Tag: jamin

  • Kerajaan jamin harga kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah

    Kerajaan jamin harga kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN memberi jaminan harga kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah menjelang akhir bulan ini terutamanya menjelang pembukaan sesi persekolahan pada 3 Oktober depan untuk membolehkan semua golongan mampu memilikinya.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, harga baharu yang bakal diumumkan dalam masa terdekat diputuskan selepas perbincangan antara pembekal dan peniaga.

    Katanya, walaupun penurunan harga masih belum muktamad namun jumlahnya adalah lebih murah terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah.

    “Sekiranya ada keluarga memiliki lima anak, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100.

    “Jadi, harga baharu yang bakal diumumkan nanti membolehkan mereka dapat melakukan ujian bagi memastikan anak sihat sebelum ke sekolah,”ujarnya selepas meninjau proses vaksinasi ke atas 327 Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu, hari ini.

    Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong.

    Sebelum ini kerajaan memaklumkan bahawa harga borong dan runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 diletakkan di bawah harga kawalan berkuat kuasa 5 September menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Kit berkenaan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set.

    Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu memberitahu, kerajaan juga akan memperluaskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 ke premis perniagaan seperti pasar raya besar dan pasar mini yang berdaftar dengan KPDNHEP.

    Katanya, usaha itu adalah untuk memudahkan orang ramai mendapatkan kit tersebut terutama menjelang pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober depan.

  • PDRM jamin keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    PDRM jamin keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara terkawal susulan situasi semasa politik negara.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sehubungan itu orang ramai diminta tidak gusar dan membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat selain meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

    “PDRM sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa jua medium yang boleh menimbulkan hasutan dan menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada masa sama orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama membendung penularan wabak COVID-19.

    Hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas 17 bulan memegang jawatan itu.- BERNAMA