Tag: jatuhkan kerajaan

  • Permainan nombor jatuhkan kerajaan perlu dihentikan – Salahuddin

    Permainan nombor jatuhkan kerajaan perlu dihentikan – Salahuddin

    PERMAINAN nombor untuk menjatuhkan sesuatu kerajaan sama ada di peringkat Pusat atau negeri perlu dihentikan, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) pada masa sama mengingatkan semua pihak agar berhenti daripada menjadikan wakil rakyat yang merupakan pembuat dasar penting sebagai ‘pelacur’ yang mudah dijual beli.

    Menurutnya, bagi menghentikan terus permainan nombor daripada terus menggugat kestabilan politik negara, beliau mencadangkan semua pihak termasuk kerajaan bersetuju mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti.

    Beliau berkata, RUU itu kemudian hendaklah dibawa ke Parlimen supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjadi gelanggang menjual kerusi, maruah dan harga diri.

    “Kita ahli politik adalah pembuat dasar penting negara, kita bukan ‘pelacur’ politik. Adalah penting bagi kestabilan politik dapat dicapai dalam tempoh terdekat dalam mendepani rakyat terjejas serta negara yang masih belum selesai berjuang daripada Covid-19.

    “Asas ini penting bagi saya, kerana ia dapat memperkukuhkan politik kita dan tidak akan ada lagi permainan nombor atau ‘games of numbers’ lagi,” katanya.

    Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Johor Bahru, hari ini.

    Mengulas lanjut Salahuddin berkata, RUU Lompat Parti itu sekali gus menjunjung titah Sultan Johor pada perasmian persidangan DUN bulan lalu yang menitahkan supaya persidangan DUN tidak menjadi sangkar beruk.

    “Kita tidak mahu lagi Parlimen dan DUN ini menjadi sangkar beruk di mana terdapat wakil rakyat yang menjual menggadai mandat mereka lompat ke sana ke mari,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Salahuddin berkata, semua ahli politik juga seharusnya memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat yang masih terbelenggu dengan Covid-19.

    Katanya, beliau mencadangkan dalam cadangan Pakatan Harapan (PH) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar peruntukkan sebanyak RM45 billion secara tunai disalurkan untuk memerangi Covid-19.

    “Ia termasuk dengan vaksinasi. Yang keduanya adalah peruntukan RM10 billion lagi untuk bantu golongan yang kehilangan pekerjaan termasuk kumpulan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga moratorium tiga bulan tanpa faedah kepada mereka yang terjejas,” tambahnya.

  • Bot langgar boya:Mayat lelaki ditemukan

    Bot langgar boya:Mayat lelaki ditemukan

    MAYAT seorang lelaki yang disyaki terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaikinya bersama tiga rakan terlanggar boya di selatan Pulau Lalang dekat Langkawi pada Ahad lepas, ditemukan di kawasan paya bakau di Kuala Temonyong, semalam.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata mayat Mohamad Ewandi Husnan, 22, yang masih dalam keadaan lengkap memakai seluar panjang berwarna hitam itu ditemukan terdampar di kawasan paya bakau itu oleh orang awam pada 4.30 petang.

    “Mayat itu telah dibawa keluar dari kawasan tersebut dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (Langkawi) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata keluarga mangsa membuat pengesahan bahawa mayat yang ditemukan itu adalah Mohamad Ewandi berdasarkan pengecaman pakaian dan ciri-ciri fizikal mayat berkenaan.

    Sebelum kejadian pada 10 pagi itu, mangsa dilaporkan bersama tiga lagi rakannya yang berumur antara 18 dan 53 tahun dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

    Pelanggaran itu menyebabkan kesemua mangsa terjatuh di kedudukan 0.5 batu nautika Pulau Lalang, namun tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.- BERNAMA

  • Rakyat tak akan sokong parti yang cuba jatuhkan kerajaan – Wan Junaidi

    Rakyat tak akan sokong parti yang cuba jatuhkan kerajaan – Wan Junaidi

    PARTI politik yang cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum undi percaya terhadap Perdana Menteri dilakukan pada sidang Parlimen September ini, tidak akan mendapat sokongan rakyat yang mahu kerajaan menangani masalah COVID-19 yang kritikal sekarang.

    Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam keadaan negara sekarang rakyat menaruh keyakinan terhadap kerajaan untuk mengatasi kesan ekonomi berikutan pandemik itu.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tindakan mereka bukan sahaja menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani COVID-19, malah menjejaskan kestabilan politik negara serta ekonomi yang hanya merugikan rakyat.

    “Jika ada undi percaya pada September ini, sebaiknya adalah untuk pertahankan kerajaan sekarang (PN) sehingga habis penggal, kemudian barulah diadakan pilihan raya.

    “Sarawak satu contoh moral yang baik dari segi politik… tidak main politik banyak sangat. Kita tangani masalah COVID-19 ini dulu. Jika tidak, dengan sendirinya masalah ekonomi kita akan terjejas dan pembangunan akan jadi lembap,” katanya selepas merasmikan pembukaan cawangan baru Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat di sini, hari ini.

    PBB merupakan parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang turut melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang mengekalkan pendirian mereka untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Terdahulu semasa berucap di majlis itu, beliau berkata kementeriannya akan memastikan rakyat di kawasan luar bandar mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan, yang dilihat mampu memberikan pengalaman dan kemudahan lebih baik kepada peniaga dan penduduk di sekitar.

    Justeru itu katanya, dengan pembukaan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change ini, ia akan boleh di memanfaatkan 16,373 penduduk di daerah kecil itu.

    Di Sarawak, Bank Rakyat mempunyai 14 Cawangan iaitu di Bintulu, Kapit, Kota Padawan, Kota Samarahan, Limbang, Matang Jaya, Miri, Mukah, Permy Jaya, Sarikei, Satok, Sibu, Simpang Tiga dan Sri Aman selain mempunyai dua buah lagi cawangan Rakyat Xcess dan Ar- Rahnu X’Change di Betong dan Lundu.- BERNAMA