Tag: janji temu

  • Sistem janji temu kesihatan melalui MySejahtera

    Sistem janji temu kesihatan melalui MySejahtera

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memperluaskan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera di semua fasiliti kesihatan primer bermula hari ini, sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan itu. 

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sistem janji temu itu bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu berikutan masa menunggu yang lama.

    Menurut beliau, lapan perkhidmatan dimasukkan ke dalam sistem janji temu iaitu rawatan pesakit luar; Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI); Saringan Kesihatan PeKa B40 dan pemeriksaan kesihatan prapekerjaan/prapengajian.

    Turut dimasukkan ialah saringan praperkahwinan; Khidmat Berhenti Merokok (KBM); perkhidmatan perancang keluarga serta prosedur iaitu rawatan luka, penukaran tiub dan lain-lain. 

    “Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata antara kelebihan sistem janji temu dalam talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa. 

    “Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan,” katanya.

    Dr Zaliha berkata sistem janji temu itu juga mempunyai fungsi Automated Reminder (peringatan automatik) supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang ditempah. 

    Bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu, katanya. 

    “Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien. 

    “KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu,” katanya. – BERNAMA

  • Perkahwinan: JAIS tidak lantik pihak ketiga, jual slot janji temu

    Perkahwinan: JAIS tidak lantik pihak ketiga, jual slot janji temu

    BAKAL pengantin di Selangor diminta untuk mendapatkan tarikh janji temu secara percuma bagi urusan berkaitan perkahwinan melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sahaja.

    JAIS menerusi poster yang disiarkan dalam laman Facebook jabatan itu berkata, permohonan bagi mendapatkan tarikh itu boleh dibuat menerusi laman web www.jais.gov.my.

    “Pihak JAIS tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan janji temu.

    “Segera laporkan kepada JAIS jika diketahui ada individu yang menjual atau mengambil kesempatan menjual slot janji temu JAIS.

    “Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dikemukakan melalui panggilan telefon 03-5514340/3600 atau emel [email protected],” kata JAIS menerusi pemakluman khas itu, hari ini.

    JAIS menerusi kenyataan pada 25 Jun lalu membenarkan majlis akad nikah di negeri itu bermula 1 Julai selepas melarangnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

    Menurut JAIS, kebenaran hanya tertakluk kepada pasangan yang telah mendapat tarikh janji temu daripada JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

    Selain itu kata JAIS, akad nikah dilaksanakan dengan kehadiran fizikal di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja, bermula Isnin hingga Ahad (setiap hari).

    “Kehadiran juga terhad kepada pengantin lelaki dan perempuan serta wali sahaja manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

    “Pasangan juga mesti mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun selain keputusan Ujian Saringan HIV lelaki serta perempuan yang masih sah,” kata JAIS.

    Selain itu, pasangan pengantin serta wali wajib menjalani ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis dan perlu mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

    Menurut JAIS, pihak terbabit wajib mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.

    “Jika terdapat pelanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah berkenaan,” katanya.