Tag: JAS Johor

  • ‘Banjir merah’ berpunca dari kilang tekstil

    ‘Banjir merah’ berpunca dari kilang tekstil

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ‘BANJIR merah’ yang menggemparkan penduduk dalam kejadian banjir kilat di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, Johor Bahru pagi ini dikenal pasti berpunca daripada pewarna pakaian dari sebuah kilang tekstil berdekatan.

    Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, kilang berkenaan sudah ditutup sejak 20 tahun lalu.

    “Sebaik mendapat aduan penduduk kira-kira jam 9 pagi tadi, sepasukan anggota JAS Johor dihantar ke kampung berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati punca banjir kilat di Kampung Seri Jaya Baru yang berwarna merah itu daripada sebuah kilang tekstil yang terletak kurang satu kilometer dari kampung itu yang tidak beroperasi sejak tahun 2000.

    “Namun hujan lebat sejak awal pagi Khamis menyebabkan dua bungkusan pewarna tekstil yang disimpan di kawasan tidak berbumbung telah pecah sebelum air banjir mengalirkannya ke kawasan kampung,” katanya ditemui ketika meninjau kilang tekstil berkenaan.

    Dalam kejadian pada jam 5 pagi ini, penduduk gempar dengan fenomena banjir merah yang dan itu pertama kali berlaku sebelum tular dalam media sosial.

    Menurut pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas yang memantu keadaan tersebut, air banjir kilat itu naik hingga ke paras satu meter sebelum surut kira-kira jam 8.30 pagi.

    Bomba melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir berwarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

    Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Famey berkata, JAS Johor mengeluarkan Notis Arahan Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya penjaga segera melupuskan baki pewarna tekstil itu dalam tempoh 14 hari.

    Tegasnya, pelupusan akhir perlu dilakukan di Stesen Kualiti Alam, di Bukit Nenas, Negeri Sembilan dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pemilik akan diheret ke mahkamah.

    “Sampel air banjir merah itu juga sudah diuji di mana ia mengandungi kepekatan nilai pH 6 iaitu hampir neutral dengan kesan toksik tidak terlalu tinggi seterusnya tidak berbahaya kepada penduduk,” katanya.

  • JAS rampas barang buangan terjadual dari luar negara

    JAS rampas barang buangan terjadual dari luar negara

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 19 kontena mengandungi barangan buangan terjadual dari luar negara di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Iskandar Puteri semalam.

    Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, kesalahan itu dikesan semasa pihaknya menjalankan pemeriksaan kontena dengan kerjasama pihak berkuasa PTP dari 19 Julai lalu hingga semalam.

    “Pemeriksaan yang dijalankan mendapati setiap kontena itu menggunakan borang deklarasi palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Berdasarkan borang deklarasi, barang dagangan yang dibawa adalah sekerap logam namun hasil pemeriksaan dijalankan mendapatinya barang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    “Pemeriksaan ke atas kesemua kontena itu membawa buangan yang yang mengandungi bateri plumbum (SW 102), bateri lithium (SW 103), buangan elektrik dan elektronik (SW 110), dan kabel wayar berpenebat (SW 422),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Katanya, semua kontena itu akan diarahkan untuk dihantar balik ke negara asal selaras dengan prosedur Konvensyen Basel.

    Piha JAS katanya, sudah mengenal pasti kesemua 10 syarikat pengimport yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

    Tegas beliau, tiada tindakan kompaun ditawarkan terhadap syarikat pengimport yang terlibat melainkan mengarahkan kontena mengandungi barangan buangan terjadual untuk dihantar balik ke negara asal.

    “Mana-mana pihak diingatkan bahawa pengimportan sekerap logam dan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar terlebih dahulu adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.