Tag: jatuh

  • Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

    Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 11, Kuarters Polis USJ 8, Subang Jaya, dekat Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.35 pagi tadi.

    “Menurut ibunya, sebelum kejadian, dia berada di bahagian dapur manakala dua anaknya sedang bermain di ruang tamu.

    “Namun selepas itu, dia terdengar bunyi pintu bilik bahagian tengah tertutup dengan kuat dan cuba membuka pintu itu, tetapi gagal kerana pintu telah terkunci,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Wan Azlan berkata ibu mangsa kemudian mendengar suara anaknya meminta tolong sebelum dia ke bilik bersebelahan dan apabila melihat dari luar tingkap mendapati anaknya itu telah terjatuh ke bawah.

    Menurutnya, petugas kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

    “Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

    Wan Azlan berkata mangsa adalah anak pertama daripada dua adik beradik dan ibu bapanya merupakan anggota polis yang tinggal di kediaman tersebut. – BERNAMA

  • Lelaki New Zealand lari daripada Imigresen cedera jatuh dari tingkat 14

    Lelaki New Zealand lari daripada Imigresen cedera jatuh dari tingkat 14

    SEORANG lelaki warga New Zealand cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14 ke tingkat 11 akibat melarikan diri daripada pihak Imigresen di sebuah pusat perdagangan di Damansara di sini, petang tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hafisyam Mohd Noor berkata mangsa terjatuh di bumbung tingkat 11 kawasan tangki air.

    Beliau berkata mangsa yang berumur 36 tahun mengalami kecederaan di tangan dan tulang pinggul.

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang dan tiba di lokasi 16 minit kemudian.

    “Mangsa diturunkan oleh pihak bomba menggunakan pengusung dan diberi rawatan oleh pasukan Bulan Sabit Merah,” katanya dalam kenyataan. – BERNAMA

  • Pekerja asing maut jatuh bumbung ketika pasang bumbung lutsinar

    Pekerja asing maut jatuh bumbung ketika pasang bumbung lutsinar

    SEORANG pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang ketika melakukan kerja pemasangan sistem solar di Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, pekerja terbabit maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

    Seorang pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang ketika melakukan kerja pemasangan sistem solar di Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika pekerja kontraktor itu sedang melakukan kerja-kerja pemasangan sistem solar.

    Katanya, mangsa telah ditemui oleh pekerja kilang tersebut dalam keadaan terlentang di aras satu bangunan kilang.

    “Mangsa didapati terjatuh dari bumbung akibat terpijak bumbung lutsinar (skylight) di salah satu bangunan di kilang,” kata kenyataan itu hari ini.

    Sehubungan itu tambahnya, satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja sehingga menyebabkan kemalangan dikeluarkan pihaknya kepada majikan.

    Jelasnya, lokasi kejadian juga disita dan kerja-kerja pemasangan sistem solar dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

    “Majikan juga diarahkan menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan segera dan kes itu disiasat di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.