Tag: jambatan

  • 20 maut bas bawa jemaah umrah langgar jambatan sebelum terbakar

    20 maut bas bawa jemaah umrah langgar jambatan sebelum terbakar

    SEKURANG-kurangnya 20 jemaah umrah terbunuh manakala 29 lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya kendiri di barat daya Arab Saudi, lapor media tempatan.

    Bas penumpang itu melanggar sebuah jambatan sebelum terbalik dan terbakar, semalam dalam kejadian di wilayah Asir.

    Lapor Gulf News, nahas berpunca akibat kegagalan brek dan berlaku di jalan raya menghubungkan wilayah Asir dan bandar Abha.

    Kesemua mangsa dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah.

    Pasukan pertahanan Saudi dan pihak berkuasa Bulan Sabit Merah bergegas ke lokasi kemalangan dan mengawal keadaan.

    Mangsa yang terbunuh dan cedera dibawa ke hospital berhampiran.

    Kemalangan pada minggu pertama Ramadan itu berlaku di tengah kesibukan melakukan ibadah umrah dan hanya beberapa bulan sebelum jutaan umat Islam menunaikan haji.

    Kemalangan membabitkan bas membawa jemaah umrah bukan pertama kali berlaku dan kali terakhir dilapor pada Oktober 2019 sehingga meragut kira-kira 35 warga asing dan empat lagi cedera.

    Ia selepas bas itu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan berat berhampiran Madinah.

  • [VIDEO] Jambatan runtuh: 4 termasuk seorang pelancong asing maut

    [VIDEO] Jambatan runtuh: 4 termasuk seorang pelancong asing maut

    SEORANG pelancong Austria dan tiga rakyat tempatan maut selepas jambatan berusia beberapa dekad runtuh di wilayah Bohol tengah Filipina pada petang Rabu, lapor Xinhua.

    Polis berkata, lelaki Austria berusia 30 tahun itu antara penumpang dalam 12 kenderaan yang terjunam ke dalam sungai sekitar 4 petang waktu tempatan (0800 GMT).

    Lebih 20 mangsa yang lain terselamat termasuk isteri pelancong Austria itu, rakyat tempatan.

    Jambatan itu, dibina pada 1970-an dan terletak di bandar Loay, pernah rosak akibat gempa bumi pada 2013 dan telah dibaiki, kata pegawai tempatan.

    Gabenor Bohol Arthur Yap dalam hantaran di media sosial mendakwa jambatan itu runtuh akibat lebihan muatan. – BERNAMA