Tag: Jatuh sungai

  • Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai

    Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai

    SEORANG wanita warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terjatuh dari jambatan ke dalam sungai di Kampung Bukit Perpat, Wakaf Tapai dekat Marang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.19 pagi dan mangsa Zaiton Omar, 64, yang tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari kenderaan jenis Toyota Hilux itu oleh orang kampung.

    “Mangsa yang memandu seorang diri telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Pengkalan Berangan yang sampai ke lokasi kejadian,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

    Sementara itu, anak angkat mangsa, Wan Rafiyuddin Wan Mohd, 33, berkata sudah menjadi kebiasaan Zaiton memandu ke kampung berkenaan untuk mendapatkan bekalan pisang dan ubi untuk berniaga di gerai pisang gorengnya di Gong Beris.

    “Arwah (Zaiton) baru ambil pisang di rumah saya di Kampung Bukit Perpat…kemudian saya dapat panggilan masuk daripada nombor telefon dia dalam pukul 11.05 pagi, tapi orang lain yang cakap beritahu kereta Hilux jatuh ke dalam sungai.

    “Masa saya sampai di tempat kejadian, orang dah bawa keluar mayat mangsa. Rutin dia setiap hari beli pisang, ubi, cendawan seorang diri tanpa ditemani suaminya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Wan Rafiyuddin berkata ibu angkatnya yang berasal dari Kampung Lubuk Pandan dekat sini, mempunyai seorang anak perempuan yang bertugas di sebuah hospital di Negeri Sembilan. – BERNAMA

  • Mayat lelaki lemas jatuh jambatan ditemui

    Mayat lelaki lemas jatuh jambatan ditemui

    SELEPAS hampir 12 jam operasi mencari dan Menyelamat (SAR) dilakukan, akhirnya mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dari jambatan Jalan Tanah Putih tengah malam tadi, ditemui hari ini.

    Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui pada pukul 10.15 pagi sejauh enam kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12 tengah malam.

    Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan diarah ke lokasi bersama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).

    “Operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya, lapor Sinar Harian.

    Zulfadli berkata, operasi pencarian turut dibantu anjing pengesan.

    Kejadian orang terjatuh jambatan itu adalah yang kedua berlaku di daerah ini dalam tempoh empat hari.