Tag: Jangan buat spekulasi

  • Jangan buat spekulasi, Kok Thiam meninggal dunia kerana strok – peguam

    Jangan buat spekulasi, Kok Thiam meninggal dunia kerana strok – peguam

    AHLI perniagaan yang juga merupakan sekutu kepada Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Kee Kok Thiam meninggal dunia kerana serangan strok mengejut.

    Sehubungan itu, peguam yang mewakili Kok Thiam, Valen, Oh & Partners berharap supaya semua pihak berhenti membuat sebarang spekulasi berhubung kematian ahli perniagaan itu.

    Menurut peguamnya itu, Kok Thiam disahkan meninggal dunia di hospital, kelmarin.

    “Kami meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian malang ini dan memberi ruang kepada keluarga yang sedih atas pemergiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Kok Thiam dibawa pulang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Mei lalu bagi siasatan lanjut berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Malam tadi, media melaporkan ahli perniagaan itu yang memberitahu lokasi Jho Low yang berada di Macau, meninggal dunia kerana sakit mengejut.

    Menurut laporan BH Online yang memetik sumber, siasatan SPRM terhadap ahli perniagaan itu tetap berjalan walaupun suspek telah meninggal dunia.

    “SPRM kini berjaya mengesan kembali kira-kira AS$5 juta (iaitu) aset dan wang tunai 1MDB di Singapura.

    “Siasatan SPRM tetap berjalan bagi mendapatkan semula dana-dana 1MDB yang dikaitkan dengan mendiang,” katanya.

    Terdahulu, tular satu pemberitahuan memaklumkan mengenai kematian mendiang ahli perniagaan, Kee Kok Thiam, 56.

    Mendiang dijangka dikebumikan di tanah perkuburan cina Jinjang Selatan, jam 10 pagi ini.

  • Jangan buat spekulasi, henti sebar maklumat tidak sahih kejadian doktor pelatih HPP maut jatuh bangunan

    Jangan buat spekulasi, henti sebar maklumat tidak sahih kejadian doktor pelatih HPP maut jatuh bangunan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian seorang doktor pelatih yang dijumpai maut akibat terjatuh dari kediamannya pada 17 April lalu.

    Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof Sudin berkata, kes itu kini adalah di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengarahkan bedah siasat ke atas mayat mayat dijalankan di Jabatan Forensik HPP.

    Ujar beliau, laporan lengkap siasatan juga masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal

    “Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka dan pihak HPP akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak PDRM dalam siasatan selanjutnya.

    “Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan bagi menghormati keluarga mendiang, JKNPP memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan berkenaan kes kematian seorang doktor pelatih HPP yang dijumpai maut akibat terjatuh dari bangunan kediamannya di Jalan Datuk Keramat, Georgetown pada 17 April lalu.

    Mangsa merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke Pulau Pinang dan ditempatkan di HPP pada 4 April 2022.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong turut mengesahkan mengenai kejadian itu dan berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.