Tag: Jana Wibawa

  • Amer Hamzah ketuai pasukan pembelaan Wan Saiful

    Amer Hamzah ketuai pasukan pembelaan Wan Saiful

    PEGUAM Amer Hamzah Arshad akan mengetuai pasukan pembelaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua tuduhan rasuah berkait program Jana Wibawa.

    Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), peguam Wan Saiful, Rosal Azimin Ahmad berkata, Amer dilantik pada minggu lalu untuk mengendalikan kes itu selepas hakim mengarahkan ia perlu bermula tidak lebih tiga bulan dari tarikh pemimpin Bersatu itu didakwa.

    “Beliau akan mengetuai pasukan pembelaan dan akan disokong oleh empat lagi peguam,” Rosal kepada FMT.

    Amer adalah peguam bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, yang kedua-duanya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

    Pada Jun 2020, pendakwaan menarik balik 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Musa. Azeez pula dibebaskan pada Disember tahun lalu.

    Rosal berkata, pasukan pembelaan dalam kes Wan Saiful masih belum menerima set lengkap dokumen yang pendakwaan mahu gunakan dalam perbicaraan itu.

    “Keadaan itu menyebabkan kami belum memutuskan untuk membuat bantahan kepada Peguam Negara untuk menyemak semula tuduhan,” katanya.

    Kes itu akan disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob pada 8 Mei.

    Pada 21 Feb, Wan Saiful minta dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah RM6.9 juta berkait program Jana Wibawa.

    Beliau juga didakwa meminta sejumlah wang untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta berkait dengan program tersebut.

    Rozina berkata, kes itu mesti bermula dalam tempoh tiga bulan dan diputuskan tidak lewat dari sembilan bulan dari tarikh Wan Saiful didakwa.

  • Tuduhan rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi

    Tuduhan rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi

    BEKAS Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan representasi membabitkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa, yang dihadapinya.

    Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Wan Saiful, 48, semasa sebutan kes kali pertama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah hari ini.

    “Bagaimanapun, sebahagian lagi dokumen-dokumen lain seperti dokumen bank dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan diserahkan nanti. Oleh itu, pihak kami mohon masa untuk mendapatkan dokumen asal daripada bank,” katanya.

    Semasa prosiding itu, Rozina menegur Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu supaya datang lebih awal ke mahkamah.

    “Saya harap ini kali pertama dan terakhir, (datang lewat ke mahkamah) selepas ini sila rancang perjalanan kamu,” kata hakim itu.

    Wan Saiful kemudian memohon maaf dan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah keluar rumah pada 7.15 pagi namun tidak menyangka perjalanan mengambil masa selama dua jam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes.
    Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

    Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

    Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022. – BERNAMA

  • Jana Wibawa: SPRM cekup pasangan didakwa ‘scam’ keluarga sendiri, anak ahli politik

    Jana Wibawa: SPRM cekup pasangan didakwa ‘scam’ keluarga sendiri, anak ahli politik

    SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas program Jana Wibawa membongkar kemelut membabitkan saudara mara seorang ahli politik terkenal.

    Memetik laporan Malaysiakini, sepasang suami isteri dikatakan cuba memperdayakan anak ahli politik berkenaan, yang mempunyai kaitan dengan mereka melalui ikatan perkahwinan salah seorang ahli keluarga, supaya membayar sejumlah RM400,000 sebagai rasuah untuk mengelak daripada ditahan SPRM

    Bercakap dengan syarat enggan dinamakan, seorang pegawai tinggi SPRM mendakwa sepasang suami isteri didakwa menipu ahli keluarga mereka sendiri untuk memberikan sogokan bernilai RM400,000.

    Dakwaan penipuan itu terbongkar apabila SPRM melancarkan siasatan terhadap kontraktor Jana Wibawa yang disyaki mendapatkan projek melalui hubungan dikatakan dengan seorang ahli politik terkemuka.

