muhyiddin dilantik menjadi Perdana Menteri.

    Menurut Muhyiddin, sekiranya kerusi di pejabatnya boleh bercakap, ia akan beritahu bagaimana pertemuannya bersama Najib sejurus sebelum beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2015.

    “Selepas tak sampai setengah jam, dia tendang saya keluar. Balik pejabat TPM, panggil semua, tak lama saya duduk. Saya cakap, Sorry, we have to pack up. Saya baru jumpa Najib. Dia pecat saya,” ujarnya.

    Beliau berkata, tidak perlu lama untuk mengemas barangan miliknya untuk dibawa pulang, hanya sebuah buku hadiah temannya.

    “Saya tak ada rahsia dalam meja. Surat-surat rahsia, tak ada apa. Kerana kita tahu kita tak buat apa-apa salah,” tambahnya.

    Beliau turut menggambarkan kembali ke Pejabat Perdana Menteri tahun lalu adalah sebahagian daripada pusingan hidup.

    “Apa yang naik mesti turun. Namun apa yang jatuh, Insya-Allah, akan kembali.”

    Mengenang hari-hari sewaktu menjadi penolong pegawai daerah, Muhyiddin berkata, tidak pernah membayangkan yang satu hari nanti akan memegang jawatan yang paling tinggi dalam negara.

    “Saya sangat hormat dan percaya dengan pegawai awam.

    “Saya di sana sebelum ini untuk tiga tahun, lepas tu saya resign, masuk swasta. Tak fikir pun nak jadi perdana menteri satu hari. Allahu Akbar,” katanya.