Tag: JAS siasat

  • JAS siasat kebakaran di kebun sawit terbiar

    JAS siasat kebakaran di kebun sawit terbiar

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sepang akan menyiasat sebuah kawasan kebun sawit terbiar yang terbakar di Jalan Sijangkang Utama, Jalan Kebun Baru, Kuala Langat, semalam.

    JAS menurusi kenyataan dalam Facebook rasmi memberitahu, pihaknya mendapat aduan awam berkenaan aktiviti pembakaran terbuka tersebut.

    Pihaknya menjalankan siasatan di kawasan tersebut setelah mendapat aduan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika menjalankan rondaan di beberapa lokasi sekitar daerah tersebut.

    “Siasatan mendapati lokasi aduan adalah kawasan kebun sawit terbiar yang sedang dibersihkan untuk tanaman semula sawit dan pemilik tanah akan disiasat oleh JAS Cawangan Sepang.

    “JAS Selangor berharap orang ramai dapat melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].

    “Orang ramai juga boleh melaporkan kes-kes yang melibatkan pembakaran terbuka kepada JBPM di talian 999 atau talian bebas tol 1-800-88-994 dan sistem pesanan ringkas (SMS) pada talian 03-88880964,” demikian menurut kenyataan itu, hari ini.

  • JAS siasat tiga individu didakwa buang sisa di Sungai Kinta

    JAS siasat tiga individu didakwa buang sisa di Sungai Kinta

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Perak akan menyiasat tindakan tiga individu yang didakwa melakukan pencemaran dengan membuang ‘sisa’ ke Sungai Kinta, Ipoh, semalam.

    Pengarahnya, Rosli Zul berkata, satu laporan polis akan dibuat bagi mengesan mereka yang terlibat untuk tindakan lanjut.

    “JAS akan cari pemilik kereta berkenaan sebagaimana yang dikongsikan dalam video tular terbabit.

    “Kita akan mengesan pelakunya bagi mengetahui buangan apa yang dilepaskan ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

    Menurutnya, persampelan air akan diambil bagi mengetahui kualiti air sungai terbabit dan siasatan lanjut masih diteruskan.

    Tindakan tiga individu yang dipercayai membuang sesuatu ke Sungai Kinta di Jalan Sultan Iskandar, di sini mendapat kecaman warganet.

    Video berdurasi 44 saat itu mula tular apabila dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan Twitter mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

    Mereka didapati membuang sesuatu seperti cecair daripada beberapa tong plastik berwarna biru sebelum kesemuanya beredar menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tebing sungai.