    Pegawai itu memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM dimaklumkan bahawa anak ahli politik itu juga didakwa terbabit.

    Abang ipar keluar RM400,000

    Apabila mengetahui bahawa anak lelaki ahli politik itu berada dalam siasatan suruhanjaya itu, sumber mendakwa bahawa pasangan itu (Suspek 1 dan 2) merangka rancangan dengan tiga yang lain untuk meminta rasuah daripada lelaki itu, mendakwa bahawa mereka boleh menghalang penahanannya.

    Salah seorang rakan sejenayah mereka ialah pegawai SPRM (Suspek 3), yang pernah menjadi sebahagian daripada operasi membanteras rasuah terhadap Jana Wibawa tetapi tidak dalam kedudukan untuk menentukan arah siasatan.

    “Suspek 1 berjumpa dengan anak ahli politik itu dan mendakwa boleh mengatur supaya dia tidak ditahan.

    “Anak lelaki ahli politik itu kemudian dilaporkan pergi kepada abang iparnya, seorang lagi ahli perniagaan yang juga abang kepada Suspek 2, untuk mendapatkan bantuan.

    “Abang ipar (abang kepada Suspek 2) yang mengeluarkan RM400,000 untuk membantu membayar rasuah,” dakwa pegawai itu.

    Menurutnya, wang RM400,000 itu didakwa telah dibayar pada 6 Mac lalu.

    Apabila SPRM mendapat maklumat itu, sumber berkata operasi untuk menahan suspek telah dilancarkan dan sebahagian daripada wang itu ditemui apabila pasukan pencegah rasuah itu menyerbu beberapa premis.

    Pada 9 Mac lalu, SPRM menahan empat suspek termasuk pegawainya yang bersubahat dengan mereka.

    Suspek dalang

    Suspek kelima yang dipercayai oleh SPRM sebagai dalang telah berjaya mengelak daripada ditahan.

    Malaysiakini difahamkan dia telah menghubungi SPRM melalui peguam, menyatakan hasratnya untuk menyerah diri.

    Pegawai itu mendakwa suspek telah cuba memanfaatkan keadaan untuk memerah wang daripada anak ahli politik itu.

    “Pegawai SPRM terbabit tidak bertanggungjawab dalam siasatan. Dia hanya terlibat dalam salah satu operasi,” tambahnya.

    Malaysiakini tidak menyebut nama suspek kerana mereka masih belum didakwa di mahkamah.

    Semalam, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan suruhanjaya itu menahan empat orang termasuk seorang pegawainya sendiri kerana didakwa meminta dan mengambil rasuah berkaitan siasatan terhadap Jana Wibawa.

    Jana Wibawa, atau Program Penjanaan Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera, diperkenalkan pada November 2020 semasa pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

    Ia merupakan projek rangsangan yang bertujuan memperkasakan kontraktor bumiputera ketika pandemik Covid-19.

  • Jana Wibawa: Kerajaan PN sedia RM7.1 bilion biaya 67 projek

    Jana Wibawa: Kerajaan PN sedia RM7.1 bilion biaya 67 projek

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) terdahulu memperuntukkan RM7.163 bilion untuk membiayai 67 projek bawah Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    “Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ada dua projek, Jabatan Perdana Menteri (2), Kementerian Air dan Sumber Asli (7), Kementerian Kesihatan (1), Jabatan Kerja Raya (3), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (42).

    “Kementerian Pendidikan (4), Kementerian Pendidikan Tinggi (4), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pertahanan masing-masing satu projek. Jumlah keseluruhannya sebanyak RM7.163 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan berkait projek Jana Wibawa.

    Pagi tadi, pengerusi PN itu mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi tuduhan pengubahan wang berhubung program Jana Wibawa, selepas beliau meminta dibicarakan atas empat tuduhan meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta pada Jumaat lalu.

    Hutang 1MDB

    Menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung jumlah hutang 1MDB, Ahmad berkata, jumlah hutang diambil alih sebanyak RM53.5 bilion.

    Setakat ini, katanya, RM24.5 bilion dibayar kerajaan melalui “shareholder advance” atau pinjaman dan bayaran melalui akaun amanah sebanyak RM19.3 bilion, menjadikan keseluruhan hutang dilangsaikan berjumlah RM43.8 bilion.

    “Jumlah baki hutang belum dibayar ialah RM9.7 bilion yang merupakan prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.7 bilion.

    “Tetapi, kita dapat aset diperoleh daripada 1MDB adalah RM20.3 bilion dan kita juga dapat penyelesaian International Petroleum Investment Company (Ipic) lebih kurang RM8 bilion,” katanya.

    Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan dua firma pelaburan Abu Dhabi itu bersetuju membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB.

    Katanya, penyelesaian itu dicapai menerusi prosiding di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

  • Selepas diburu SPRM, Datuk Roy serah diri

    Selepas diburu SPRM, Datuk Roy serah diri

    LELAKI dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ kerana didakwa menjadi perancang utama kes rasuah membabitkan program Jana Wibawa sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan agensi antirasuah itu.

    Free Malaysia Today memetik sumber berkata, lelaki dikenali sebagai Hussein Nasir, 54, hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur petang tadi.

    “Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk mendapatkan perintah reman,” kata sumber itu kepada FMT.

    Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan identiti ‘Datuk Roy’ sebagai Mohd. Hussein Mohd. Nasir.

    Lelaki berusia 54 tahun itu beralamat terakhir di RRM Semambu, Kuantan, Pahang.

    Difahamkan, lelaki itu pernah dipenjarakan kerana kesalahan rasuah sebelum ini.

    Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM, ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu.

    Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

  • Muhyiddin dijangka dilepaskan petang ini, sertai solat hajat – Laporan

    Muhyiddin dijangka dilepaskan petang ini, sertai solat hajat – Laporan

    SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak pagi tadi dijangka selesai lewat petang ini, kata laporan.

    Astro AWANI dalam laporannya memetik Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, difahamkan, bekas perdana menteri itu akan keluar dari bangunan SPRM di Putrajaya selepas siasatan namun tidak diberitahu secara tepat waktunya.

    Menurut Razali, selepas keluar dari bangunan SPRM, Muhyiddin akan terus ke markas Pas Taman Melewar di Gombak, Selangor untuk program solat hajat.

    “Tan Sri (Muhyiddin) dijangka lama … lama itu sampai ke malam. Kami semua pimpinan akan berhimpun di Taman Melewar.

    “Bagaimanapun, selepas selesai, Tan Sri akan sertai pimpinan untuk solat hajat selepas selesai disiasat,” katanya kepada media di hadapan bangunan SPRM.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Muhyiddin akan didakwa esok.

    Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada 11.15 pagi tadi dan masuk ke dalam bangunan pada pukul 11.22 pagi.

  • Siasatan SPRM terhadap Muhyiddin masih berjalan, kata Azam

    Siasatan SPRM terhadap Muhyiddin masih berjalan, kata Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkait program Jana Wibawa masih diteruskan.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan berkenaan juga masih belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

    “Belum lagi. Masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media hari ini di Putrajaya, lapor Berita Harian.

    Ditanya sama tindakan Muhyiddin yang memberi kenyataan dianggap mengganggu siasatan, beliau bagaimana enggan mengulas perkara itu.

    “Itu saya tidak boleh komen tapi siasatan terhadapnya yang dijalankan kita teruskan seperti biasa,” katanya.

    Sabtu lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.

    Keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih di bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

    Muhyiddin menjelaskan, agensi itu memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.

    Ditanya sama ada akan ada lagi kertas siasatan dibuka berkait kes itu, Azam berkata ‘tiga atau empat’ lagi kertas siasatan berkaitan kes itu yang sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

    “Siasatan masih lagi dijalankan seperti saya sebut sebelum ini di mana beberapa kertas siasatan telah dibuka, yang telah siap kita kemuka ke peguam negara dan sudah pun dijalankan pertuduhan.

    “Ada beberapa kertas siasatan yang masih lagi dijalankan siasatan dan pegawai saya sedang menyiapkan kertas siasatan berkenaan.

    “Jadi saya tidak menolak, mana-mana pihak pun bukan sahaja pemimpin sekiranya terbabit dalam menerima suapan untuk sesuatu perkara yang menyalahi akta kita maka akan dicadangkan pertuduhan di mahkamah,” katanya.

    Ditanya dakwaan beberapa pihak bahawa SPRM menjalankan pendakwaan terpilih, Azam menegaskan, SPRM menjalankan siasatan dengan profesional dan agensi itu bergantung kepada aduan dan maklumat diterima.

    “Bila kita terima satu maklumat dan aduan dan ia mengandungi kesalahan jenayah dan di bawah akta kami maka siasatan akan dijalankan.

    “Seperti saya sebut sebelum ini, kita bukan satu alat untuk mana-mana parti politik, kita jalankan siasatan berdasarkan maklumat yang ada, tiada pendakwaan terpilih dalam isu ini,” katanya.

    Sebelum ini Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mendakwa parti itu menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ selepas ketua penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta.

    Beliau berkata, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti dan Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.

  • Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir, dakwa MP Pas

    Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir, dakwa MP Pas

    DATUK Awang Hashim (PN-Pendang) mendakwa, sikap pendendam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendakwaan terpilih sewaktu pentadbirannya lebih teruk berbanding ketika pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau yang merujuk kepada pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia merupakan satu permulaan daripada “permainan” Anwar.

    “Kami (PN) sebagai pembangkang, ugutlah apa saja… segala tribulasi dan fitnah yang kami hadapi lebih teruk.

    “Bagi saya, kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.

    “Sifat balas dendam PM ini sangat kuat dan sangat pendendam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, menurut laporan Malaysiakini.

    Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

    Wan Saiful kemudian mengaku tidak bersalah berhubung dua pertuduhan itu dan memohon kes berkenaan dibicarakan.

    Lebih ramai pemimpin PN jadi sasaran

    Awang pada masa sama mempertikaikan pendakwaan terhadap Wan Saiful yang sebelum ini hanyalah anggota parti biasa tetapi menjadi sasaran.

    “Bagi saya, ini ialah satu signal kepada pemimpin lain bahawa kalau yang tak ada jawatan pun SPRM pun boleh diarah untuk mendakwa, apatah lagi kamu yang duduk dalam executive. You all be ready to be charged,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menjangkakan bahawa akan lebih ramai pemimpin PN dipanggil agensi menjelang pilihan raya negeri yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

    “Ya, saya tengok ini lebih bersifat pendakwaan terpilih…ni persiapan untuk PRN, tentu ada kaitan,” katanya apabila ditanya sama ada akan ada lebih ramai pemimpin PN yang akan dipanggil selepas pendakwaan Wan Saiful hari ini.

    Katanya, pendirian Anwar itu tidak selari dengan kempen Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum sebelum ini, yang sering menyuarakan pelbagai slogan berhubung pentadbiran yang adil dan saksama.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut bersetuju dengan kenyataan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang menyuarakan kebimbangannya berhubung pendakwaan terpilih dalam pentadbiran Anwar.

    “Kuasa boleh bawa kepada korupsi. Kalau kuasa mutlak, korupsi itu mutlak dalam hal ini saya berterus terang, saya amat bimbang.

    “Dalam titah diraja ‘kerajaan banteras rasuah secara agesif’. Ada perkataan agresif di situ. Saya bersangka baik kepada presiden parti – integriti, iltizam banteras rasuah,” kata Hassan dipetik sebagai berkata dalam membahaskan titah dirajanya di Dewan Rakyat hari ini.